KUALA LUMPUR, 17 JAN 2011: Penyanyi baru dari Korea Selatan, Gina Choi atau lebih dikenali dengan nama G-Na, 24, sama sekali tidak menyangka dirinya sangat popular di Malaysia.
Malah, ketika mengadakan rakaman program K-POP Hitz terbitan Astro Hitz petang Jumaat lalu (14 Januari 2011), G-Na yang hadir bersama teman seperjuangan iaitu B2ST dan 4Minute mendakwa dirinya masih lagi terlalu kecil berbanding B2ST dan 4Minute yang nyata lebih popular darinya.
"Sungguh pun ini adalah kali pertama saya datang ke Malaysia, saya terasa sangat seronok dan teruja. Apatah lagi, saya sendiri tidak menyangka respon yang diberikan di sini sangat baik walaupun saya masih baru sebagai penyanyi.
"Secara jujur, saya tidak menyangka yang saya memiliki begitu ramai peminat di Malaysia. Terima kasih kerana meminati dan menghargai bakat saya," katanya kepada murai.com.my yang ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, G-Na yang agak gugup sehingga terlupa lirik sewaktu menyanyi di konsert Digi Live K-Pop Party 2011 di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada malam 13 Januari lalu menjelaskan, dia juga tidak menyangka seorang bintang terkenal Korea Selatan yang sudah mencipta nama di Hollywood iaitu Rain, mahu bekerjasama dengannya.
"Saya tahu memang ramai yang cemburu dengan saya kerana peluang berduet bersama Rain. Namun, saya sendiri tidak menyangka, dari ramai-ramai artis di Korea Selatan, saya yang menjadi pilihannya. Saya terharu dan rasa bertuah sekali.
"Bekerja dengan Rain bukanlah satu yang sukar. Sungguhpun dia sudah ternama, dia banyak membantu saya yang masih baru. Jadi, kepada peminat di Malaysia nantikan album terbaru saya iaitu Black & White tidak lama lagi. Diharap peminat akan memberikan maklumbalas yang sama sebagaimana album saya sebelum ini," jelasnya.
Sementara itu, G-Na yang popular dengan lagu Supa Solo mengakui berasa semakin selesa berada di Malaysia walaupun cuaca dan budaya berlainan di Korea Selatan.
"Selepas beberapa hari di sini, saya rasa amat selesa walaupun cuacanya tak sama seperti di Korea Selatan. Saya juga seronok melihat peminat di Malaysia. Mereka tidak sama seperti peminat di negara lain. Kalau ada peluang, saya akan datang ke Malaysia lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment