Monday, December 13, 2010

Anda punca ambulans lewat!


Petugas paramedik sentiasa bertekad tiba segera di lokasi untuk memberi rawatan awal, namun pelbagai kekangan sepanjang perjalanan pergi dan balik turut mempengaruhi nyawa pesakit.

KEBELAKANGAN ini, perkhidmatan ambulans telah menerima kritikan daripada orang ramai. Ambulans didakwa sering lewat tiba ke lokasi. Pemandu ambulans dan pasukan paramedik dipersalahkan apabila mangsa lewat diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian, lambat tiba di hospital dan lebih parah kalau pesakit atau mangsa meninggal dunia.
Paling mendapat perhatian umum ialah kelewatan ambulans tiba di lokasi kemalangan bas ekspres meragut 13 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Rembau, Negeri Sembilan sebelum plaza tol Simpang Ampat pada 10 Oktober lalu. Ambulans tiba tiga jam selepas kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu.
Hakikatnya, ia disebabkan kesesakan teruk di lebuh raya. Segelintir orang ramai pula enggan memberi laluan kepada ambulans berkenaan.
Bagi memberi keadilan kepada pihak pengurusan ambulans terutama para pemandu, wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, MOHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan AZRAI MOHAMMAD serta jurugambar SHAIFUDIN MOHD. NOR menaiki sendiri beberapa ambulans Hospital Kuala Lumpur (HKL) menuju beberapa lokasi kecemasan.
Ikuti pengalaman mereka menyaksikan sendiri operasi ambulans tersebut.
KUALA LUMPUR 12 Dis. – “Tengok sendiri, kereta di depan bukannya nak beri laluan. Lambat ke tepi, macam mana kami nak pastikan ambulans cepat sampai.
“Cuba lihat papan tanda jalan itu. Macam mana kita nak baca kalau penuh pelekat iklan. Sebab itu susah nak jumpa lokasi.”
Pemandu ambulans Hospital Kuala Lumpur (HKL), A. Kuppusamy, 32, mempunyai alasan meluahkan kata-kata itu kepada wartawan Utusan Malaysia yang menaiki kenderaannya dalam perjalanan mencari rumah pesakit di Jalan Gasing, Petaling Jaya.
Rungutan Kuppusamy itu gambaran mengenai masalah-masalah yang sedang dihadapi pemandu ambulans di seluruh negara ketika ini.
Mereka sering dituduh lewat ke lokasi, perkhidmatan tidak berkualiti dan pelbagai cemuhan. Cemuhan itu selalunya dilontarkan ketika berlakunya kemalangan jalan raya.
Namun, apabila disiasat sendiri oleh Unit Khas Utusan Malaysia, dakwaan terhadap perkhidmatan ambulans itu ternyata tidak benar.
Sebaliknya, orang ramailah punca kelewatan ambulans tiba di lokasi.
Beberapa hari wartawan Unit Khas Utusan Malaysia mengikuti perjalanan ambulans-ambulans di HKL, kelewatan dikenal pasti berpunca daripada pelbagai faktor.
Ini termasuk terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Ketika itu pula, orang ramai tidak memberi laluan kepada perjalanan ambulans atau mengambil masa lama untuk ke tepi.
Utusan Malaysia mendapati, pihak pengurusan ambulans di hospital juga berdepan maklumat lokasi yang tidak lengkap atau tidak tepat.
Ambulans ‘mundar mandir’ mencari alamat diberi. Bayangkan dalam kesesakan jalan, masalah begini tentunya memburukkan keadaan.
Isu lama iaitu panggilan palsu juga tidak pernah selesai. Apabila sesebuah ambulans keluar selepas menerima panggilan palsu, akibatnya jumlah ambulans makin terhad untuk respons kepada panggilan tulen.
Utusan Malaysia diberitahu, di HKL sekurang-kurangnya tiga kes panggilan palsu diterima.
Punca lain adalah kerosakan papan tanda jalan atau tidak boleh dibaca disebabkan dipenuhi pelekat iklan dan ditutupi pokok. Bilangan ambulans yang terhad di satu-satu hospital juga mempengaruhi masa diambil untuk tiba ke lokasi.
Namun, di sebalik masalah dan kekangan dihadapi, pemandu ambulans terutama di hospital besar berkejar ke sekurang-kurangnya 30 lokasi kejadian setiap hari.
Tanpa menghiraukan tohmahan, para pemandu ambulans mencari alternatif untuk tiba awal ke lokasi.
Berikut catatan pengalaman wartawan Unit Khas Utusan Malaysia mengikuti beberapa perjalanan ambulans dari HKL ke lokasi kejadian.
n KES 1
PUKUL 3.17 petang, pasukan Medik 2 HKL dianggotai Pembantu Pegawai Perubatan, Nor Mohd. Azami Mansor, 31; Pegawai Perawatan Kesihatan, Mohd. Hyder Ahmad, 20, serta Kuppusamy menerima arahan pusat kawalan panggilan kecemasan bagi membantu seorang pesakit di sebuah rumah pangsa di Jalan Ipoh.
