Thursday, September 30, 2010

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 adalah satu-satunya universiti nasional di Malaysia, yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Dengan persekitaran akademik yang unggul, prasarana kampus yang moden dan konsep kampus dalam taman, UKM sememangnya antara universiti yang tersohor di Malaysia dan rantau ini.

Kemudahan Lebuhraya Utara-Selatan, perkhidmatan komuter dan bas memudahkan perjalanan ke kampus UKM bagi para pelajar dan mereka yang ingin mengunjungi Universiti. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pula mendekatkan lagi Universiti ini dengan dunia antarabangsa. Kampus Induk Bangi terletak dalam lingkungan MSC, dan berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang menjadi pemangkin UKM ke arah pembangunan teknologi maklumat.

Kampus induk UKM yang mempunyai keluasan 1,096.29 hektar terletak di Bangi, Selangor Darul Ehsan, kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur menempatkan lapan fakulti dan 12institut. Selain itu, UKM mempunyai Kampus Perubatan di Kuala Lumpur yang menempatkan empat fakulti iaitu Fakulti Perubatan (Praklinikal), Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi. Manakala Pusat Perubatan UKM (PPUKM), yang mempunyai keluasan 22.3 hektar di Cheras, Kuala Lumpur berupaya memenuhi keperluan semasa dari segi pendidikan, perkhidmatan dan penyelidikan perubatan. PPUKM menempatkan sebuah hospital, Fakulti Perubatan dan Institut Perubatan Molekul (UMBI).

Berlandaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih daripada tiga dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan di Malaysia. Keunggulan UKM terserlah dengan penempatan institut penyelidikan nasional dan antarabangsa, iaitu Institut Genom Malaysia (MGI) dan International Institute of Global Health, United Nations University. UKM juga adalah penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan pengurusan. Dengan asas yang mantap ini, UKM tampil dengan citra baru melalui slogan ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’.

Lambang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah sebuah perisai yang berpetak empat. Setiap petak mengandungi gambar dan warna latar yang berlainan dengan membawa maksud tertentu. Sebuah buku terbuka terletak di atas perisai ini. Gambar yang didapati dalam petak tersebut ialah seperti berikut:
·         Seekor harimau berwarna kuning yang gagah sedang menyerang ke arah kanan berlatar warna merah.
·         Simbol atom berlatar warna kuning.
·          Simbol teknologi berlatar warna biru.
·         Sekuntum bunga raya berwarna merah berlatar warna putih.
Buku
Buku melambangkan ilmu pengetahuan, iaitu peranan utama UKM sebagai pusat pengajian tinggi dan penyelidikan.
Perisai
Perisai bererti keteguhan. Keteguhan yang dimaksudkan ialah kemampuan UKM memainkan peranan sebagai pusat pengajian tinggi di negara ini.
Falsafah
Harimau melambangkan keberanian dan kegagahan. Harimau mencerminkan masyarakat Malaysia yang berteraskan kebudayaan Melayu. Harimau garang menggambarkan kesediaan UKM mara memerangi kejahilan, kejahatan dan kepalsuan.
Atom dan Teknologi
Simbol atom dan teknologi melambangkan konsep pembangunan negara yang berlandaskan sains dan teknologi moden. UKM sebagai pusat ilmu bertanggungjawab mengeluarkan tenaga mahir dalam semua bidang untuk memenuhi keperluan pembangunan negara.
Bunga Raya
Bunga raya adalah bunga kebangsaan Malaysia. Lima helai ranggi melambangkan lima prinsip Rukun Negara yang dianuti dan sentiasa dipelihara oleh rakyat Malaysia.

Cokmar
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah kurniaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai lambang kuasa Universiti. Cokmar ini digunakan dalam upacara rasmi Universiti seperti Majlis Konvokesyen dan Majlis Perisytiharan Pelantikan Canselor dan juga Pro-Canselor.
Obor
Obor terletak di atas ukiran yang berupa masjid/bangunan yang melambangkan ilmu pengetahuan dan keteguhan iman. Obor sebagai simbol pendidikan, melambangkan peranan Universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berupaya menyumbang ilmu pengetahuan dan kepakaran untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat.

 Batil
Bentuk bulat yang terdapat di bawah obor adalah sebiji batil yang melambangkan dunia. Ini menunjukkan UKM adalah sebahagian daripada masyarakat ilmiah antarabangsa yang sedia menerima apa jua ilmu pengetahuan daripada sebarang sumber dan seterusnya menyumbangkan ilmu pengetahuan itu kepada masyarakat dalam dan luar negara. Di sebelah atas batil terdapat lambang negeri, sementara pada permukaan batil pula terdapat lambang UKM dan negara Malaysia.
Bunga Raya dan Lima Bilah Keris
Bentuk batil yang melambangkan dunia itu terletak atas sekuntum bunga raya yang disokong oleh lima bilah keris. Bunga raya ialah bunga kebangsaan sementara keris menunjukkan tradisi kebudayaan negara. Lima bilah keris menunjukkan lima prinsip Rukun Negara.
Daun Lontar
Di antara bunga raya dengan batil digambarkan sepelepah daun lontar yang melambangkan kesusasteraan.
Batang Cokmar
Di sepanjang batang cokmar terdapat motif yang melambangkan falsafah Universiti dan fakulti di dalamnya. Ini menunjukkan universiti ingin melahirkan siswazah serba boleh, pragmatik dan kreatif, di samping menyumbang idea untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat. Di tengah batang cokmar diukir motif buah padi, melambangkan kemakmuran negara dan beras sebagai makanan utama.
Gasing
Bahagian bawah cokmar diukirkan dalam bentuk sebuah gasing yang mempunyai paksi. Pecahan lima melambangkan lima faktor ekonomi iaitu perindustrian, perlombongan, pengangkutan, pertanian dan perikanan. Di atas gasing itu terukir gambar yang menunjukkan hasil-mahsul negara.

Peta ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


1 comment: