Tuesday, January 11, 2011

Natrah: Sensitiviti vs Kreativiti

Datin Seri Fatini Yaacob, penulis dan pengkaji kisah hidup Natrah tidak habis-habis mengkritik hasil kerja Erma Fatima yang mengarahkan teater Natrah sejak awal usaha pengarah wanita sensasi itu.
Apabila Erma ditugas mengarahkan teater sama sekali lagi, Fatini bising lagi. Antara inti kritikan Fatini ialah penampilan salib yang dibikin besar-besaran oleh Erma. Erma marah dan sedia menarik diri malah mencabar Fatini mengambil tugasnya mengarah Natrah mengikut kehendaknya. Erma kata Fatini tak faham kerja seni dan kreativiti.

Fatini
Erma
Fatini dalam  ruangan pendapat akhbar Utusan Malaysia (yang memuatkan gambarnya sedang memegang buku Natrah tulisannya) meminta Erma jujur dalam Islam semasa berkarya.  Tegas Fatini, beliau menegur lambang-lambangKristian yanag Erma besarkan dengan kadar yang sangat luar biasa di pentas itu. Menurutnya ia sebagai tanda Erma teleh memperlecehkan Islam.
Fatini juga mendakwa Erma telah membawa kekeliruan terhadap masyarakat terutamanya golongan muda. Menurut Fatini, Natrah tidak mati sebagai seorang Islam, juga tidak di dalam agama Kristian. Sebab itulah Fatini mempersoalkan kewajaran lambang salib di tengah-tengah pentas Istana Budaya, tempat Natrah dipentaskan.
Erma juga naik angin apabila isu pasal pementasan Natrah bangkit lagi. Lebih membuatkan hatinya sakit kerana kali ini buku Narah tulisan Fatini sedang dipromosikan. Erma nampak ia satu usaha mempromosikan buku itu dengan melontarkan pelbagai tuduhan terhadap hasil kerjanya.
Namun tegas Fatini, buku Natrah yang dihasilkannya bukannya untuk menjadi milik peribadi, malah beliau berasa tidak tergamak mengutip royalti daripada penjualan buku itu. Beliau mahu menyumbangkan kepada kepentingan memartabatkan Islam.
Nampaknya isu di sini ialah pertembungan antara sensitiviti agama dengan kreativti. Nampaknya Natrah (Maria Hertogh) ini hanya mencetuskan kontroversi sahaja. Semasa mudanya dia menimbulkan kekacauan dan perbalahan kerana ada dua pihak yang mahu menegakkan agama masing-masing.
Ibu angkatnya Che Aminah serta orang Islam pada zaman itu mahu dia kekal sebagai seorang wanita Islam manakala penjajah serta keluarga kandungnya mahu membawanya kepada agama asal sebagaimana semasa Narah dilahirkan. Apabila dibawa ke pentas teater pun Natrah masih membawa kekacauan. Kali ini Erma (pengarah berani) dan Fatini (pernah menjadi kawan Natrah) pula bercakaran dan bertikam lidah kerana idea mereka pasal Natrah berbeza.

Maya Karin sedang berlatih babak hari penyampaian hadiah pelajar
Adakah Fatini rujukan mutlak?
Memang semua orang tahu Fatini pernah berjumpa Natrah semasa ditugaskan menjejaki wanita Belanda itu serta mendalami isi hatinya. Tulisan Fatini menjadikan majalah Dewan Masyarakat meletup dan mengalahkan jualan majalah glamor lain pada masa itu. Semua orang mahu tahu kisah yang dibawakan oleh Fatini.
Kata Fatini, tiada penulis Barat atau Timur yang memiliki informasi selengkap yang kita (Fatini) ada dalam sejarah Natrah. Mereka kena merujuk kepada apa yang kita ada dalam sejarah Natrah yang istimewa itu. Adakah tanpa maklumat daripada penceritaan Fatini, kisah Natrah tidak akan diketahui?
Sebelum Fatini menulis pun semua orang tahu pasal kisah hidup Natrah semasa mudanya kerana ia telah menjadi salah satu sejarah. Jadi bukan semua informasi pasal Natrah datang daripada Fatini. Kita juga tidak tahu sebanyak manakah hasil penyelidikan Fatini yang menjadi asas kepada Erma semasa menghasilkan cerita untuk teater Natrah.
Jadi untuk menuduh Erma melayan buruk penulis adalah tidak tepat. Erma pastinya ada tafsiran sendiri untuk mendalami isi hati Natrah dan meluahkannya melalui watak roh Natrah lakonan Sofia Jane yang sangat berkesan.
Semasa Erma memulakan hasrat mementaskan teater Natrah tahun lalu, wanita itu masih hidup. Hanya selepas teater itu diuar-uarkan, wanita kontroversi itu meninggal dunia. Mungkin kalau Natrah masih hidup, corak pementasan itu akan berlainan dengan apa yang Erma persembahkan.
Fatini, Erma atau sesiapa sahaja tidak tahu apa sebenarnya yang ada dalam diri Natrah. Apakah kehendaknya sebelum dia meninggal dunia. Erma menggunakan imaginasinya berdasarkan latar hidup Natrah menerusi monolog Sofia Jane yang muncul di tengah-tengah salib besar yang tidak disenangi Fatini itu.
Monolog itu juga antara lain meninggalkan persoalan untuk dijawab oleh penonton sama ada Natrah itu masih Islam atau tidak kerana dia menjadi seorang yang tidak sempurna emosinya selepas dibawa pulang oleh keluarganya ke Belanda. Erma dilihat masih ada tanggungjawab terhadap Islam di dalam karya tersebut.
Tapi mungkin kerana cara dia  mempersembahkan membuatkan ada yang tidak mengerti dan bimbang ada pihak yang akan terkeliru. Sebab itulah pertikaian ini timbul. Saya sendiri antara yang menonton pementasan Natrah tahun lalu. Tak tergerak pun hati saya untuk menukar pegangan hanya kerana melihat salib besar di Istana Budaya. Salib besar ada di mana-mana di Malaysiai ini sebab di luar gereja memang ada lambang salib.
Sementara itu,  di sebalik kekecohan ini pelakon dan krew teater Natrah sedang giat menjalani latihan. Natrah musim kedua akan dipentaskan mulai 25 November ini dengan mengekalkan pelakon utama Maya Karin, Remy Ishak, Sofia Jane dan pelakon-pelakon lain. Ada kemasukan watak baru untuk memperindahkan lagi cerita tersebut.
Tiketnya memberangsangkan sebagaimana sambutan hangat tahun lalu yang meletakkan Natrah sebagai teataer paling berjaya mengikut jumlah penontonnya.

No comments:

Post a Comment