Wednesday, January 12, 2011
Pusat beli-belah maya
PERKHIDMATAN e-dagang yang semakin membangun memudahkan pengguna mendapatkan produk mereka secara talian dengan lebih mudah dan pantas.
Sejajar dengan perkembangan e-dagang, Digital Mall yang merupakan milik SM Digital Mall Sdn. Bhd. telah memperkenalkan pusat beli-belah maya yang dikenali sebagai Virtual Mall. Terletak di Petaling Jaya, Selangor, pelancaran Virtual Mall baru-baru ini diadakan bersempena ulang tahun keempat Digital Mall yang menjadi syurga digital bagi segala produk teknologi maklumat (IT), elektronik dan elektrik di Lembah Klang.
Pengarah Eksekutif SM Digital Mall Sdn. Bhd., Eric Seow berkata, semakin ramai pengguna di Malaysia gemar melakukan urus niaga dan pembelian dari rumah terutama yang melibatkan barangan menawarkan khidmat penghantaran disebabkan gaya hidup yang semakin sibuk.
“Mereka akan mencari jenama dan peruncit yang dipercayai seperti Digital Mall tetapi pada masa sama mereka tidak mahu keluar dari rumah atau pejabat dalam usaha mendapatkan perisian, perkakasan, aksesori atau peranti terkini.
“Dengan adanya Virtual Mall, kami ingin membawa pengalaman membeli-belah di Digital Mall kepada mereka yang tinggal di luar Lembah Klang,” katanya.
Virtual Mall dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Eric Seow di Digital Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
Eric menambah, penyewa Digital Mall akan menyenaraikan produk jualan mereka dalam Virtual Mall itu sekali gus dapat mengembangkan jualan dan peluang perniagaan masing-masing.
“Penyewa akan mendapat manfaat kerana menyertai peruncitan maya di bawah satu bumbung bersama peruncit IT terkemuka dan langkah ini pasti memberi faedah kepada mereka kerana dapat memperluaskan serta meningkatkan lagi jumlah pelanggan mereka,” ujarnya.
Pengguna yang ingin menggunakan Virtual Mall boleh membuat bayaran menerusi kad kredit Mastercard dan Visa yang dikeluarkan oleh bank-bank tempatan atau antarabangsa.
Mereka juga boleh membuat bayaran menerusi debit akaun simpanan dan akaun semasa di bank-bank terpilih.
Barangan yang dibeli akan dihantar dalam masa satu hari bekerja untuk di kawasan-kawasan bandar dan bandar utama di Semenanjung Malaysia dan dua hari bekerja untuk Malaysia Timur.
Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan tersebut, sila layari laman web www.digitalmall.com.my/ virtualmall. – NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment