SETELAH setahun menempuh kejayaan atau kegagalan, kesedihan mahupun kegembiraan, kini tiba untuk kita membuka kamus baru di dalam kehidupan seharian. Bak ungkapan, ‘tutup buku lama, buka buku baru’, begitulah setiap kali tahun baru menjelma.
Menjadi personaliti televisyen program The Breakfast Show di ntv7 tidak menghalang Joanne De Rozario,35, dan Hansen Lee, 29, untuk turut meraikan sambutan tahun baru 2011 yang bakal menjelma tiga hari lagi.
“Mungkin ini tahun bertuah buat kami kerana kedua-dua Hari Natal dan Hari Tahun Baru jatuh pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu.
“Saya akan bekerja pada malam sebelum tahun baru dan cuti pada keesokan harinya,” ujar Joanne.
Bagi wanita tinggi lampai ini, perancangan bagi acara peribadi tahun baru belum dirancangnya lagi. Tambahnya lagi, jika pada kebiasaannya Hari Natal adalah harinya bersama keluarga dan tahun baru pula akan disambut bersama teman-temannya.
“Saya belum lagi membuat perancangan di mana saya akan menyambut tahun baru saya. Tetapi, seperti sudah menjadi kebiasaan di dalam keluarga saya, Hari Natal adalah hari bersama keluarga, dan tahun baru pula, kami bebas melakukan aktiviti sama ada bersama rakan atau sebagainya,” tambah Joanne yang pernah muncul sebagai pembaca berita edisi Inggeris di ntv7.
Menurut Joanne, jarang bagi dirinya berkumpul ke kelab sosial bersama teman pada malam perayaan, kerana baginya lokasi tersebut semestinya akan sesak dipenuhi pengunjung dan secara langsung segalanya akan menjadi mahal.
“Mungkin semasa saya muda dahulu, aktiviti ini dipilih akan tetapi setelah umur meningkat, kebiasaannya saya akan berlepak di rumah rakan-rakan yang mana mereka akan meraikan majlis malam tahun baru untuk disambut bersama sahabat handai,” katanya yang setelah matang, dia lebih gemar menghabiskan masa yang berkualiti bersama rakan-rakan.
Bagi hos dan penyampai televisyen ini, sudak menjadi kelaziman tahun barunya disambut bersama teman-teman di luar negara. Sebelum ini juga, selama dua tahun berturut-turut tahun barunya disambut di Hong Kong.
Mengimbas kembali tentang sambutan Hari Natal kali ini, katanya: “Semestinya, setiap kali Hari Natal menjelma, beli-belah menjadi perkara perlu untuk dilakukan. Pada tahun ini, saya dapat membuat persiapan awal berbanding tahun lepas, saya agak kelam- kabut kerana kesuntukan masa.
“Hari Natal saya tahun kali ini akan disambut di rumah ibu bapa saya yang bertempat di Ampang, Selangor.”
Hansen diamkan diri
Mempunyai sedikit persamaan dengan Joanne, Hansen Lee juga belum punyai rancangan awal untuk menyambut malam tahun barunya. Akuinya juga, beberapa tahun lepas, dia seperti hanya ‘mendiamkan’ diri sahaja tanpa ke kelab untuk menyambut perayaan ini.
“Saya dan rakan-rakan akan hanya adakan majlis kecil, minum-minum, dan mungkin pergi ke kawasan yang membolehkan kami melihat percikan bunga api sempena tahun baru,” kata jejaka berbadan tegap yang pernah aktif ke dalam bidang peragaan itu.
Bagi Hansen, apabila seseorang itu telah sampai ke suatu tahap umur, individu itu akan merasakan parti bukanlah sesuatu yang paling diinginkan untuk berhibur.
“Saya telah melakukannya (berparti) di zaman remaja saya. Jadi kini setelah umur meningkat, saya hanya lebih gemar menghabiskan masa bersama teman-teman dan berbual-bual.
“Perbualan kami mungkin mengenai masa depan, pencapaian kami mahupun mengimbau kenangan masa lalu," tambahnya lagi,” ungkapnya.
Mungkin berkaitan dengan pengalaman hidupnya setelah meningkat umur, azam tahun baru Hansen ialah untuk memberi lebih perhatian terhadap persekitaran sebenar yang merupakan perhubungan sesama insan dari hanya melihat 'status' mereka melalui laman web interaktif sosial seperti Facebook dan Twitter.
“Azam tahun baru saya ialah untuk mengurangkan melihat perkembangan rakan-rakan melalui Facebook dan Twitter. Ia seperti ‘menjauhkan’ saya daripada perhubungan sesama insan di dunia sebenar dan rakan-rakan lain,” ujarnya serius.
Sambutan Hari Natal bagi jejaka ini mungkin tidak semeriah Joanne yang sememangnya dilahirkan di dalam keluarga yang menganut agama Kristian. Keluarga Hansen pula penganut agama Buddha.
Menurut Hansen, Hari Natal baru-baru ini disambut di rumah kakaknya yang menetap di Singapura.
“Ini kerana ibu bapa saya yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan tidak begitu mementingkan sambutan Hari Natal kerana kami bukannya beragama Kristian. Jadi, mereka tidak kisah jika kami tidak bersama sekeluarga pada Hari Natal.
“Kerana itu saya selalunya akan berada bersama kakak saya kerana dia dan keluarganya adalah penganut Kristian,” jelasnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman sepanjang temu bual berlangsung.
No comments:
Post a Comment