KATA Liyana Jasmay dan Syamsul Yusof, mereka tidak bercinta. Namun daripada keintiman yang ditunjukkan pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, ia boleh diklasifikasikan sebagai terbit bunga-bunga cinta antara kedua-dua pelakon utama filem Khurafat itu.
Barangkali tempoh penggambaran Khurafat sepanjang 25 hari sudah cukup bagi mereka untuk mencipta kemesraan meskipun ia adalah gandingan pertama mereka.
Tatkala disuakan persoalan kelas hubungan mereka, mereka menafikan sedang menyulam kasih. Apatah lagi menurut gadis 22 tahun itu, dia tidak pernah sekali pun mengenali ‘suaminya’ itu secara rapat sebelum terbabit dengan Khurafat.
“Saya tidak pernah kenal dengan dia (Syamsul) secara rapat dan gandingan pertama bersama dia membuatkan saya berasa kekok. Mungkin sebab sebelum ini kami tidak pernah berkawan dan hanya kenal sebagai rakan artis,” katanya.
Terus-terusan memuji, Liyana turut mengangkat martabat Syamsul sebagai antara bujang terhangat dan pada usia 26 tahun, anak kepada pengarah dan penerbit ternama, Datuk Yusof Haslam itu turut dilihat mempunyai sisi yang matang serta mampu menggalas tanggungjawab dengan baik andai kata bergelar suami kelak.
|
|
Bagaimanapun selepas diasak lagi dengan kisah percintaan antara mereka, Liyana sambil ketawa memberitahu, jika boleh, dia ingin berkasih dengan mat saleh.
“Kalau boleh saya nak mat saleh. Apa-apa pun saya kini masih solo. Lainlah kalau sudah ada orang masuk meminang dan pada ketika itu, sudah tentu sudah ada cincin di jari manis saya dan pada waktu itulah saya bukan lagi solo,” sambil menunjukkan jari manisnya.
Tidak mahu lagi mendesak Liyana yang sudah cukup memberikan pengakuan, persoalan cinta dialihkan pula kepada Syamsul untuk pemeriksaan balas.
Ditanya mungkinkah Liyana adalah calon terbaik mengisi hatinya selepas melalui episod duka dengan Diana Danielle, pemuda itu hanya mampu tersenyum sambil memandang si genit yang duduk di sebelah.
“Bagi saya, dia (Liyana) seorang yang gila-gila. Saya seronok bekerja dengan dia, tetapi kami hanya teman biasa.
“Saya juga menginginkan seorang isteri yang tidak tinggal solat serta memahami karier seni saya sekiranya dia bukan dalam bidang yang sama seperti saya,” tutur Syamsul yang kredibilitinya semakin mendapat pengiktirafan banyak pihak.
Kembali kepada realiti ‘hubungan’ mereka dalam Khurafat, Syamsul memberitahu dia gemar untuk bekerja dengan lawan main yang tidak pernah berganding dengannya.
Pertama kali berganding dengan Liyana, Syamsul menyifatkan aktres tersebut sangat komited.
“Dia juga sesuai untuk membawa watak Aishah, iaitu seorang isteri yang bertudung dan saya berpuas hati dengan mutu lakonannya,” katanya yang sudah pernah berganding dengan beberapa pelakon wanita lain seperti Fasha Sandha, Nabila Huda dan Scha Al-Yahya.
|
|
Sementara itu, penyandang Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), Liyana mengaku gementar pada babak awal membawa watak tersebut apatah lagi ini adalah gandingan pertama kali mereka.
Katanya: “Saya mengambil masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan ‘suami’ saya itu.”
Menurutnya lagi, untuk menjayakan watak sepasang suami isteri, hubungan kimia perlu wujud di antara mereka agar keserasian mudah dicapai.
“Kami berjaya membina kimia semasa di set penggambaran dalam masa seminggu. Namun begitu, saya akui bergelut untuk menyampaikan dialog kerana cara Syamsul berbeza dengan saya, jadi saya perlu berhati-hati sebab takut terikut-ikut dengan cara dia.
No comments:
Post a Comment