KUALA LUMPUR, 11 JAN 2011: Mahu menjadi seorang wanita, isteri dan anak yang baik, itulah impian penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-32.
Bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang berterusan serta memiliki kehidupan yang sempurna, Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan panggilan Siti mengharapkan kegembiraan tersebut akan berkekalan selamanya.
"Alhamdulillah saya bersyukur dengan apa yang diperolehi kini. Sebolehnya saya mahu memperbaiki lagi diri saya untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya.Saya berharap saya mampu memperbaiki beberapa perkara dalam hidup seperti kerjaya saya, baik dalam bidang seni mahu pun perniagaan.
"Dari segi peribadi, saya mahu menjadi seorang wanita, isteri dan anak yang baik," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya ke-32 yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur malam tadi.
Ditanya mengenai hadiah yang diterima daripada suami tercinta (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa), bicara Siti, dek kerana kesibukkan yang dilaluinya dalam masa terdekat, ia menyebabkan dia dan suami tidak berkesempatan untuk keluar bersama membeli hadiah hari lahirnya.
Namun dalam tersenyum malu, Siti memberitahu, dia mahu suaminya menghadiahkannya komputer riba Macbook Pro.
"Kebelakangan ini Siti agak sibuk jadi masa untuk bersama suami pun terhad. Jadi nak pergi membeli hadiah pun tak ada masa. Tapi kalau boleh Siti harap sangat dapat hadiah Macbook Pro daripada suami," katanya lagi.
Malah tutur Siti, majlis sambutan hari lahirnya yang dikendalikan oleh suami beserta kakitangan syarikatnya sendiri, Siti Nurhaliza Production (SNP) juga merupakan hadiah istimewa yang diperolehinya.
Dihadiri oleh keluarga terdekat, rakan artis, majlis tersebut turut dihadiri oleh pengguna SimplySiti.
Belum pun setahun di pasaran, Siti amat teruja apabila, produk keluarannya itu mendapat tempat di hati peminat. Sebagai penghargaan, Siti bakal melancarkan kempen "Wajah-Wajah SimplySiti".
"Tujuan kempen ini ialah untuk mengumpulkan seramai mungkin wajah-wajah pengguna SimplySiti yang akan dihimpunkan menerusi sebuah dinding yuang dinamakan Himpunan Wajah-Wajah Simplysiti yang mana ia akan dipaparkan di showcase, Malam Gala Simply 1 pada bulan April 2011 depan.
"Selain itu, kita juga akan mengadakan pelbagai aktiviti, sepanjang Januari sehingga Mac ini bagi memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan Siti dan mengetahui dengan lebih dekat lagi tentang produk ini iaitu bengkel kecantikan, sesi bertemu peminat," ," ujarnya yang mahu memiliki sebuah pusat kecantikan sehenti dalam tempoh masa 10 tahun.
Antara rakan artis yang hadir pada majlis tersebut ialah Fahrin Ahmad, Yuna, Mawi, Ekin, Fazli Zainal dan Ezlynn.Selain Siti menghiburkan tetamu yang hadir, rakan-rakan artis seperti Fazli Zainal, Ezlynn dan Faizal Tahir turut menyumbang suara pada malam tersebut.
No comments:
Post a Comment