Monday, January 10, 2011

Ayu Raudhah Mula Edar Kad Kahwin


PETALING JAYA: Aktres jelita, Ayu Raudhah (gambar) akan mengedarkan kira-kira 300 keping kad jemputan perkahwinannya yang akan berlangsung pada 21 Januari ini di Alor Setar, Kedah.
Ayu, 26, dan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 24, akan diijabkabulkan di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada tarikh itu pukul 3.30 petang, selepas Solat Jumaat.
Menurut Ayu, seramai 600 hingga 700 orang akan diundang untuk menghadiri majlis resepsi selepas nikah yang akan berlangsung di Taman Mawar, Jalan Tun Abdul Razak, Alor Setar pada pukul 7.30 malam hingga 11 malam, hari yang sama.
“Antara tetamu yang diundang termasuklah beberapa rakan artis tetapi mereka belum membuat pengesahan kerana faktor jarak yang agak jauh dari Kuala Lumpur,” katanya yang sedang menjalani penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
Bercerita lanjut tentang persiapan menjelang perkahwinan, Ayu akui fikirannya agak runsing setelah memikirkan ada beberapa perkara yang belum diselesaikan.
Di tambah pula dengan jadual lakonan yang padat, dia terpaksa mencuri masa pada waktu malam untuk mencuba pakaian pengantin.
Katanya lagi, tunangnya, Zaquan juga sibuk dengan sesi latihan bola sepak. Jadi, sebab itu mereka sukar mencari masa luang bersama–sama.
Pelakon drama Nur Kasih dan Manjalara ini akan mengenakan pakaian pengantin rekaan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Qudyn, Calvin Thoo dan Man Kajang. Selain itu, wajah jelitanya akan diserikan dengan solekan oleh Amy Janz.
Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 30 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober 2010 dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment