Monday, January 10, 2011

Warner Bros. Pictures Group Kutip RM19.3 Bilion

Daniel Radcliffe dalam salah satu babak filem Harry Potter And The Deathly Hollows bahagian pertama.

TAHUN 2010 menyaksikan studio pengeluar filem Warner Bros. Pictures Group berjaya memecahkan rekod pecah panggung filem bagi pasaran seluruh dunia dengan kutipan RM19.3 bilion, berbanding RM12.3 bilion pada 2009.
Kejayaan itu diumumkan sendiri oleh Presiden Warner Bros. Pictures Group, Jeff Robinov, di Burbank, California, Selasa lalu.
Penanda aras terbaru yang dicapai menerusi rekod kutipan pasaran antarabangsa, seluruh dunia dan domestik itu sekali gus mengangkat studio itu sebagai pemegang rekod terbesar industri filem bagi ketiga-tiga kategori tersebut.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian luar biasa ini. Kejayaan ini dicapai hasil usaha menyeluruh pelbagai kelompok manusia dalam aspek penghasilan, penerbitan, pemasaran dan pengedaran filem-filem yang meliputi lebih 24 judul filem sepanjang tahun lalu,” katanya.
Kutipan kasar bagi pasaran domestik iaitu sejumlah RM5.7 bilion turut meletakkan studio itu menggungguli pasaran domestik filem bagi 2010.
Joseph Gordon Levitt (kiri) dan Leonardo DiCaprio dalam filem Inception.

Ia meletakkan studio itu di kedudukan pertama di kalangan pengeluar filem untuk tiga tahun berturut-turut dan merupakan satu-satunya studio yang mencapai kutipan domestik mencecah RM3.07 bilion dalam tempoh 10 tahun berturut-turut.
Sepanjang tempoh 10 tahun, Warner Bros. menduduki tangga pertama atau kedua sebanyak tujuh kali bagi pasaran domestik.
Lima buah filem yang mencecah kutipan domestik melebihi RM307 juta pada 2010 termasuklah Inception, Harry Potter and the Deathly Hallows Part 1, Clash of the Titans, Valentine’s Day dan Due Date.
“Kombinasi strategi yang berkesan dan tenaga kerja yang menyeluruh sekali lagi telah membuktikan pencapaian pecah panggung yang menguntungkan ini.
“Tiada apa yang lebih membanggakan kami melainkan pencapaian studio ini bagi tahun 2010,” kata Presiden Bahagian Pengedaran Warner Bros. Pictures, Dan Fellman.
Tahun 2011 akan terus menyaksikan Warner Bros. tampil dengan pelbagai judul filem termasuk Red Riding Hood, Sucker Punch, The Hangover Part 2, Green Lantern, Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2, Crazy, Stupid, Love, Contagion, Happy Feet, New Year’s Eve dan Sherlock Holmes.

No comments:

Post a Comment