Thursday, January 13, 2011
RM65,000 untuk setiap pemain
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 setiap seorang kepada 25 pemain dan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF pada bulan lepas.
“Setiap pemain dan jurulatih diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun,” kata Perdana Menteri ketika meraikan skuad itu di kediaman rasminya, Seri Perdana di Putrajaya semalam.
Pada majlis yang turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menteri-menteri Kabinet itu, Najib berkata, imbuhan wang tunai RM10,000 adalah daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN).
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain.
Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum tewas 1-2 pada perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta.
Najib juga berkat, kerajaan akan bekerjasama dengan FAM sekiranya mahu menghantar pemain-pemain untuk menjalani latihan dengan mana-mana kelab bola sepak di luar negara.
“Untuk pembangunan di masa depan, kerajaan akan memberikan kerjasama dan sokongan yang sebaik-baiknya kepada FAM untuk memajukan bola sepak di negara ini.
“Kerajaan akan menaja latihan pemain-pemain kita dengan kelab-kelab ternama di luar negara sebagai persediaan pemain. Terserahlah kepada FAM untuk menentukan di mana, siapa dan sebagainya. FAM perlulah juga berunding dengan KBS dan MSN terlebih dahulu,” katanya.
Mengenai kejayaan sulung skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF, Najib berkata, ia perlu dijadikan contoh oleh semua rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
“Ia bukanlah sebarang kejayaan kerana ia suatu kejayaan yang mencetus satu semangat patriotisme yang luar biasa di kalangan rakyat.
“Tidak ada satu peristiwa lain ataupun kejohanan lain yang boleh dianggap setanding dengan apa yang telah dilalui dalam peristiwa yang membolehkan kita menjulang Piala Suzuki AFF ini. Suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil boleh dikatakan sebagai electrifying (bersemangat), walaupun saya tidak berada bersama, tetapi saya dapat saksikan jaringan yang menarik pemain Malaysia melalui YouTube,” katanya.
Perdana Menteri turut mengimbau saat-saat manis beliau duduk di atas jalan raya bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam.
“Saya sendiri mencatat sejarah peribadi, belum pernah ada Perdana Menteri duduk di atas jalan raya bersama-sama rakyat untuk menyaksikan perlawanan bola... dan saya berbangga. Bila kita (Malaysia) menang hari itu, rasa macam hendak menitiskan air mata.
“Saya dapat menyelami kekuatan mental pemain ketika itu begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan oleh peminat-peminat. Saya dapat saksikan perubahan besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya.
Najib menyeru semua pemain supaya terus berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada Piala Suzuki AFF dengan meningkatkan prestasi.
Tumpuan skuad bola sepak kebangsaan kini, katanya, adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada 2012 dan berusaha untuk menjadi kuasa besar sukan bola sepak di rantau Asia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment