Thursday, January 13, 2011

Diana Danielle Trauma Akibat Letupan



KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2011: Pelakon popular, Diana Danielle mengakui masih terkejut dan trauma dengan kejadian letupan yang tercetus sewaktu dia menjalani penggambaran filem Barajiwa arahan Osman Ali di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, malam semalam.
Beliau yang ditemui portal murai.com.my berkata, dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun bersimpati dengan nasib seorang pelakon pembantu filem berkenaan Raffi Husein dan seorang lagi pelakon tambahan yang tercedera akibat kejadian berkenaan.
"Ya, saya masih trauma dengan kejadian malam tadi. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan yang saya alami kerana kejadian letupan kebakaran itu sama sekali tidak dijangka.
"Memang ada perasaan kecewa dengan insiden ini, bagaimanapun saya harapkan agar mereka 2 pelakon yang tercedera akan mendapat rawatan sewajarnya kerana inilah sumber pendapatan mereka," katanya selepas majlis sidang media sempena perlantikannya sebagai jurucakap Snips di sini sebentar tadi.
Raffi mengalami kecederaan di tangan sebelah kiri, dada dan bahagian belakang pinggang, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
Diana berkata, selain dia dan dua pelakon pembantu berkenaan, beberapa pelakon utama filem berkenaan iaitu Remy Ishak Bront Palarae, Mislina dan Fizz Fairuz turut berdepan dengan trauma kerana masing-masing turut berada di lokasi kejadian.
Katanya, kerana masih terkejut dengan kejadian itu, dia mengharapkan supaya dapat menyelesaikan penggambaran filem berkenaan secepat mungkin dan sama sekali tidak akan mengulangi babak letupan berkenaan jika dipinta dilakukan sekali lagi.
Insiden yang mengejutkan itu berlaku sekitar jam 10 malam, ketika para pelakon sedang menjayakan babak letupan di sebuah rumah terbiar sebagai melengkapkan proses penggambaran yang sudah 50 peratus siap.
Sementara itu menurut Osman Ali, pihaknya sudahpun membuat laporan polis berkenaan kemalangan berkenaan dan dua pelakon yang tercedera kini sedang dirawat di Hospital Universiti Malaya sejak malam tadi.
"Sebagai pengarah dan seluruh pihak produksi kami sama sekali terkejut dengan kemalangan ini dan akan mengambil sepenuh rasa tanggungjawab dengan apa yang dialami oleh pelakon yang tercedera.
"Pihak kami juga akan mengadakan sidang media pada malam ini, bagi menjelaskan kejadian sebenar kepada pihak media memandangkan banyak khabar angin yang mengatakan Diana dan Remy telah mengalami kecederaan teruk," katanya.
Barajiwa merupakan filem terbaru arahan Osman Ali selepas Anak Halal yang mengisahkan Thisya lakonan Diana Danielle yang terperangkap dengan cinta seorang jejaka bermasalah lakonan Remy Ishak.

No comments:

Post a Comment