DI SEBALIK kontroversi kemenangan lagu Ana Raffali, pada majlis Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL 25) yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, pujian bagaimanapun harus diberikan kepada persembahan semua finalis serta penyanyi undangan yang menjayakannya kali ini.
Persembahan pembukaan AJL 25 yang menyorot kembali kenangan dengan meletakkan barisan penyanyi yang pernah menjadi juara dalam pertandingan ini memang satu persembahan yang tidak boleh dilupakan.
Penyanyi Francisca Peter memukau penonton dengan vokal hebatnya sehingga meremang bulu roma menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran yang menjadi juara pada AJL pertama pada tahun 1986.
Sifu M. Nasir yang juga bertindak sebagai ketua juri turut tidak ketinggalan menghiburkan penonton dengan lagu juara pada tahun 1994 iaitu Tanya Itu Hud Hud dan juara 1997, lagu duetnya bersama Jamal Abdillah, iaitu Ghazal Untuk Rabiah.
Sebelum M. Nasir, penyanyi Nash terlebih dahulu membuat persembahan dengan lagu juara 1992 berjudul pada Syurga Di Wajahmu.
|
|
Selepas persembahan 14 buah lagu daripada finalis, segmen interlud yang menampilkan tiga biduanita muzik Malaysia, Datuk Sharifah Aini yang mendendangkan lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dan Oh Dimana bagi genre pop dan Ziana Zain dengan lagu berhantunya iaitu Anggapanmu dan Madah Berhelah bagi genre balada.
Persembahan Datuk Siti Nurhaliza dengan lagu Balqis, Nirmala dan Cindai bagi genre irama Malaysia membuat semua mata tertumpu kepadanya.
Bukan sahaja persembahan cukup menarik dengan gerak tarian tetapi lagu-lagu dendangannya membuat penonton teringat kembali persembahan hebatnya ketika bertanding di dalam AJL.
Tiga pengacara majlis tersebut, Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar dipertanggungjawabkan menjadi nadi penggerak AJL 25 dilihat menjalankan tugas dengan sempurna.
Selepas berakhirnya AJL 25, boleh dikatakan kru produksi kali ini menjalankan tugas dengan baik apabila tiada kejadian terputus siaran seperti tahun lalu dan gangguan audio yang ketara berlaku.
No comments:
Post a Comment