Friday, December 24, 2010

Petua Eja berlakon produksi seram


AKTRES Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih selesa dengan panggilan Eja sememangnya gemarkan watak yang agak serius. Hal itu diakui Eja kerana baginya, watak serius agak sesuai dengan karakternya sendiri.
Sememangnya figura yang satu ini cukup terkenal dengan karakter-karakter serius menerusi drama-drama Melayu televisyen (TV) tanah air.
Namun, selepas setahun setengah berehat dari bidang seni, Eja memulakan kerjayanya dengan mengambil tawaran berlakon produksi genre seram. Menurutnya, keberanian berlakon dalam produksi seram muncul selepas dia bergelar seorang ibu.
"Selepas berehat selama setahun setengah, dan juga selepas punyai anak, boleh dikatakan barulah Eja berani mengambil tawaran berlakon drama-drama seram," ujar aktres yang telah 14 tahun berkecimpung dalam bidang seni termasuk lakonan dan pengacaraan.
Meneruskan bicaranya mengenai produksi genre seram, Eja mengakui berlakon dalam produksi seram sememangnya meletihkan minda dan fizikal. Ini kerana menurut Eja, selain perlu berjaga malam, produksi seram juga menuntut dirinya supaya banyak bermain dengan emosi dan perasaan demi menjiwai watak sebegitu.
"Ia (berlakon drama dan filem seram) sebenarnya perkara yang meletihkan kerana selain perlu berjaga pada waktu malam, ia juga banyak bermain dengan emosi seperti pernafasan dan sebagaiya," ujar Eja yang kini tampil dalam filem seram garapan Hitler Yeop, Janin.
Akuinya lagi, watak dalam produksi seram yang dilakonkannya agak 'berat' kerana sebenarnya semasa melakonkan watak sebegitu, seolah-olah ada 'makhluk' lain yang juga mendampingi dirinya.
EJA menempuh cabaran yang hebat sepanjang berlakon drama dan filem seram.


Tambahnya: "Berbanding melakonkan watak berat dalam filem genre lain, melakonkan watak dalam produksi seram lebih berat.
"Fizikal dan minda terasa berat kerana kita bermain dengan benda kotor, makhluk halus serta jampi dan mantera yang mendatangkan impak secara langsung," ujarnya.
Gelaran ibu yang disandangnya kini juga membuatkan Eja lebih berhati-hati, yang mana setelah menjalani penggambaran dia ada mengamalkan petua orang-orang tua bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku.
Memandangkan sebelum ini, puteri sulungnya, Nur Eishal Mohd. Silahuddin yang kini mencecah usia setahun pernah diganggu sejenis 'makhluk' ketika baru berusia hanya 55 hari.
"Semasa itu, Eja masih lagi dalam pantang dan berpindah ke rumah baru bersama suami serta pada waktu itu Eishal baru sahaja berusia 55 hari.
Apa yang berlaku ialah Eishal menangis tanpa henti dari pukul 11 malam hingga pukul 7 pagi.
"Dia tidak mahu ke mana-mana. Semua tempat yang dibawa dalam rumah, semuanya tidak kena," ujar Eja yang pada masa itu mengakui sangat tertekan dengan kejadian yang menimpanya mereka sekeluarga itu.
Liang lahad
Menjelang pagi hari, barulah dia dan suami memanggil seorang ustaz bagi meleraikan perkara ini dan diberitahu sememangnya ada 'makhluk' yang 'menumpang' di dalam rumahnya itu.
Disebabkan terlalu tertekan dan bersikap pelindung, Eja pernah 'berdialog' dengan makhluk berkenaan supaya berhenti mengganggu permata hatinya itu.
"Sebagai wanita yang masih menjalani waktu berpantang, semestinya meletihkan dan hormon juga tidak menentu menyebabkan Eja alami tekanan. Jadi sebagai seorang yang baru menjadi ibu, kita akan jadi bingung memikirkan perkara sebegini.
"Justeru, setelah memanggil orang yang lebih berpengalaman untuk menyelesaikannya, barulah saya dan suami ketahui perkara sebenar,"ceritanya tentang 'gangguan' terhadap anak itu berakhir setelah hampir tiga bulan mengamalkan perubatan tradisional.
Sejak kejadian itu, Eja banyak mengamalkan petua orang tua-tua apabila berkaitan dengan perkara sebegini.
"Saya akui selama tiga bulan saya memutarkan bacaan ayat suci al-Quran di dalam rumah," ungkapnya.
Sementelah apabila Eja melakonkan watak untuk produksi seram, surah al-Baqarah menjadi amalan harian, terutama setiap hari selepas pulang dari penggambaran drama atau filem seram.
EJA dan Hairie Othman dalam satu babak filem, Janin.


