Friday, December 24, 2010

MIG Nak Buat Filem David Teo Dan Ahmad Idham


KUALA LUMPUR, 23 DIS 2010: Gandingan mantap antara pengarah filem, Ahmad Idham bersama penerbit, David Teo dalam menghasilkan filem baru sering melakar sejarah dengan mencatat kutipan pecah panggung atau box office.
Malah, Ahmad Idham boleh dikategorikan sebagai pengarah yang banyak memberikan pulangan lumayan buat syarikat pengeluar filem, Metrowealth (MIG) yang menjadi milik David Teo.
Disebabkan ini juga, ada yang menyuarakan pendapat mengapakah tidak David dan Ahmad Idham menggunakan peluang ini dengan menerbitkan filem kisah mereka sendiri?

Menjawab persoalan berkenaan, David yang ditemui sejurus selepas berakhirnya majlis tayangan media filem Damping Malam di panggung Cineplex di Centre Atrium e@Curve Damansara mengesahkan bahawa perkara itu sudah pun tertulis dalam buku perancangan beliau untuk tahun 2011.
"Kami memang ada merancang untuk buat filem tentang kisah kami berdua. Ikut perancangan, tajuk filem itu adalah Ahmad & David..Journey Bermula. Namun, kami masih belum dapat idea lagi macam mana menggarap jalan ceritanya.
"Mengikut idea kami, berkemungkinan besar kami akan kembangkan babak lakonan kami menerusi filem I'm Not Single lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani," kata David kepada murai.com.my.
Dalam masa yang sama, David turut berkongsi perasaan gembira apabila filem Ngangkung telah mencatat kutipan sebanyak RM7.7 juta dalam tempoh 19 hari ia ditayangkan di panggung.
"Saya yakin, jika diberikan peluang untuk tambah tempoh tayangan, filem ini mampu mencecah kutipan jualan sebanyak RM8 juta. Namun, apakan daya, filem tempatan selalu dianiaya seniman walaupun filem kita bagus.
"Yang penting, filem saya telah mampu mengalahkan Harry Potter. Apa yang boleh saya buat kalau filem kita tidak dilayan sama taraf dengan filem luar. Apapun, saya terima hakikat itu dan Ngangkung berjaya mendahului rekod Adnan Sempit," ujar David dalam nada gembira.
Sementara itu, bersandarkan fakta yang dinyatakan David, 2 filem yang mencipta sejarah baru bagi MIG iaitu filem Ngangkung dan Adnan Sempit adalah filem lakonan Shaheizy Sam. Jadi, David tiada perancangan lain untuk pelakon ini?
"Untuk 2011, saya bersedia untuk catat rekod baru menerusi filem baru berjudul Kongsi yang masih lagi mengekalkan Sam sebagai pelakon utama. Sasaran saya untuk filem ini adalah sebanyak RM10 juta. Saya mahu cipta sejarah baru tahun depan. Sekarang ini, saya jangka Ngangkung boleh mencecah sebanyak RM8 juta walaupun pada asalnya saya hanya target kutipan sebanyak RM4juta.
"Saya sendiri tidak menyangka Ngangkung berjaya mengatasi Adnan Sempit. Yelah, belum pernah lagi mana-mana filem tempatan dapat sambutan sebegini apabila ditayangkan pada akhir tahun (Disember). Apatah lagi, banyak filem-filem besar seperti Harry Potter ditayangkan pada waktu yang sama.
"Untuk pengarah Ngangkung (Bob Ismail) pula, saya telah berikan dia 10 filem untuk diarahkan bermula Januari hingga Jun 2011. Sekarang yang dah sah sebanyak 5 filem. Bob pun baru saja habis mengarahkan filem Senario Opocot. Secara kesuluruhan, MIG telah menerbitkan 44 filem dan Damping Malam adalah filem yang ke-11 untuk 2011," jelas David.
Sebelum mengakhiri perbualan, David menegaskan selepas sedekad MIG bergiat aktif dalam industri perfileman, sudah 49 filem yang berjaya ditayangkan di panggung setakat ini.
"Ribuan terima kasih kepada penyokong MIG dari tahun 2000 sehingga 2010. Kejayaan saya adalah kejayaan anda semua," ujar David lagi.
Berikut adalah tips kejayaan David Teo.
1. Sentiasa berdoa kepada Tuhan.
2. Jujur dan ikhlas dalam melakukan kerja.
3. Jangan ambil kesempatan.
4. Sentiasa buat kajian dan pembangunan.
5. Promosi setiap produk dengan betul.
6. Buat filem untuk hiburkan penonton.

No comments:

Post a Comment