MASIH muda dan usianya baru menjangkau angka 22 tahun tetapi sudah memiliki sebuah syarikat sendiri Laugh Out Loud Entertainment (LOLE) yang dilancarkan pada hari yang sama dengan sambutan hari lahirnya yang ke-22 baru-baru ini.
Mungkin kerana usianya yang masih muda dan bapanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob merupakan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyebabkan ramai orang berkata, syarikat LOLE itu ditubuhkan atas bantuan bapanya.
Tidak melenting atau menunjukkan sebarang tanda amarah, Dafi menjelaskan, perancangan untuk menubuhkan LOLE itu sudah lama berada dalam fikirannya. Memandangkan modal yang besar diperlukan, Dafi mengambil masa untuk mengumpul dana daripada usahanya sendiri.
"Saya buka syarikat ini guna duit saya sendiri yang saya simpan sejak saya jadi artis empat tahun yang lalu. Saya tidak minta duit bapa saya. Apa yang saya minta adalah pandangan daripadanya sebelum saya buka syarikat, itu sahaja selebihnya saya buat sendiri bersama rakan kongsi yang merupakan pengurus saya iaitu Afik," ujarnya yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan syarikat LOLE.
Tambah Dafi, meskipun bapanya seorang menteri, apa yang diperolehnya hari ini adalah berkat usahanya sendiri di samping sokongan moral yang diberikan bapanya.
"Bapa saya tidak pernah memanjakan saya. Semua duit yang saya laburkan dalam LOLE saya simpan sikit-sikit dan setelah mempunyai dana yang cukup baru saya buka LOLE. Kalau saya mahu ambil jalan yang mudah, awal-awal lagi saya sudah buka syarikat dan minta duit daripada bapa saya tetapi saya tahu, perkara itu tidak akan berlaku. Jadi, saya kena usahakan sendiri," jelasnya.
Syarikat yang ditubuhkan bagi memantapkan kerjayanya selaku seorang anak seni itu telah menjadikan Dafi seorang yang lebih bertanggungjawab dan berdikari kerana kini dia bukan lagi penyanyi di bawah naungan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan sebaliknya dia harus berusaha sendiri.
"Buka syarikat sendiri satu pengalaman yang berguna untuk saya kerana saya belajar untuk berkerja keras.
"Pendapatan yang diperolehi bukan masuk ke akaun saya sahaja, sebaliknya banyak perkara yang harus diselesaikan seperti membayar sewa pejabat dan sebagainya.
"Jadi, saya harus merancang perjalanan kerjaya saya supaya jumlah wang yang masuk ke syarikat dapat menanggung segala perbelanjaan selain memperolehi sedikit keuntungan," katanya.
Menurut Dafi lagi, tujuannya menubuhkan LOLE bukan sahaja untuk menguruskan kerjanya sahaja, sebaliknya, perancangannya pada masa depan dia mahu LOLE menjadi sebuah syarikat pengurusan acara, artis dan mengeluarkan produknya sendiri.
"Bila ada syarikat segala urusan membabitkan perniagaan menjadi lebih mudah, setakat hari ini LOLE akan digunakan sebagai platform untuk memantapkan kerjaya saya terlebih dahulu, selepas saya berjaya baru saya akan menguruskan artis lain pula," tutur Dafi mengatakan bapanya merupakan sumber inspirasinya untuk berjaya.
Dafi yang kini berada di Eropah kerana bercuti bersama keluarganya juga memberitahu tahun depan, dia akan memberi fokus ke bidang nyanyian dan akan mengeluarkan sebuah album baru.
"Tahun 2010, saya sibuk dengan lakonan sehingga mengabaikan pula bidang nyanyian. Saya memang seronok berlakon tetapi bapa saya menasihatkan saya supaya fokus kepada satu perkara sahaja iaitu nyanyian dan perkara yang lain itu dianggap sebagai kerja sampingan sahaja.
"Jadi, tahun 2011 merupakan kemunculan semula saya dalam bidang nyanyian dan tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman membolehkan saya menentukan sendiri hala tuju muzik yang saya mahukan.
"Setakat hari ini saya baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu baru ciptaan Omar K yang berentak pop.
"Bermula bulan Januari sehingga Mac tahun depan saya akan sibuk mencari material untuk album, manakala album penuh yang akan memuatkan enam buah lagu akan keluar sekitar Jun depan,"katanya.
Hari lahir ke-22
Sambutan hari lahir Dafi yang ke-22 seperti biasa disertai oleh keluarga dan kelab peminatnya iaitu Kelab Peminat Dafi Malaysia, bertemakan Masquarade Nite - The New Beginning telah diadakan di Dewan Kompo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur.
Dewan diubah mengikut tema dan peminat yang hadir juga mengayakan pelbagai jenis pakaian. Acara dimulakan dengan persembahan fesyen yang dibantu oleh peminatnya dan di setiap pakaian tertera huruf yang jika dicantumkan akan tertera nama syarikat LOLE serta kehadiran aktres jelita yang bakal bersara, Rozita Che Wan membawa sejambak bunga sebagai simbolik kepada pelancaran LOLE.
Semasa kek dibawa ke dewan, Dafi dikejutkan dengan kehadiran temannya, Marsha serta kumpulan pujaannya One Nation Emcee. Tidak ketinggalan peminat disajikan oleh persembahan daripada Dafi sendiri selain persembahan secara mengejut Dafi bersama One Nation Emcee.
"Saya tidak sangka One Nation Emcee datang ke majlis hari jadi saya. Memang tidak jangka, sebab saya tidak diberitahu mengenainya.
"Apa pun majlis hari jadi saya yang ke-22 sungguh bermakna kerana selain dapat berkumpul dengan keluarga dan peminat, ia juga medan untuk saya memperkenalkan syarikat saya.
"Kiranya, pada usia 22 tahun, banyak perkara serius yang berada di fikiran saya. Tidak hanya menjadi penyanyi dan pelakon kerana saya kini seorang ahli perniagaan. Saya berharap agar tahun depan akan memberi lebih kejayaan kepada saya," ucapnya penuh serius.
No comments:
Post a Comment