Tuesday, September 28, 2010

Restoran D’ Limau Nipis


            Bermula dengan menjual nasi lemak di belakang sebuah kilang, kini Nurul Huda Mohd Yunus, 44, mampu berbangga dengan dua buah restoran yang berjaya diusahakan hasil usaha dan berkat kesabarannya.




Kini selepas empat tahun berhempas pulas dalam dunia penyediaan makanan, Nurul Huda mampu menarik nafas lega. Restoran yang dinamakan D’Limau Nipis adalah hasil usaha berterusan beliau, suami, keluarga dan para pekerja yang sentiasa memberikan komitmen tanpa mengira masa.

            “Memang saya bercita-cita tinggi, saya ingin mewujudkan sebuah bangunan sendiri yang menjalankan perniagaan penyediaan makanan secara besar-besaran,” ujarnya ketika ditemui di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

            Nurul Huda mengakui modal yang dikumpul hasil perniagaan nasi lemak tidak mencukupi hinggalah dia diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerusi program Prosper.

            “Dari situ saya mengikuti kursus, ceramah dan motivasi tentang panduan menjadi usahawan, malah mereka juga menyediakan modal dan memantau perkembangan perniagaan kita,” jelas ibu kepada dua anak dan isteri kepada Khairani Abd Hamid.

            Menurut Nurul Huda, setiap usahawan perlu memiliki identiti tersendiri, justeru beliau telah mencipta cap dagang (trademark) limau nipis sebagai identiti perniagaannya.

            “Boleh dikatakan setiap menu kami di sini mengandungi limau nipis, namun yang paling istimewa di sini ialah minuman D’Limau Nipis yang kami cipta sendiri,” ujarnya sambil menunjukkan minuman yang telah disediakan oleh pembantunya.

            Nurul Huda yang sentiasa mencari idea untuk memajukannya perniagaannya kini merancang untuk mewujudkan kiosk minuman limau nipisnya. Beliau mendakwa tiada apa yang mustahil sekiranya kita sentiasa positif dan berusaha ke arah itu.

            Malah menu di restoran tersebut kebanyakannya menyediakan masakan istimewa ala kampung yang makin jarang didapati di bandar.

            “Antaranya, ulam jantung pisang, ubi rebus, pisang rebus, gulai lemak dan sebagainya. Resipinya mengikut cara tradisional turun temurun yang pastinya akan mengembalikan nostalgia ketika zaman dahulu,” ujarnya.

            Nurul Huda secara peribadi berpendapat, setiap tauke restoran harus mempunyai kemahiran memasak, kerana ia amat penting bagi memastikan kualiti produk restoran terjamin.

            “Bayangkan jika tukang masak terpaksa bercuti, maka kita sebagai pengusaha harus turun padang untuk menggantikannya. Pelanggan sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kita,” jelas wanita kelahiran Perak ini.

            Baginya, mutu makanan, perkhidmatan serta persekitaran adalah faktor utama untuk menarik ramai pelanggan. Seperti peniaga-peniaga lain, Nurul Huda turut menghadapi cabaran dalam mengharungi dunia yang penuh risiko ini.

            “Cabaran terhebat saya ialah mendapatkan kepercayaan orang. Saya dapati ramai peniaga yang dengki dan cuba menjatuhkan perniagaan orang lain,” katanya melahirkan kekesalan.

            Seikhlasnya, Nurul Huda ingin menasihati setiap peniaga agar jangan mengamalkan sikap hasad dengki, sebaliknya berusahalah untuk lebih maju dan baik dari keadaan sekarang.

            “Jika kita lihat restoran mamak kerap kali mendapat kunjungan pelanggan tidak kira umur, bangsa, malah pada setiap masa.

            “Sebagai peniaga kita ambil positif, lihat kepada cara servis mereka yang pantas, bersih, contohilah cara mereka, biarlah kita sama-sama maju,” katanya.



Untuk penduduk sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya, restoran ini mungkin tidak asing lagi bagi mereka. restoran dua (2) lot tetapi dipisahkan oleh Kedai Serbaneka 7 Eleven ini memang agak popular di Bangi. Restoran D’ Limau Nipis ini terletak berhadapan dengan Kompleks PKNS Bangi dan kawasan tumpuan orang ramai. Beberapa kali berkunjung di situ, tiada menu makanan yang betul-betul boleh membuat pengunjung termimpi-mimpi. Menu yang special di situ adalah minuman D'Limau Nipis Special nya. Limau nipis ice-blended dicampur dengan satu scoop ais krim vanilla dan jelly buatan sendiri. Rasanya memang sekali datang pasti hennak lagi.

Makanan di sini pula memang terdiri daripada pelbagai jenis masakan dan pelbagai jenis lauk sama ada dari utara ke selatan, dari timur ke barat, semuanya ada. dari sarapan hinggalah ke makan malam dan restoran ini mempunyai menunya yang tersendiri. Makanan ringan seperti tauhu bakar dan otak-otak serta kuih muih pun ada untuk dinikmati. Kalau berkunjung di situ, jangan lupa untuk memesan air D'Limau Nipis Special. Kalau tidak rasa tidak sah pergi ke situ.  Kena pergi sekali lagi.


2 comments:

  1. Untuk maklumat lanjut mengenai Restoran D'Limau Nipis boleh lah lawati di www.limaunipis.com.my atau http://blog.limaunipis.com.my dan juga facebook Restoran D'Limau Nipis..terima kasih.

    ReplyDelete