Tuesday, January 11, 2011
Bila juara tak popular
Kesian Ana Raffali apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya Tolong Ingatkan Aku yang dinobatkan sebagai Juara Lagu 25 mendapat kritikan media. Peminat juga tersentak apabila lagu yang belum popular mana itu dipilih sebagai juara.
Apatah lagi inilah kali pertama Ana menyertai Juara Lagu. Dia mengetepikan banyak nama popular yang disebut-sebut bakal menonjol termasuk lagu Cinta Sempurna nyanyian Yuna.
Nampaknya bantahan dalaman terhadap lagu itu dilakukan serentak oleh penonton yang rata-ratanya terkejut apabila nama Ana yang dipanggil naik ke pentas, bukan nama lain yang ada dalam fikiran mereka ketika itu.
Belum sempat Ana menaiki tangga untuk menerima trofi, penonton sudah angkat punggung dan keluar dari Stadium Putra, Bukit Jalil, tempat AJL25 dilangsungkan. Ana menyanyikan semula lagu kejuaraan semasa penonton mula angkat kaki keluar.
Apa yang ada dalam fikiran juri? Ketua juri, M. Nasir memberitahu ciri-ciri kejujuran dalam lagu Ana membuatkan ia lebih menonjol berbanding dengan lagu-lagu lain yang turut bersaing. Sebab itulah barisan juri kali ini memilih lagu itu.
Dia juga sudah menyangka keputusan mereka bakal dipersoalkan kerana kedudukan lagu Tolong Ingatkan Aku yang kurang popular. Memang tak popular. Maaf... saya sendiri baru mendengarnya beberapa kali. Kali pertama ketika menonton semi final AJL25 dulu.
"Tolong Ingatkan Aku lagu yang sensitif, personal dan simple. Itu yang kami cari sebenarnya. Mungkin lagu ini tidak popular dan lagu lain lebih ramai peminat. Banyak lagu yang sedap tapi lemah pada liriknya. Lirik memainkan peranan yang besar kepada sesebuah lagu.
"Saya sedar keputusan ini akan dipertikaikan, namun apa yang penting rasa yang hadir dalam diri bila mendengar lagu ini. Lagu ini jujur berbanding lagu lain yang bertanding. Juri memilih lagu yang bagus, bukan lagu yang popular," tegas M. Nasir.
Ana juga menerima dengan hati terbuka apabila ramai yang tak berkenan bila dia jadi juara. Namun Ana mahu semua orang menerima keputusan juri dengan terbuka kerana mereka bukankah sebarangan orang dalam industri muzik.
"Saya taklah sedih walaupun orang tak sukakan kemenangan saya. Kalau orang tak suka saya nak buat macam mana... ternyata saya bukan peserta pilihan mereka.
"Namun peminat kena terima keputusan juri yang banyak pengalaman dan bijak pandai dalam muzik. Walau apa pun, ini satu kemenangan terindah buat saya," kata Ana yang enggan merasa rendah diri dengan ketidakpuasan hati orang.
Peminat mungkin ada sebab mengapa mereka tak puas hati dan juri juga pastinya ada hujah tersendiri dalam membuat pilihan. Mereka datang daripada generasi yang berlainan, jadi pendapat juga pasti berbeza.
Barisan juri yang terdiri daripada M. Nasir, Habsah Hassan, Acis, Azmeer, Amy Search, Pacai dan Andy Flop Poppy. Rata-ratanya boleh dianggap senior dalam industri muzik. Barisan komposer pula rata-ratanya generasi muda yang menghasilkan muzik yang berlainan dan advance.
Mungkinkah para juri tidak boleh menerima lagu-lagu yang dihasilkan oleh generasi baru seperti Yuna, Bunkface, Loque, Hujan dan lain-lain komposer alaf baru? Adakah pilihan juri tidak selari dengan senarai lagu yang dipertandingkan?
