Tuesday, January 18, 2011

Pelakon Cina 'Auntie Lai Meng' Lancar Buku Biografi



Lai Meng, pelakon veteran yang popular untuk drama-drama Cina.

KUALA LUMPUR: Pelakon legenda Cina tempatan, Lai Meng, 83, melancarkan buku biografinya di Hotel Ritz Carlton, di sini, Ahad lalu.
Buku yang mengisahkan tentang kehidupan Lai Meng dari kecil sehingga sekarang itu diterbitkan oleh Just Work Entertainment Sdn Bhd.
Idea untuk menghasilkan buku biografi itu tercetus daripada pemilik dan pengarah syarikat terbitan itu, James Wong Chee Keong, yang juga dikenali sebagai seorang pelakon.
Di samping itu, Lai Meng yang masih aktif dalam industri seni lakonan di Malaysia dan Singapura juga sempat berkongsi tentang rahsia dirinya.
“Saya hanya menjalani kehidupan biasa seperti orang lain. Yang paling penting, saya sentiasa ceria dan senyum. Saya tidak banyak berfikir tentang kesusahan dan perkara negatif.
“Sedangkan semasa berbual sekarang pun saya boleh ketawa dan ceria. Saya rasa hanya itu yang membuatkan kita bahagia dan gembira,” ujarnya kepada mStar Online. Lai Meng dikenali menerusi siri televisyen Empat Sekawan pada tahun 70-an dan 80-an.
Buku biografi ini berkongsi tentang kehidupan peribadi, kisah cinta, karier, cabaran dan pencapaian serta perkara yang belum pernah didedahkan sebelum ini.
“Saya berasa terharu dan berterima kasih kepada pihak Just Work Entertainment kerana sudi menghasilkan buku biografi ini. Saya juga menganggap buku ini sebagai penghargaan untuk mendiang suami yang telah meninggal dunia dua tahun lalu.
“Setakat ini, buku ini dihasilkan dalam bahasa Cina tetapi dalam masa akan datang ia juga akan dialih bahasa dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.
“Wang jualan buku semasa majlis pelancaran ini akan disumbangkan kepada Hospis Malaysia,” katanya lagi.
Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam industri sekarang ini, ibu kepada tiga orang anak ini muncul dalam drama ‘A Time To Embrace’ yang sedang disiarkan di 8TV dan sebuah filem yang bakal ditayangkan di pawagam di Singapura pada hujung bulan ini.
Selain itu, Lai Meng juga akan terlibat dalam sebuah persembahan ‘The Legend of Lai Meng Musical’ di Arena of Stars, Genting Highlands pada 19 Februari ini, pukul 8 malam.
“Saya juga masih aktif menyanyi dan akan membuat persembahan tentang kisah hidup saya.
“Saya seronok menjalani kehidupan sebagai seorang artis dan tidak terfikir untuk bersara lagi,” beritahunya.
Lebih menarik, dia yang telah berkecimpung dalam industri seni ini selama 58 tahun, baru sahaja dianugerahkan ‘Longest Performing Artist’ dalam The Malaysia Book of Records beberapa hari lalu.
Selain itu, dia juga pernah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Golden Award ntv7 2010.
Buku biografi Auntie Lai Meng dijual pada harga RM33 di kebanyakan kedai buku utama di Malaysia termasuk Popular dan news.com mulai Februari ini. Ia juga boleh didapati di beberapa kedai buku di Singapura

No comments:

Post a Comment