Tuesday, January 11, 2011
Ana mohon diberi peluang
SEBELUM berlangsung majlis Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL 25), pastinya ramai yang tidak menyangka bahawa lagu Tolong Ingatkan Aku mampu mengetepikan cabaran 13 buah lagu lain yang bertanding.
Tidak dinafikan, lagu nyanyian Ana Raffali itu sebenarnya langsung tidak memasuki senarai lagu yang boleh memberikan saingan hebat untuk AJL 25 kerana ramai pihak yang lebih bertumpu kepada pertembungan sengit yang membabitkan penyanyi seperti Yuna, Faizal Tahir dan Black.
Apa yang turut menjadi tumpuan apabila Ana berjaya menyingkirkan penyanyi yang menjadi pilihan ramai untuk bergelar juara iaitu Faizal Tahir yang sekadar meraih anugerah kategori persembahan terbaik menerusi lagu Hanyut.
Bagaimanapun, keputusan telah dibuat oleh barisan juri yang dilantik dengan memilih lagu nyanyian dan ciptaan Ana Raffali, meskipun ia mencetuskan sedikit kontroversi hingga menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.
Bercerita mengenai kejayaan yang dikecapinya itu, Ana sendiri mengakui sangat terkejut sebaik sahaja namanya telah diumumkan sebagai pemenang pada malam itu.
Menurutnya, tidak terdetik di hatinya langsung untuk bergelar juara memandangkan kesemua lagu yang bertanding pada AJL 25 sangat hebat dan memiliki kekuatan masing-masing.
“Ini adalah satu kejayaan terindah yang pernah saya kecapi sebagai seorang penyanyi. Dapat menyertai AJL 25 adalah satu penghormatan terbesar, apatah lagi menjadi juara dalam pertandingan yang cukup berprestij ini.
“Saya sendiri masih tidak percaya dengan kejayaan ini. Namun, saya sangat bersyukur dan sudah tentu dengan kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya bergiat lebih aktif dalam penciptaan lagu,” ujarnya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.
Ketika diminta mengulas mengenai kemenangan lagunya yang dipertikai dan menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak, Ana berkata dia tidak kecewa dengan keadaan tersebut. Ujarnya, setiap orang ada hak masing-masing dan kemenangan yang diraih itu adalah keputusan yang dibuat oleh para juri.
“Saya sedar bahawa lagu saya ini tidak popular serta jarang diputarkan di radio dan bukan merupakan calon pilihan mereka. Namun, saya bersyukur kerana para juri telah memilih lagu saya ini.
“Lagipun saya masih baru dalam industri muzik tanah air dan ini merupakan penampilan pertama dalam anugerah juara lagu. Apa yang saya mahu lakukan adalah cuba untuk memikat hati para pendengar agar dapat menerima lagu-lagu saya selepas ini,” ujarnya.
Menurut Ana, dia juga berharap agar para pendengar di luar sana dapat memberi peluang kepadanya kerana dia juga mempunyai impian untuk mengangkat martabat muzik tempatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Menyentuh mengenai lagu Tolong Ingatkan Aku yang diciptanya itu, Ana menjelaskan ia adalah sebuah lagu yang berkaitan sesuatu yang begitu dekat dengan dirinya dan peringatan supaya menghargai yang disayangi terutamanya keluarga dan rakan-rakan.
“Lagu ini juga turut mengingatkan saya kepada kakak saya yang telah meninggal dunia. Mungkin secara kebetulan, tarikh dia meninggal dunia adalah pada 9 Januari 2003 dan hari ini genap lapan tahun dia meninggalkan kami sekeluarga,” ujarnya.
Luahan hati
Muncul sebagai pemenang tempat ke-2, lagu berjudul Drama King nyanyian Black dan Meet Uncle Hussain menepati ramalan untuk merangkul salah satu kedudukan terbaik meskipun gagal untuk bergelar juara.
Pencipta lagu tersebut, Nik Mustaza Nik Mustapha atau Taja yang juga ketua kumpulan Meet Uncle Hussain menjelaskan, kejayaan lagu tersebut menjadi satu titik permulaan untuk dia menghasilkan lebih banyak lagu lagi selepas ini.
“Memang ada yang kata Drama King merupakan sebuah lagu berbentuk sindiran. Namun, lagu yang saya hasilkan adalah luahan daripada apa yang terbuku di hati dan saya luahkan melalui lagu ini.
“Lagipun saya sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran kerana apa yang saya mahukan pendengar rasa terhibur apabila mendengar lagu ini. Saya juga gembira kerana Black memberi kerjasama yang erat sehingga dapat menyampaikan lagu ini dengan baik,” ujarnya.
Menurut Taja, dengan kejayaan tersebut juga, dia tidak menolak kemungkinan untuk terus menjalinkan kolaborasi dengan Black selepas ini. Namun, setakat ini mereka masih lagi berada di tahap perbincangan untuk projek yang akan datang.
Ujarnya lagi, buat masa ini juga Meet Uncle Hussain belum bersedia untuk mencari penyanyi tetap dan lebih selesa menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi seperti Black dan Hazama.
Sementara bagi Black pula, meskipun lagu nyanyiannya itu berjaya mendapat tempat kedua, namun dia sedikit kecewa apabila tidak dapat mempertahankan anugerah kategori vokal terbaik yang dimenanginya tahun lalu.
