ALOR SETAR: Keadaan banjir di dua negeri utara Semenanjung semakin baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 22,829 orang di Kedah dan 7,947 orang di Perlis.
Di Kedah, daripada 22,829 orang yang masih menghuni 56 pusat pemindahan membabitkan 5,761 keluarga adalah dari daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, manakala semua tiga pusat pemindahan di Pokok Sena dan Pendang sudah ditutup selepas 1,245 mangsa sudah dibenarkan pulang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (Kedah) berkata, daerah Kota Setar mencatat penurunan jumlah mangsa apabila hanya 16,760 daripada 4,112 keluarga masih menghuni 39 pusat pemindahan sementara berbanding 21,116 orang kelmarin.
Di daerah Kubang Pasu pula, katanya, hanya tinggal 6,069 mangsa yang masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan dan banjir di daerah itu kini beransur pulih.
Tinjauan di beberapa lokasi di bandar raya ini semalam mendapati ramai mangsa banjir sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur berikutan air bah turut membawa selut tanah merah.
Sementara itu, Malaysia Airports Berhad (MAB) belum memutuskan tarikh operasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas, di sini sehingga kerja pembersihan dilakukan terutama di landasan dan jalan termasuk sistem pencahayaan landasan.
Pengurus MAB Kedah, Azmi Darus berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan kontraktor untuk kerja pembersihan.
“Kini Unit Bomba MAB membersihkan sekitar terminal yang tidak membabitkan kawasan luas,” katanya.
Di KANGAR, jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, sehingga semalam, 7,947 mangsa membabitkan 1,666 keluarga masih ditempatkan di semua 20 pusat pemindahan di Perlis, iaitu semuanya di Kangar.
Katanya, 13 lagi pusat pemindahan ditutup semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Tinjauan mendapati kebanyakan mangsa sibuk membersihkan kediaman masing-masing, terutama di beberapa lokasi sekitar bandar ini yang dilaporkan baru pulih mulai semalam.
No comments:
Post a Comment