Eja tidak ketinggalan melakukan amalan seperti meludah tiga kali dan perlu masuk ke dalam rumah secara berundur setelah membacakan surah al-Fatihah.
Eja juga tidak terus pulang ke rumah apabila selesai penggambaran, terutama jika lokasinya seperti di tanah perkuburan atau kawasan yang dikatakan berhantu.
"Surah al-Baqarah dan ayat Kursi juga dipasang di dalam kereta Eja dan itu sudah menjadi amalan," tuturnya.
Jika ada babak-babak yang perlu dilakonkan di liang lahad atau di tanah perkuburan, kebiasaannya Eja tidak terus pulang ke rumah, tetapi akan 'lepak' terlebih dahulu selama lebih kurang satu jam di gerai mamak berdekatan lokasi penggambaran.
Produksi seram terakhir
Berbicara mengenai filem Janin yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam dan menampilkan Eja untuk watak bernama Sutera, dia mengatakan biarlah itu menjadi karakter dalam produksi seram terakhiri lakonannya.
"Sutera adalah watak yang amat berat, dan jika kita bermain dengan perkara jampi dan mantera, maka berkemungkinan ia akan mengganggu kita. Biarlah ia yang terakhir.
"Namun, saya tidak boleh katakan ia benar-benar produksi seram terakhir lakonan saya juga, kerana jika ada rezeki lagi menerusi produksi genre sebegini, tambahan pula skrip dan sutradaranya mantap, mungkin saya akan pertimbangkan semula keputusan saya itu," bicara Duta produk kecantikan dan kelangsingan, Bio Essence itu.
Janin sebenarnya filem seram pertama lakonan Eja. Katanya, Janin adalah filem berkonsep seram yang berbeza berbanding filem seram lain.
"Kebanyakan filem-filem seram tempatan sama ada benar-benar menyeramkan atau diadun dengan elemen komedi, tetapi Janin pula boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutama kanak-kanak kerana ia juga lebih menerapkan konsep kekeluargaan," ulasnya mengenai filem Janin.
Sebagai Sutera, Eja menjelma dalam filem yang turut dilakonkan Hairie Othman, Sherie Merlis, Airis Yasmin, Riz Ainuddin serta pelakon cilik, Nur Allisyah Aqilah itu sebagai seorang isteri dan ibu yang mempunyai tiga orang anak.
Namun, kehidupannya sekeluarga berubah apabila 'dikunjungi' sejenis toyol betina yang sebelum ini menyebabkan ramai penduduk di kampungnya kehilangan wang yang disimpan di rumah masing-masing.
"Watak Sutera banyak bermain dengan emosi dan air mata," kata Eja yang juga popular dengan drama lakonannya, Mya Zara di TV3.
Eja menegaskan, dia menyukai watak Sutera kerana ia bersesuaian dengan dirinya sebagai seorang pelakon yang serius.
"Ini kerana ada mesej yang ingin disampaikan dari setiap lakonan Eja. Saya berharap penonton dapat bukakan hati, minda dan perasaan untuk menerima filem Janin ini apabila mereka menontonnya," ujar pelakon berumur 38 tahun ini menaruh harapan.
EJA bersama tiga pelakon filem Janin (dari kiri), Airis Yasmin, Riz Ainuddin dan Nur Allisyah Aqilah.


Pelakon eksklusif
Sebagai seorang pelakon yang suka melakonkan watak serius, Eja mengakui dirinya seorang yang cerewet. Perkara itu juga memang diketahui oleh para pengarah yang pernah bekerjasama dengannya.
Menurutnya, adalah menjadi kebiasaan setiap tawaran yang ditawarkan kepada Eja, pasti skripnya akan diteliti terlebih dahulu.
"Memang sudah menjadi kebiasaan pada diri Eja, apabila ditawarkan sebarang watak, Eja pasti akan baca dan teliti skripnya dahulu," katanya yang mengamalkan perkara ini sebagai prinsip dan amalannya dari dahulu.
"Sesuatu watak lakonan itu hanya akan diterima setelah Eja dapati ia sesuai dengan diri Eja dan Eja mampu menjiwai watak hanya dengan membaca skrip," bicara Eja lagi.
Dalam pada itu, Eja juga mengulas mengenai dirinya yang dikatakan seorang 'pelakon eksklusif' kerana biarpun popular menerusi drama-drama lakonannya di kaca TV, namun jika diukur tempoh karier lakonannya yang sudah mencecah 14 tahun, dia sebenarnya tidak banyak muncul dalam drama TV.
"Saya mendisiplinkan diri sebegitu kerana jika hasil lakonan Eja dihargai dan diingati, itu sudah memadai bagi seorang insan yang bergelar pelakon," ucapnya sopan menyusun kata mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment