Tuesday, November 16, 2010

Jemaah Haji Wukuf Di Padang Arafah

PADANG ARAFAH, Arab Saudi - Dengan memakai ihram, sekitar dua juta umat Islam melakukan wukuf di sini bagi menunaikan rukun kedua ibadat haji.
Ramai jemaah memulakan perjalanan sebelum subuh dalam usaha mereka untuk sampai ke puncak Bukit Arafah yang juga dikenali sebagai Jabal ar-Rahmah, di luar tanah haram iaitu kira-kira 18 kilometer dari kota Mekah.
Bukit tersebut merupakan tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.
Mereka yang berjaya sampai bukit itu selepas berasak-asak duduk di lereng-lereng bukit sambil berdoa dan membaca al-Quran.
Sejumlah lagi dilihat menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan gambar manakala sebahagian lagi jemaah duduk di atas hamparan tikar di atas batu-batu di bukit berkenaan.
Wukuf di Padang Arafah

Padang Arafah merupakan daerah terbuka dan luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Makkah, disinilah umat Islam menunaikan rukun wukuf. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji, bagi mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam a.s. dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah.Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bererti berhenti seketika di padang itu.Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa,pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

No comments:

Post a Comment