Pesakit merupakan lelaki India berusia 40-an yang lemah badan akibat batuk berterusan, dipercayai berpunca daripada penyakit tibi.
Tepat pukul 3.19 petang, setelah siap sedia dengan segala peralatan kecemasan, pasukan itu melalui Jalan Pahang menuju Jalan Chow Kit sambil membunyikan siren.
Tidak sampai 500 meter dari pintu utama HKL, ambulans berdepan halangan pertama iaitu kesesakan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Stesen Monorel Chow Kit.
Ambulans mencelah-celah di antara kenderaan. Rata-rata pengguna jalan raya tidak memberi laluan. Keadaan sama berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Putra.
Ketika memecut di Jalan Putra, sebuah van enggan memberi laluan. Selepas hon dibunyikan berkali-kali barulah kenderaan itu ke tepi.
Ketika melalui Jalan Kuching, beberapa kali Nor Mohd. Azami yang berada di sebelah pemandu terpaksa memberi arahan kepada pengguna jalan raya agar memberi kerjasama.
Halangan pasukan ini bukan sahaja di jalan raya, malah setibanya di lokasi, mereka terpaksa menghubungi semula pemanggil untuk mendapatkan lokasi yang tepat.
Ini kerana alamat yang diberi tidak lengkap. Dua blok yang dituju sebelumnya adalah lokasi yang salah.
Dalam tempoh 23 minit selepas panggilan diterima, paramedik akhirnya berjaya menemui pesakit di tingkat bawah flat itu.Melihat pesakit, keadaannya tidak kritikal kerana masih sedar malah mampu berdiri.
Berdasarkan pengalaman petugas paramedik, jika pesakit sedar dan mampu berjalan, waris atau orang ramai harus membantu menghantarnya ke hospital berhampiran.
Ia bagi mengelakkan kekurangan ambulans dan pasukan paramedik lebih diperlukan untuk situasi kritikal.
Bagaimanapun, pasukan tersebut tiada pilihan. Alang-alang sudah tiba di lokasi dan melihat keadaan pesakit, mereka tetap membawanya menaiki ambulans ke hospital.
n KES 2 & 3
PANGGILAN kecemasan melalui nombor 999 memaklumkan terdapat mangsa kemalangan berhampiran Hotel Hilton, Petaling Jaya.
Sejurus maklumat diterima, ambulans yang membawa pasukan Medik 2 yang sentiasa bersiap sedia di bilik operasi, bergerak ke tempat kejadian pada 4.22 petang.
Pasukan bertugas ialah Pembantu Pegawai Perubatan, Mohd. Rodzi Mat Rejab, 23; Pembantu Perawatan Kesihatan, Mohd. Azril Abdul Jalil, 28, dan Kuppusamy.
Perjalanan agak perlahan ketika mula keluar dari HKL. Namun dengan pemandu berpengalaman, mereka tiba di lokasi pada 4.38 petang, iaitu 16 minit selepas panggilan diterima.
Setibanya di tempat kejadian, Mohd. Rodzi dan Mohd. Azril memeriksa mangsa yang kepalanya terhantuk di jalan akibat kemalangan itu.
Mangsa seorang wanita 40-an, adalah mangsa ragut yang cuba mempertahankan beg tangannya.
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan tiba 4.46 petang.
Selepas beberapa minit, ambulans meninggalkan PPUM untuk kembali ke HKL, pasukan Medik 2 menerima panggilan dari pusat kawalan mengenai satu kes di Petaling Jaya, Selangor.
Pasukan itu terus menuju ke alamat kedua di rumah penjagaan orang tua di Jalan Gasing. Namun, pasukan Medik 2 menghadapi kesukaran mencari lokasi kerana papan tanda jalan ditutupi dahan pokok.
Pasukan itu tiba pada 5 petang dan mendapati seorang lelaki 60-an mengalami pendarahan di dalam perut.
Pesakit tersebut dihantar ke PPUM untuk menerima rawatan.
n KES 4
TIDAK sempat menghirup habis kopi yang dibancuh, pasukan Medik 1 perlu ke satu lokasi di Kepong.
Pasukan ini terdiri daripada Pembantu Pegawai Perubatan, Ahmad Syukri Abdul Karim; Mohd. Hyder dan pemandu, G. Sivananban.
Sivananban yang berpengalaman 14 tahun juga meluahkan perkara sama iaitu masalah pengguna jalan raya yang enggan memberi laluan.
Katanya, ada juga pemandu leka mendengar radio yang dipasang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran ambulans. Ada juga yang panik tidak tahu mahu ke tepi kiri atau ke kanan apabila mendengar siren ambulans.
Perjalanan pada pukul 8.30 malam itu mengalami masalah kesesakan yang teruk berdekatan Bulatan Pahang dan sepanjang Jalan Pahang.
Setibanya di kawasan itu, pasukan paramedik bergegas menaiki lif ke alamat dinyatakan, namun ia bukan lokasi yang sepatutnya dituju.
Ia berpunca daripada papan tanda blok mengelirukan. Blok sebenar berada di belakang bangunan yang dinaiki pasukan itu.

No comments:

Post a Comment