Ujarnya, dia menyedari bahawa terdapat beberapa kesilapan yang telah dilakukan sewaktu menyampaikan lagu Drama King dan Sofea Jane sehingga terlepas gelaran tersebut.
“Bagi saya siapa yang membuat kesilapan pasti akan kecundang dan ternyata rezeki tidak memihak kepada saya. Biarpun gelaran berkenaan memihak kepada Hafiz, tetapi saya berpuas hati dengan persembahan saya malam ini,” ujarnya.
Kecederaan di leher
Pastinya ramai yang sudah mengetahui bahawa beberapa hari sebelum berlangsungnya AJL 25, pelantun lagu Noktah Cinta iaitu juara Akademi Fantasi musim ketujuh (AF7), Hafiz telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Selain keretanya yang remuk, dia juga turut mengalami kecederaan di leher.
Bagaimanapun, satu pujian harus diberikan kepada penyanyi tersebut kerana masih lagi mampu untuk membuat persembahan terbaik pada malam kemuncak. Usahanya juga tidak sia-sia apabila mendapat tempat ketiga serta merangkul anugerah vokal terbaik.
“Saya tidak mahu kemalangan yang terjadi itu menjadi punca saya tidak dapat membuat persembahan yang baik. Apa yang saya fikirkan semasa berada di pentas adalah terus fokus kepada persembahan tanpa memikirkan sebarang kesakitan yang dialami.
“Akhirnya, apa yang saya usahakan dalam tempoh tiga minggu ini telah membuahkan hasil. Biarpun hanya berjaya meraih tempat ketiga, tetapi itu sudah menjadi kepuasan kerana berada di pentas AJL juga adalah kebanggaan buat diri saya,” ujarnya.
Menurut Hafiz, selain mengakui agak terkejut dengan kejayaan tersebut, apa yang paling tidak disangka sama sekali adalah kejayaan meraih anugerah bagi kategori vokal terbaik.
Tambahnya, dia sedar bahawa sememangnya dia bukanlah calon pilihan untuk kategori tersebut. Namun, rezeki ternyata berpihak kepadanya apabila berjaya mengetepikan calon pilihan sebelum ini iaitu Black.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekuatan lagu Noktah Cinta yang dicipta oleh Ajai dan Shah Qalam itu, Hafiz menjelaskan lagu berkenaan mempunyai kekuatan dari segi melodi dan liriknya.
“Lagu ini telah dicipta oleh komposer yang sememangnya dikenali ramai dan berpengalaman luas. Maka sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menyampaikannya dengan baik agar dapat menarik minat juri untuk memilih lagu ini,” ujarnya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM22,000.
Elemen drama
Sudah berusia 25 tahun, AJL yang dianjurkan oleh TV3 masih lagi diminati ramai dan kekal sebagai sebuah acara yang mengangkat martabat industri nyanyian di negara ini.
Saban tahun, semakin banyak pembaharuan yang cuba dilakukan biarpun adakalanya pernah menimbulkan sedikit kontroversi dan salah faham seperti yang dialami pada tahun lalu.
Penerbit AJL 25, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam berkata, sepanjang terbabit dalam penganjuran anugerah juara lagu, dia menyifatkan bahawa AJL 25 adalah paling mencabar sekali untuk dianjurkan.
“Untuk anugerah juara lagu kali ini, ia membabitkan banyak penggunaan teknologi yang terkini. Malah, kami juga ada menggunakan teknologi yang baru pertama kali digunakan di Malaysia.
“Selain itu, kami juga hanya sempat melakukan dua kali raptai sebelum acara sebenar berlangsung. Apa pun kami telah lakukan yang terbaik dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kru yang telah bekerja keras,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai terlalu banyak elemen drama yang ditampilkan sehingga menimbulkan kritikan, Gbam menjelaskan bahawa pihaknya sekadar memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh peserta.
Ujarnya, keputusan mengenai bentuk persembahan yang ingin dilakukan pada acara tersebut adalah bergantung kepada peserta itu sendiri dan tidak menyangka elemen drama semakin menjadi pilihan penyanyi yang bertanding pada kali ini.
Selain ketiga-tiga lagu berkenaan, antara lagu yang layak ke final AJL 25 adalah Cinta Sempurna (Yuna), Berlari (Tomok/Shazee Ishak), Pelita (A.P.I/Loque), Kebahagian Dalam Perpisahan (Shahir/Edry Abdul Halim), Selamat Malam (Faizal Tahir/Audi Mok) dan Ku Ada Kamu (Adira/Edry Abdul Halim).
Turut menjejak kaki ke AJL 25 adalah lagu Extravaganza (Bunkface/Sam Bunkface), Sofea Jane (Black/Sham Kamikaze/Iswandy/Farril), Hanyut (Faizal Tahir/Audi Mok), Jahat (Stacy/Edry Abdul Halim) dan Mencari Konklusi (Hujan/Noh Hujan).
Sementara barisan para juri pula adalah terdiri daripada Habsah Hassan, Hasridz Murshim Hashim @ Acis, Azmeer, Amy Search, Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas @ Pacai, Andy Flop Poppy dan M. Nasir selaku ketua juri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment