ERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha 2010) yang dijadual berlangsung bermula 26 November hingga 5 Disember ini turut memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk tiga bidang baru dalam sektor pertanian dan asas tani iaitu ikan hiasan, rumpai laut dan burung walit.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kementerian turut memberi jaminan penganjuran Maha tahun ini lebih menarik berbanding tahun sebelum ini berdasarkan peningkatan penyertaan negara asing serta peserta tempatan.
“Selaras usaha meletakkan Maha 2010 sebagai pameran pertanian terbesar di rantau ini, kempen promosi sudah dikembangkan ke Eropah, Amerika Latin, Asia dan Australia hingga menarik 22 negara untuk menyertainya berbanding 12 negara sebelum ini.
“Maha 2010 yang bertemakan ‘Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan’ akan menumpukan kepada teknologi berinovasi baru yang bukan saja akan menarik pembeli, penjual dan pelawat malah peserta asing yang berpotensi,” katanya pada sidang media sebelum mengadakan lawatan ke tapak Maha 2010 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz.
No comments:
Post a Comment