Tuesday, January 18, 2011

Shahidan: Kami akan bincang terlebih dulu

KEMUDAHAN di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur semuanya serba lengkap bagi memudahkan atlet menjalani latihan. – Gambar hiasan


KOMPLEKS Sukan di Bukit Jalil semuanya lengkap.Dalam erti kata lainnya, semua persatuan sukan di negara ini tidak perlu bersusah-payah untuk mencari tempat bagi menjalani latihan.
Benda yang sudah ada di depan mata, buat apa nak bersusah mencari tempat lain untuk tujuan latihan.
Pergunakanlah sepenuhnya segala kemudahan yang ada di Bukit Jalil, lagipun pembinaannya adalah untuk memudahkan atlet menjalani latihan.
Atlet dari luar negara kagum dengan kemudahan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, malah turut menjalani latihan di situ.
Tetapi, persatuan sukan di negara ini bertindak sebaliknya.
Andai Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sedar bahawa di Bukit Jalil memiliki segala-galanya, maka tidak akan timbul masalah untuk mereka bagi mencari tempat menjalani latihan.
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa isu yang ditimbulkan oleh KOAM sekarang lebih terjurus kepada agenda peribadi, dan mereka terus mempertahankan hasrat untuk mengadakan latihan di kompleks Sukan Ranau di Sabah.
Majlis Sukan Negara (MSN) sudah menjelaskan semuanya, tetapi KOAM menerusi timbalan presidennya, Karim Ibrahim terus berdegil.
Begitupun, presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim belum mahu melatah dengan isu tersebut meskipun tidak mendapat persetujuan MSN.
Shahidan menganggap segala kekusutan yang berlaku ketika ini mengenai masalah tersebut masih boleh diselesaikan dengan cara berhemah dan beliau percaya perbincangan di antara semua pihak terbabit mampu menjernihkan semula keadaan.
Menurut Shahidan, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong bagi membincangkan isu tersebut esok.
"Saya akan berbincang terlebih dahulu mengenai isu ini bersama Timbalan Menteri (Razali) dan Ketua Pengarah MSN (Zolkples) bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Pada mulanya, saya mahu berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) namun beliau kini difahamkan berada di luar negara dan sebab itu saya akan bertemu dengan timbalannya dahulu.
"Bagi saya, hanya dengan mengadakan rundingan sahaja mampu mencari jalan penyelesaian yang terbaik," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zolkples yang mengesahkan bahawa MSN menolak cadangan KOAM untuk menghantar barisan atlet olahraga negara menjalani latihan di Ranau sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.
Jelas Shahidan lagi, MSN mungkin tidak mendapat gambaran sebenar tentang perancangan tersebut dan disebabkan itu beliau sendiri mahu mengadakan perbincangan dengan wakil daripada pihak terbabit.
"Sebab itulah, saya mahu mengadakan pertemuan dengan pihak MSN bagi memberikan mereka gambaran yang lebih jelas mengenai perancangan yang ingin dilaksanakan oleh KOAM ini," katanya.
Bagaimanapun, Shahidan yang juga merupakan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengakui pasti akan timbul beberapa masalah dengan perancangan untuk mengadakan latihan pusat sebanyak empat fasa di Ranau itu.
"Kita kena terima hakikat bahawa kompleks sukan di Ranau itu merupakan sebuah kompleks baru dan pastinya akan timbul beberapa masalah nanti. Itu memang tidak dapat dinafikan.
"Namun, daripada segi cuaca, Ranau merupakan tempat yang paling sesuai untuk kita mengadakan latihan," kata Shahidan lagi.
Dalam perkembangan lain, Shahidan mengesahkan ba hawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada mesyuarat agung tahunan badan induk olahraga itu pada 29 Januari ini.
Shahidan berkata, beliau juga sedia dicabar jika ada yang mahu bertanding jawatan itu.
"Jika ada yang ingin bertanding dalam apa jua jawatan dalam KOAM, bertandinglah secara baik," ujar Shahidan yang menyandang jawatan selaku Presiden KOAM sejak 2006.

No comments:

Post a Comment