Monday, January 10, 2011

Jamal serba salah di IB

JAMAL ABDILLAH sempat mengusik Ahmad Nawab pada Konsert J2011 Legenda di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 


JAMAL Abdillah bukan sahaja mendapat gelaran Raja Pop tanah air kerana keunggulannya sebagai penyanyi yang masih bertahan selepas terbabit dalam bidang nyanyian sejak 32 tahun lalu.
Malah, rekod persembahannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur juga agak cemerlang selepas tiga kali dia mengadakan konsert di situ pada tahun 2005 dan 2009.
Terbaru Jamal sekali lagi mengadakan konsert di IB menerusi Konsert J2011 Legenda pada 6 Januari hingga hari ini (10 Januari) di mana ia menjadikan konsert ketiganya di panggung tersebut.
Kecemerlangan bekas juara Bintang RTM 1979 itu dapat dilihat apabila lebih 80 peratus tiket konsert habis dijual.
Sungguhpun tiada masalah daripada segi jualan tiket dan sokongan media massa, namun Jamal pada konsert terbarunya itu berdepan masalah dengan pemilihan lagu-lagu dendangannya.
Menurut penyanyi berusia 51 tahun ini, dia berasa serba salah apabila ada di kalangan peminat yang masih mengharapkannya menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya suatu ketika dulu.
"Dalam hal ini, saya berasa serba salah kalau asyik-asyik menyanyikan lagu-lagu lama atau lagu-lagu popular yang biasa saya nyanyikan pada konsert-konsert sebelum ini.
"Kalau tidak menyanyikan lagu-lagu hits atau lagu-lagu lama saya, nanti orang akan bertanya juga. Begitu juga dalam konsert kali ini. Serba salah saya dibuatnya," komennya.
Penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu mengulas tentang pemilihan lagu-lagunya yang dinyanyikannya pada Konsert J2011 Legenda selepas konsert tersebut.
Ramai yang memberi maklum balas mengatakan kurang puas hati kerana Jamal malam itu lebih banyak menyanyikan lagu-lagu yang kurang popular di halwa telinga para penonton.
Bapa kepada dua anak ini contohnya, menyanyikan lagu-lagu seperti Kalipso Tropikana, Lagu Rindu, Secupak Dua Cupak, Tangisan Di Waktu Malam, Perasaan dan Rindumu Rinduku.
Jelas Jamal, dia lebih banyak menyanyikan lagu-lagu seperti itu bukan setakat mahu menampilkan kelainan tetapi juga bagi mengelakkan para peminat bosan.
"Saya terpaksa buat macam ini untuk kelainan. Saya sengaja memilih lagu-lagu yang tidak pernah saya nyanyikan di atas pentas. Kalau lagu-lagunya sama takut orang akan bosan.
"Kebetulan lagu-lagu lama itu adalah lagu-lagu kegemaran saya. Saya minat lagu-lagu itu sejak remaja lagi. Misalnya lagu Rayuan Maut yang pernah dipopularkan oleh S. Effendi," ujarnya.
Boleh dikatakan lebih separuh daripada 29 lagu yang dipersembahkan pada Konsert J2011 Legenda itu merupakan lagu-lagu lama popular pada tahun 1950-an dan 1960-an.
Bagaimanapun, Jamal sempat menyanyikan beberapa lagu popularnya termasuklah dalam bentuk medley antaranya berjudul Azura, Sepi Seorang Perindu dan Takdir Penentu Segala.

No comments:

Post a Comment