Banyak pemerhati melihat muzik Yuna sebagai muzik era kini yang lebih advance daripada muzik yang dihasilkan oleh komposer masa kini. Lagu nyanyian A.P.I juga dikatakan sebagai konsep lagu yang akan menyemarak pada masa akan datang.
Adakah para juri belum dapat menerima perkembangan muzik yang cuba dibawa oleh Yuna dan komposer lain? Ana juga komposer alaf baru, tapi sentuhan Yuna lebih mudah masuk ke jiwa pendengar muda masa kini.
"Kalau Yuna bawa muzik dia ke Amerika dan menang di sana, di mana kita nak letak muka?" kata seorang komposer pasal Yuna yang sedang berkira-kira untuk ke Amerika membawa muziknya.
Apa-apa pun keputusan dah dibuat. Itulah adat pertandingan. Semuanya terletak di tangan juri. Kalau juri lain yang dipilih pasti ada nama lain yang jadi juara. Muzik memang sifatnya macam itu... subjektif. Muzik yang indah di telinga kita belum tentu sedap di telinga orang lain. Macamtu lah.
Jadi kita kena terima keputusan juri yang memilih Ana sebagai juara. Sudah tersurat ia menjadi rezeki Ana kali ini. Jangan sampai ada rakan artis yang kecewa tak mahu berkawan dengan Ana sebab dia menang anugerah tertinggi kali ini.
Industri filem dah kecoh juga dulu apabila orang senior tak mahu iktiraf hasil kerja Shamsul Yusof yang diangkat sebagai pengarah terbaik di Festival Filem Malaysia 2010. Bukan Ana yang minta, tapi juri sepakat mengatakan lagunya paling menonjol.
Adakah kerana kesalahan format?
Adakah kecelaruan ini terjadi ekoran AJL tiada lagi pecahan kategori seperti zaman kegemilangan dulu? Kalau ada kategori Balada, Pop Pock dan Irama Malaysia ataupun kategori lain yang bersesuaian mungkin isu ini tidak akan ketara.
Kalau hanya empat atau lima buah lagu sahaja dipilih semasa saringan awal, pastinya tak akan ada kejutan. Tapi tahun ini rata-rata lagu boleh dirangkumkan dalam dua kategori iaitu pop rock dan indie dengan indie yang mendominasi pencalonan.
Mungkin pihak TV3 boleh fikirkan satu format yang mengecilkan calon finalis lagu-lagu yang berligar dalam konsep yang sama. Kalau sepuluh lagu yang sama konsep dipertandingkan di pentas akhir, pasti isu sebegini akan berulang lagi.
Kalau ada saingan dalam kategori, sebenarnya boleh menyemarakkan penghasilan lagu yang khusus untuk satu-satu konsep. Lagu Irama Malaysia semakin jarang diterbitkan kerana tiada lagi tempat di stesen radio dan TV.
Lagu tradisonal semakin malap. Lagu balada luga menuju alam suram apabila ia juga semakin hari semakin menjauh. Dah tak ramai nak hasilkan lagu baru. Pada masa inilah semakin bercambah pula muzik oleh kelopok indie.
Dulu Noraniza Idris dan rakan-rakan kerap menghasilkan lagu-lagu berkonsep tradisional kerana ada tempat untuknya membawa lagu itu. Pentas akhir AJL antara medan Noraniza mempopularkan muzik dan jenamanya sendiri. Sebab itu sudah beberapa kali dia bawa pulang trofi persembahan terbaik menerusi persembahan berwarna warni.
Kemunculan Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan dengan segmen Irama Malaysia benar-benar menampakkan betapa lagu tradisional tak kalah di tengah-tengah medan muzik indie. Tak salah kalau ada yang berasakan Siti telah mencuri hati penonton AJL25. Persembahnnya paling meriah dan menghiburkan penonton.
Bayangkan kalau ada empat atau lima penyanyi lain melakukan persembahan serupa. Ia dapat meredakan stres menonton persembahan dengan nada bersemangat dan meluah perasaan melalui lagu yang dipertandingkan kali ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment