Tuesday, January 11, 2011
Tersentuh dengan Selby
Semasa membelek-belek majalah Wanita edisi November 2010, terlihat cerita rintihan seorang ibu walang yang menerima kejutan bermenantukan wanita yang sebaya dirinya. Lestari Selby berkongsi cerita dengan majalah Wanita.
Menantunya, Shahanum berusia 66 tahun sedangkan anaknya, Mohd. Fawwaz berusia 20-an. Terkejut dan berat menerima pada awalnya, tapi setelah bersemuka dan melihat sendiri bagaimana wajah ceria dan gembira anaknya membuatkan hatinya sejuk.
Hari ini dunia hiburan memperkatakan pasal rumahtangga pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan suaminya Aidil Zafuan Abdul Radzak, 22, menghadapi masalah. Isu penerimaan keluarga lelaki antara yang pernah menjadi isu sehingga hubungan kekeluargaan sukar dijalinkan di antara mereka.
Hari ini apabila hubungan Rita dan Aidil sendiri menempuh gelombang, isu penerimaan keluarga sekali lagi diketengahkan. Rita ada memberitahu media pasal campurtangan keluarga mentua antara yang memainkan peranan dalam masalahnya dan suami. Keluarga mentua membuat kenyataan balas.
Kini setelah hubungan Rita-Aidil mula berantakan, bapa Aidil, Abdul Radzak memberitahu mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan anak menantu sebaliknya mahu mereka menyelesaikan sendiri masalah itu.
"Kami sekeluarga sedia pada bila-bila masa menemui Rita dan keluarganya bagi menjelaskan perkara sebenar dalam pendirian keluarga kami yang telah menerima baik kehadiran Rita sebagai isteri kepada Aidil," kata Abdul Radzak kepada media.
Jelasnya, tidak timbul soal mereka menolak Rita kerana menantunya kini sudah menjadi sebahagian daripada keluarga dan melahirkan zuriat Aidil yang juga cucunya.
"Memanglah keluarga berasa kecil hati dengan perkara lampau di peringkat awal perkahwinan dulu, tetapi itu kisah dua tahun lalu dan selepas itu kami sudahpun melupakannya serta menerima Rita serta ahli keluarganya. Cuma saya berasa takut dan serba salah kerana bimbang apa yang diperkatakan ini nanti disalah ertikan pula," sambung Abdul Radzak lagi.
Pelajaran daripada kisah Selby
Apa hubungannya dengan Lestari Selby? Memang Selby tiada kaitan dengan apa yang sedang dilalui oleh Rita dan Aidil. Tetapi masalah utama yang membuatkan hubungan mereka berantakan adalah sama dengan situasi yang Selby lalui. Malah apa yang Selby lalui lebih parah kerana anak lelaki tunggalnya berkahwin dengan wanita sebayanya dengan jarak usia lebih 40 tahun.
Selby mengaku kepada wartawan majalah Wanita yang dia pernah kecewa apabila anaknya berkahwin dengan wanita tua. Macam-macam benda negatif bermain dalam fikirannya ketika itu dan pernah memikirkan kemungkinan anaknya dikenakan ubat pengasih guna-guna.
Apabila mengetahui menantunya seorang wanita kaya, gerak hati Selby mula berfikiran jahat kemungkinan anaknya seorang kaki kikis. Tapi segala-galanya bertukar apabila dia melihat sendiri kebahagiaan yang terpancar pada wajah anaknya. Malah wajah bahagia itu tidak pernah dilihat terpancar dari muka anaknya sebelum ini.
"Sudah takdir dan mungkin jodoh anak saya. Masa mula-mula dapat tahu ralat juga dan ramah. Berhari-hari saya termenung memikirkan kenapa anak saya tergamak melukakan hati saya dan memilih wanita itu. Tapi apabila memikirkan betapa bahagianya anak saya sekarang, saya berusaha membuang perasaan marah itu jauh-jauh. Semuanya demi seorang anak. Sekarang saya rasa lebih selesa dan tenang," luah Selby.
Selby wanita Indo-Belanda yang kini tinggal di Australia mengakui bukanlah perkara mudah melalui hakikat itu, tapi keredhaannya dan ingat segala-galanya takdir Allah membuatkan Selby lega dan boleh menghapus noda duka dalam dirinya.
"Sesiapapun berada di tempat saya akan terkejut jika melalui perkara ini. Jika saya terus membantah, saya akan kehilangan anak, biarlah saya mengalah. Lagipun saya tahu dia telah membuat pilihan yang tepat," luah Selby.
Kisah Selby yang redha menerima menantu sebaya boleh dijadikan iktibar kepada sesiapa sahaja,tak kisahlah melibatkan artis atau orang awam. Lelaki muda mungkin ada sebab tersendiri yang dia sendiri tak boleh jelaskan sebabnya mengapa dia sedang berada di samping wanita yang lebih berusia.
Orang tua juga pasti tidak faham naluri anak mereka walaupun melihat seseorang anak membesar di depan mata. Nalurinya hanya dia seorang sahaja yang tahu. Kalau semua ibu mudah menerima pilihan anak, tak kira usia, keturunan, kaya atau miskin, pasti masalah krisis hubungan kekeluargaan tidak akan berlaku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment