Tuesday, January 11, 2011

Benarkah Dr Rozmey Majukan Bangsa Dengan 2 Alam?

Kegembiraan Datuk Dr. Rozmey Che Din melihat kesesakan penonton yang ingin melihat 2 Alam pada tayangan perdana Festival Filem Malaysia ke-23 nampaknya tidak lama. Tidak dinafikan tiket untuk tayangan 2 Alam awal-awal lagi telah habis kerana rata-rata yang datang mahu menonton filem tersebut. Setelah mendengar kehebatan yang dicanang dan keyakinan filem itu mampu mengutip RM40 juta, mustahil bagi sesiapa pun tidak mempunyai rasa hati ingin menontonnya.
Tiada niat untuk mengutuk atau mengeji, ManggaOnline (MO) sekadar ingin melihat sejauh mana kehebatan filem arahan Imran Ismail yang dikatakan membawa pembaharuan dalam industri filem Malaysia. Kata Dr Rozmey, filem ini menggambarkan perjuangan murni untuk manfaat semua dan membawa mesej sarat yang mampu merobek jiwa, mengalirkan airmata dan menghiburkan dibuat dengan hasil seni tertinggi.

Dan kini semakin hangat Dr Rozmey mengkritik wartawan hiburan yang disifatkan sebagai dangkal. Semuanya berpunca daripada kritikan media kepada filem hasil tangannya, 2 Alam. Menyifatkan diri beliau telah membawa Melayu maju dengan acuan yang dibentuk. Kata-kata daripada laman sosial Facebook angkuh mengatakan 2 Alam mampu memecah panggung setelah ditayangkan.

"ddr telah bawa melayu maju dgn acuan ddr. Kehebatan ddr bikin dan jual 2 alam kini jadikan melayu takut. Melayu yg takut ini terdiri dari wartawan hiburan yg tiada jiwa perjuangan, tiada tujuan kehidupan, tiada cinta pertiwi dan budaya bangsa. Saat ddr berjaya buka pasaran jual filem, mereka masih kalut dgn cerita lara. Biz ddr jujur, produk bagus saja ddr jual..pecah panggung 40 juta dah tak lama." Luahan Dr Rozmey menerusi laman sosial miliknya. Mungkin kecewa dengan kritikan pedas yang disasarkan padanya.

Bukanlah kerana MO seorang Melayu yang takut akan perubahan, namun sebagai seorang pencinta filem dan mempunyai deria rasa seperti makhluk yang lain, jujur MO katakan, filem tersebut tidak mampu menarik minat untuk dihayati sehingga ke akhirnya. Ia hanya membangkitkan persoalan demi persoalan dan lebih pelik apabila muzik video muncul dipertengahan cerita. Namun tidak mengapa, mungkin ini salah satu perubahan yang dimaksudkan.


Namun benarkah filem ini mampu membangunkan bangsa Melayu? Adakah skrip seperti " You ni memang powerlah baby," atau " Sekarang turn kau pula main dengan dia," mampu membuatkan Melayu maju?

Atau babak ranjang dengan pelbagai lelaki dan di dalam tab mandi mampu membawa perubahan dalam industri perfileman Malaysia seperti yang dicanangkan? Mungkin juga benar kerana tak banyak filem Melayu berani memaparkan adegan terlarang sebegitu.

MO tak layak memberikan ulasan atau kritikan kerana ilmu MO tidaklah setinggi ahli akademik untuk memberikan penilaian terperinci. Namun hasil penontonan bersama rakan media yang lain, rata-rata memberi komen yang seakan sama. Dan lebih tepat lagi 2 Alam tidak memenuhi citarasa.
Mungkin anda yang lain mempunyai pendapat berbeza. Tiada niat menjatuhkan bangsa, namun bukankah bangsa Melayu terkenal dengan sifat rendah diri dan berbudi pekerti, sombong lagak bukan budaya kita.

Bukan MO tidak pernah menonton filem yang jauh lebih rendah mutunya, namun tidak pula media mencanangkan betapa teruknya filem tersebut. Hanya seulas kritikan dan ianya terhenti setakat itu sahaja.
Lain pula halnya dengan 2 Alam, mungkin ini kaedah yang dipromosi mereka, namun sikap angkuh mampu mengutip jumlah yang tidak mungkin terjadi walau pada filem Hollywood di negara kita, nampaknya hanya menjadikan beliau sebagai sasaran kutukan. Kita lihat mampukah omong kosong itu menjadi realiti pada 18 November nanti.

No comments:

Post a Comment