Kemenangan Datuk Nicol David dan rakan-rakan, membolehkan Malaysia mengatasi pencapaian terbaik pada Sukan Asia sebelum ini, iaitu lapan emas di Doha 2006.
Ia juga memastikan 2010 tahun paling cemerlang buat sukan tanah air, setelah sebelum ini melepasi sasaran Sukan Komanwel bulan lalu, dengan memenangi 12 pingat emas daripada 10 yang disasarkan.
Pemain skuasy wanita negara (dari kiri) Delia Arnold, Nicol David, Low Wee Wern dan Sharon Wee memenangi pingat emas setelah mengalahkan Hong Kong pada perlawanan akhir skuasy Sukan Asia di Guangzhou, semalam.
Semalam, pemain remaja berusia 20 tahun, Low Wee Wern memegang kunci kejayaan Malaysia dengan mengutip mata pertama yang dianggap paling genting, sebelum jaguh No. 1 dunia, Nicol David memainkan peranan menghadiahkan mata kemenangan untuk pingat emas.Turun tanpa pernah menang ke atas Rebecca Chiu dalam dua pertemuan terdahulu, Wee Wern mengetepikan perasaan gemuruh sebelum menang 11-4, 7-11. 11-6, 11-7.
Keresahan terbayang di kem Hong Kong sebaik gagal memenangi perlawanan pembukaan, kerana saingan perseorangan kedua melibatkan Nicol dan Annie Au, tidak pernah menjadi sasaran mereka untuk mencari mata, kerana sedar Nicol lawan yang tidak mungkin mampu ditandingi.
Nicol, 27, menepati reputasinya dengan hanya memerlukan 33 minit untuk menewaskan Annie 11-8, 11-7, 11-6, yang memberikan kemenangan bersih buat skuasy wanita negara.
Turut meraikan detik gemilang semalam adalah ketua kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN). Zolkples turut menerima ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi telefon sebaik perlawanan berakhir.
"Saya tahu perlawanan ini pasti sukar kerana ranking kami lebih kurang saja (Wee Wern 16, Rebecca 19). Sudah dua tahun saya tidak bertemu dengannya, ia menyukarkan lagi keadaan.. tambahan pula Rebecca pemain berpengalaman, saya kena melakukan pukulan yang baik untuk menang.
"Pada mulanya saya agak gementar tetapi saya berjaya mengawal keadaan dengan baik untuk menang 3-1," kata Wee Wern.
Bagi Nicol, menumpaskan Hong Kong memberi kepuasaan, kerana berjaya menebus kekalahan ke atas pasukan yang telah mengecewakan mereka pada separuh akhir Kejohanan Asia di Chennai, Mei lalu.
"Ia perasaan yang hebat apabila anda berada di atas Hong Kong. Dalam setiap pertemuan kami dengan mereka pada Kejohanan Asia ia akan membangkitkan memori tetapi Sukan Asia menghadirkan satu perasaan berbeza.
"Saya mungkin memainkan peranan mengutip mata kedua tetapi tidak dinafikan, Wee Wern telah mempamerkan satu permainan hebat dengan mengalahkan Rebecca, seorang pemain yang amat berpengalaman. Kemenangan 3-1 yang dicatatnya adalah kunci kemenangan kami," kata Nicol. - Utusan
No comments:
Post a Comment