KUALA LUMPUR, 10 JAN 2010: Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) telah pun melabuhkan tirainya. Meskipun ramai yang terkejut dan ralat dengan keputusan yang telah juri pilih namun ia sedikit pun tidak akan mengubahkan keadaan.
Bagi yang menang, kemenangan tersebut akan menjadi momen paling indah dalam hidup mereka, buat yang kalah, semoga mereka tidak akan berputus asa untuk terus meningkatkan pencapaian masing-masing.
Berikut adalah komen pemenang AJL25 untuk dikongsi bersama khalayak:
Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku): "Kemenangan ini membakar semangat saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini. Bukan diri saya sendiri sahaja yang menang bahkan ia merupakan kemenangan buat seluruh pemuzik, penulis lagu dan lirik di Malaysia.
"Saya akan menjamu semua orang yang terdekat dan banyak berjasa kepada diri saya dengan duit kemenangan ini. Kemenangan ini juga membuktikan perjuangan saya dalam bidang ini bukanlah mainan dan saya akan terus memperjuangkan minat saya ini."
Meet Uncle Hussien & Black (Drama King): "Kami akan terus berusaha menghasilkan lagu-lagu yang lain dari yang lain. Lagu Drama King ini sememangnya berbeza daripada lagu yang sedia ada. Kalau boleh kami mahu menghasilkan lagu berentak tradisional yang semakin sudah dilupakan. Malah kami juga masih mencuba untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang lain seperti gandingan kami bersama Black ini."
Hafiz (Noktah Cinta): "Syukur kerana pertama kali masuk AJL terus menang dua kategori. Memang saya akui kesan daripada kemalangan yang saya lalui itu ada memberi sedikit tekanan pada saya namun saya kuatkan semangat dan melupakan perkara tersebut. Bagi saya kemalangan itu bukan alasan untuk saya mempamerkan sebuah persembahan yang ala kadar sahaja. Saya tolak tepi perkara tersebut dan memberi fokus kepada persembahan sahaja dan Alhamdulillah berkat latihan selama sebulan saya gembira dengan hasil yang saya perolehi."
Faizal Tahir: "Saya gembira dan terima keputusan juri dengan seadanya. Meskipun diramal sebagai pemenang dan hanya membawa pulang anugerah bagi Persembahan Terbaik, tapi ia bukan untuk dipandang rendah. Setiap tahun peminat masing-masing akan meramalkan artis itu akan menang artis ini akan menang. Semua orang nak menang tapi bagi saya kemenangan bukanlah satu masalah besar dalam hidup ini. Apa yang penting persembahan saya dapat menyentuh jiwa seseorang. Saya harap semua peminat dapat menerima keputusan ini dengan baik."
No comments:
Post a Comment