Tuesday, November 23, 2010

Pancutan air hilangkan debaran berkhatan

RAWANG: “Perkara paling menyeronokkan ialah apabila kami ‘diserang’ air pancut dari pili bomba beramai-ramai ketika di atas lori. Ia bukan saja menghilangkan rasa takut, malah kami boleh bermain air,” kata Mohd Hafizi Azaman, 12, peserta Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, di sini, kelmarin.
Dalam program itu, seramai 60 peserta terdiri daripada kanak-kanak seawal usia 6 hingga 13 tahun dan mereka dikhatankan beramai-ramai di Padang Kampung Setia, di sini.

Sebelum upacara bermula, mereka dikumpulkan di atas sebuah lori sebelum disembur menggunakan pancutan air bomba dan penyelamat.
Mohd Hafizi berkata, dia pernah berhasrat menarik diri selepas ibunya memberitahu akan dikhatankan beramai-ramai bersama 59 lagi rakan.

“Siapa yang tidak takut apabila diberitahu akan dikhatankan beramai-ramai. Apa lagi bila ia disaksikan ramai orang, rasa seperti bahan pameran.

“Tetapi, perasaan gugup hilang selepas lihat majlis meriah dan rasa bangga pun ada,” katanya.
 BASAH...peserta program berkhatan beramai-ramai dipancut air atas lori.

Seorang lagi peserta, Ahmad Khusairy Shaari, 11, menganggap pengalaman itu sebagai permulaan untuknya menempuhi alam dewasa selain perkara wajib yang perlu dilakukannya sebagai umat Islam bagi menjaga kebersihan diri.

“Saya tidak takut untuk berkhatan, malah tidak sabar untuk dikhatankan. Ibu banyak memberi kata-kata semangat dan dorongan menjadikan saya berani.
“Berkhatan beramai-ramai lebih seronok dan dapat menghilangkan rasa gementar kerana saya dapat berkongsi perasaan bersama rakan lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment