Tuesday, January 18, 2011

Sentuh lelaki kerana skrip



AIR muka dan tutur katanya amat lembut jika diteliti secara dekat. Setiap patah bicara yang terpacul dari mulut pelakon jelita itu melambangkan kematangan dan kebijaksanaannya yang tersendiri serta padat dengan isi.
Mudah untuk diajak berbicara, Nur Fathia Abd. Latiff juga tidak lokek berkongsi kisah kerjaya mahupun peribadi, cuma kadangkala dia akan terdiam sejenak sebelum menjawab pertanyaan. Barangkali mahu menyusun ayat agar kata-kata yang diungkapkan tidak disalah ertikan.
Memiliki tubuh idaman yang diimpikan oleh setiap kaum Hawa iaitu bertubuh langsing dan tinggi lampai, Nur Fathia dilihat tidak perlu bekerja keras untuk membina nama di persada seni.
Berbekalkan pakej itu, namanya kini semakin dikenali meskipun baru membintangi beberapa buah drama TV3 antaranya Nur Kasih yang bertanggungjawab mengangkat namanya ke satu fasa yang lebih tinggi dan diikuti dengan Musang Berjanggut, Dea Sofea, Laila Asyikin dan yang kini sedang hangat ditayangkan, Hani.
Masih mampu mengekalkan rekod tanpa sebarang gosip hangat, Nur Fathia bagaimanapun pernah dikecam di sebuah laman portal kerana dikatakan sering membawa watak berpeluk-pelukan dan bersentuh-sentuhan dengan pelakon lelaki dalam beberapa drama lakonannya.
Tidak terus melatah, pelakon kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang itu tenang mendengar soalan yang diajukan kepadanya sebelum menghela nafas untuk memberi jawapan.
"Pertamanya, saya minta maaf jika ada yang tersinggung dengan perkara itu. Jujurnya itu adalah kehendak skrip dan tidak lebih daripada itu.
"Jika bawa watak suami isteri atau kekasih, skripnya begitulah, tetapi saya tidak akan sesekali bertindak untuk melakonkan babak aksi di ranjang.
"Saya juga tidak akan melakonkan babak berpeluk atau bersentuhan secara berlebih-lebihan," katanya yang meminta agar peminat mengerti tuntutan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Tolak tawaran KRU

SEDANG mengenali hati budi seorang pemain bola sepak, Nur Fathia mengakui rapat dengan jejaka tersebut.


Berasal dari keluarga yang menitikberatkan nilai keagamaan yang tinggi dan juga tegas, minat lakonan yang bertakung dalam diri Nur Fathia pada mulanya mendapat tentangan tatkala hasrat hatinya itu dicurahkan kepada kedua-dua ibu bapanya.
Malah pada awalnya ibu bapanya enggan melayan kehendaknya itu kerana mereka lebih senang dia memberi fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.
"Namun, lama-kelamaan mereka izinkan juga saya berlakon walaupun tidak sepenuh hati. Dengan pelepasan itu, saya perlu pastikan setiap keputusan peperiksaan saya mestilah baik dan saya tidak mahu kecewakan mereka.
"Sehingga kini, saya akan tanya pendapat mereka setiap kali saya menerima tawaran berlakon," tuturnya.
Memulakan karier lakonan pada usia 19 tahun, Nur Fathia boleh dikatakan sebagai seorang yang bertuah ekoran tawaran berlakon yang tidak pernah putus diraihnya.
"Selepas Hani, saya ada menerima beberapa lagi tawaran lakonan termasuk tawaran sebagai heroin dalam filem terbitan KRU Production. Malangnya, saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana baru sahaja mula semester.
"Kecewanya tidak dapat nak digambarkan. Apa boleh buat, saya tak mahu tangguhkan pembelajaran dan saya mahu habiskannya terlebih dahulu. Itu janji saya," luahnya.
Untuk pengetahuan umum, sejak awal bulan ini, Nur Fathia merupakan seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
Ekoran itu, dia perlu memperlahankan karier lakonannya untuk memberi laluan kepada kuliah serta tugasan yang perlu dilakukan.
"Kuliah saya empat hari seminggu dari Isnin hingga Khamis, jadi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad itulah masa saya untuk selit-selitkan dengan aktiviti seni sama ada sesi fotografi atau apa sahaja.
"Saya masih boleh menerima tawaran berlakon dan membuat (iklan) komersial dalam tempoh belajar, tetapi kalau penggambaran itu mengambil masa terlalu panjang, memang saya tidak boleh beri persetujuan. Tak mahulah nanti orang kata saya pentingkan diri sendiri," luahnya serius.

FIGURA jelita ini bertegas tidak akan sama sekali berlakon babak ranjang.


Bakal muncul di layar perak buat pertama kalinya dalam filem Hijab, Nur Fathia yang bergandingan dengan pengarah dan juga penerbit filem itu, Pierre Andre mengakui teruja berbaur bimbang untuk menunggu impak penonton kelak.
Rapat dengan pemain bola sepak
Puas berbicara tentang kerjaya dan pelajaran, topik perbualan diolah menjurus kepada kisah cinta yang mungkin sedang bertandang di dalam taman hatinya.
Menyambut pertanyaan dengan gelak ketawa, Nur Fathia mengakui sedang rapat dengan seseorang, namun masih belum ada ikatan rasmi yang mengikat mereka berdua.
"Kami tak declare (ikrar) apa-apa, cuma rapat sahaja dan masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Perkenalan kami baru berusia setahun dan dia merupakan pelajar dan pemain bola sepak di UiTM.
"Umur kami sebaya dan dia adalah kawan baik saya, tetapi kami tidak ada apa-apa (ikatan). Dia memang tempat saya mengadu segala masalah dan kami hanya kawan rapat," katanya sambil tergelak.
Pada masa yang sama, Nur Fathia mengakui dia gemar berkawan dengan ramai orang dan dalam masa yang sama, sedang memerhati calon lelaki yang sesuai untuk menjadi suaminya memandangkan usianya sudah menginjak 24 tahun.

No comments:

Post a Comment