Friday, November 12, 2010

UPSR Terbaik sejak 2007

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun sejak 2007.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata pencapaian itu diukur mengikut Gred Purata Nasional (GPN) selepas buat pertama kalinya berjaya mencecah kadar melebihi 10 peratus.

Beliau berkata, seramai 48,327 daripada 482,334 calon UPSR tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, sekali gus menunjukkan pencapaian calon cemerlang (semua A) meningkat dari 9.51 peratus pada 2009 kepada 10.02 peratus atau 165 calon tahun ini.
“Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu dan peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus tahun ini.

“Malah, pencapaian calon cemerlang luar bandar tahun ini meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding tahun lalu, sementara calon bandar pula meningkat 0.35 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan UPSR Tahun 2010, di sini, semalam.

Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September lalu.
Abdul Ghafar berkata, peningkatan itu jelas merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang antara bandar dan luar bandar, sementara pencapaian calon di bawah tahap penguasaan minimum di luar bandar juga menurun, sekali gus menunjukkan pencapaian calon luar bandar juga semakin baik.

Katanya, peningkatan pencapaian calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 mata bagi bandar dan 0.05 mata bagi luar bandar, justeru jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar adalah 0.04 mata.

Beliau berkata, bilangan calon istimewa tahun ini pula bertambah 184 calon berbanding 1,086 calon tahun lalu.

Katanya, walaupun bilangan calon istimewa yang mendapat semua A kurang seorang, tetapi terdapat peningkatan sebanyak 1.97 peratus bagi calon yang mendapat pencapaian baik dan GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 mata.

Mohd Ghafar berkata, ujian aptitud yang masuk tahun kedua dilaksanakan menunjukkan peningkatan dalam bidang sosial, budaya dan sukan, manakala bidang akademik, teknik, vokasional dan seni menunjukkan penurunan ketara antara 5.4 peratus dan 26.6 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, kecenderungan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana ia berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Saya ingin menekankan bahawa ujian Aptitud Am yang dilaksanakan ini berjaya mengumpul maklumat mengenai minat, potensi dan kecenderungan murid pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah di peringkat nasional dan harus digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment