JUDUL: Damping Malam
PENGARAH: Ahmad Idham
PELAKON: Ahmad Idham, Amy Mastura, Erynne Erynna, Eizlan Yusof, Azizah Mahzan
PENERBIT: MIG (Metrowealth)
GENRE: Drama Seram
Klasifikasi: U
Mula Tayangan: 30 Disember 2010
Sekali Imbas
Sebuah filem seram yang menampilkan semula Ahmad Idham ke layar perak selepas membintangi filem terakhir Anaknya Sazali. Filem ini juga pertama kali menggandingkan Idham bersama Amy Mastura yang digelar Idham sebagai pelakon eksklusif. Selain mempamerkan unsur seram, Damping malam turut menyelitkan isu rumahtangga yang berlaku pada zaman sekarang yang tidak disedari segelintir masyarakat tempatan.
Ulasan Penuh
Disebabkan terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai seorang ahli perniagaan, Wadi (Ahmad Idham) tidak sedar bahawa isterinya, Ku Khalira (Amy Mastura) telah melakukan sesuatu perkara yang di luar daripada batasan agama. Wadi mula menyedari hakikat ini apabila anaknya, Nuraiza (Erynne Erynna) telah diganggu oleh makhluk halus selepas dia diterima masuk di sekolah asrama penuh.
Pada mulanya Wadi tidak mahu mempercayai apa yang terberlaku pada anaknya itu. Pun begitu, dalam diam, Wadi berjumpa sahabat baiknya lakonan Eizlan Yusof yang mempunyai ilmu dalam bidang keagamaan.
Semakin Wadi cuba menyiasat, semakin teruk Nuraiza diganggu makhluk ghaib itu. Gangguan yang diterima Nuraiza membuatkan Ku Khalira makin risau. Hidup Ku Khalira tidak tentu arah sehinggakan dia terpaksa mengambil pil penenang.
Akibat terlalu risau dan resah tentang keselamatan anak tunggalnya itu, setiap hari Ku Khalirah bertelingkah dengan Wadi. Pertelingkahan itu membuatkan Wadi pening kepala dan bertambah gusar. Ku Khalira sering saja menggunakan alasan bahawa dia dan anaknya tidak boleh berpisah sehingga menyebabkan makhluk itu sering saja menggangu Noraiza.
Cerita ini bertemu klimaks apabila ibu saudara Ku Khalira iaitu Umi Siah ( Azizah Mahzan) yang tinggal bersamanya telah disyaki menjadi penyebab tentang hal-hal yang cukup pelik ini. Tuduhan ini bulat-bulat dilontarkan Ku Khalira kepada Umi Siah sehinggakan Umi Siah dihalau keluar rumah oleh Wadi.
Walaupun Umi Siah sudah keluar dari rumah itu, keluarga Wadi makin kronik dan anaknya semakin teruk. Bagaimanapun, Amy semakin berani dan sering saja bertindak diluar pengawalan Wadi.
Kegelisahan mencari jalan penyelesaian semakin kabur. Malah, sikap sembunyi Wadi yang berjumpa kawan baiknya itu menimbulkan syak adakah Wadi mempunyai hubungan luar biasa dengan rakannya itu. Namun, dalam sangkaan itu, tiba-tiba dia diganggu oleh babak Wadi yang tidak mahu mengangkat panggilan telefon yang tertera panggilan private.
Apakah yang sebenarnya yang mahu ditonjolkan? Mungkinkah plot ini diterbitkan untuk menguatkan lagi Wadi main kayu tiga?
Namun, agak pelik juga kerana dalam babak Wadi kantoi dengan Ku Khalira tentang panggilan itu, Ku Khalira sedikit pun tidak menunjukkan sikap cemburu atau syak terhadap suaminya. Jika benar Ku Khalira seorang isteri penyayang, bukankah isteri akan menunjukkan reaksi cemburu?
Peliknya cerita ini juga apabila tindak tanduk pendamping tidak ditonjolkan dan hanya dimainkan dengan bayang-bayang seorang lelaki. Kejutan dan seram jalan cerita ini tertaluk kepada kejutan dan pekikan suara saja.
Lebih mendalam, punca pendamping ini diambil tidak pula diberitahu dan ia lebih untuk penonton menilainya sendiri.
Apapun, pencarian untuk menyelesaikan kes seram ini semakin menemui jalan buntu apabila Ku Khalira telah disangka mengidap penyakit ketakutan dan Wadi pula disangka main kayu tiga selepas bergelumang dengan dunia perniagaan yang membuatkan dirinya dikenali serta disanjungi.
Siapakah sebenarnya yang mengambil pendamping ini? Apakah yang menyebabkan Nuraiza menjadi mangsa gangguan makhluk halus itu? Nantikan jawapannya dalam filem Damping Malam yang bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 30 Disember ini.
Sinopsis Damping Malam
Damping Malam mengangkat kisah seorang isteri bernama Ku Khalira lakonan Amy Mastura yang terlalu takut hidup dalam kesepian. Dia bersama suaminya Wadi (Ahmad Idham) adalah pasangan bahagia yang dikurniakan seorang anak bernama Nuraiza (Erynne Erynna).
Dalam kebahagian itu, rupa-rupanya hati Ku Khalira memberontak kesepian dengan layanan suami yang terlalu sibuk bekerja. Perasaan ini mula menghantui diri Ku Khalira setelah anaknya dihantar ke sekolah asrama penuh.
Situasi ini juga membuatkan Ku Khalira telah membuat sesuatu yang di luar dugaan. Apa yang dilakukan Ku Khalira bukan jalan penyelesaian apabila keluarganya di timpa musibah. Dalam pada itu, Ku Khalira cuba dibantu Ummi Siah lakonan Azizah Mahziah. Namun, bantuan itu telah disalah anggap.
No comments:
Post a Comment