Tuesday, December 28, 2010

RM100,000 Menanti Juara Raja Lawak Musim 5



KUALA LUMPUR, 27 DIS 2010: Wang tunai sebanyak RM 100,000 menanti mereka yang bergelar juara dalam program realiti hiburan Raja Lawak Musim Kelima (RJ5) yang bakal bersiaran di Astro Prima bermula pada 7 Januari 2011 tahun hadapan. Sekadar mencari sebuah kelainan, imbuhan wang tunai bernilai besar itu diyakini mampu dimanfaatkan sebaiknya oleh pemenang yang bergelar Raja Lawak.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ganjaran tersebut amat berpatutan buat pemenang untuk digunakan di masa hadapan.
"Jika musim lalu kita bagi kereta untuk pemenang pertama dan kedua, pemenang ketiga kita beri motorsikal serta sedikit wang tunai jadi untuk musim ini kami rasa wang tunai dalam nilai yang besar amat bersesuaian. Bagi saya, mereka boleh menggunakan duit tersebut untuk kebaikan diri berbanding hadiah kereta dan lain-lain.
"Lebih istimewa, kali ini bukan hanya juara bahkan pemenang tempat kedua dan ketiga turut membawa pulang jumlah wang tunai yang besar iaitu RM 50, 000 dan RM 30,000, " katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan 12 peserta RJ5 yang diadakan di Pasar Budaya, tengahari tadi.
Meskipun memasuki musim kelima, Nizam yakin program realiti yang mencungkil bakat pelawak itu masih relevan dalam melahirkan pelapis muda golongan tersebut.
"Kami tak pernah rasa nak berhenti seketika atau rehat sekejap rancangan ini. RJ mempunyai peminat tersendiri malah untuk RJ5 kita menerima penyertaan melebihi 2,000 orang yang sanggup hadir bagi mencuba nasib.Angka tersebut meningkat berbanding musim lalu," ujarnya.
Mengetengahkan 12 peserta yang terdiri daripada lapan kumpulan serta empat peserta solo, Nizam memberitahu kesemua mereka terpilih berikutan karisma dan karakter yang ada pada diri masing-masing.
Malah sama seperti tahun-tahun lalu, jumlah penyertaan peserta wanita amat sedikit dan tahun ini menyaksikan kumpulan Kami mewakili kaum hawa.
"Peserta wanita yang datang tak sampai 10 orang pun. Kumpulan Kami mewakili peserta wanita dan kami yakin mereka mampu mengalas tanggungjawab dengan baik. Mereka mempunyai karakter tersendiri cuma perlu diasah lagi," katanya.
Selain Kumpulan Kami , tujuh lagi kumpulan yang terpilih ialah Pukaw, R2, Bobo, Kopi O, Balas, Lucky dan TBO. Sementara itu, Nazmi, Man, Epy dan Leman mewakili peserta solo.
Bagi Kumpulan Kami yang dianggotai oleh Zarina dan Elly Sarimah, pertama kali menghadiri ujibakat dan terpilih membuatkan mereka obses mahu mencatat sejarah dalam siri RJ.
"Kami tahu amat sukar untuk wanita bertahan dalam RJ ini. Jadi pemilihan kami ini satu rahmat dan kami akan pastikan seboleh mungkin kami akan mara sehingga ke peringkat akhir. Kami yakin berkat usaha dan kerja keras tidak mustahil bagi kami menembusi tembok yang seringkali dipegang oleh kaum lelaki," kata Zarina.
Sementara itu, bagi peserta solo, Man, lima tahun mencuba nasib akhirnya percubaan kali kelima membawa tuah kepada dirinya. Menganggap RJ sebagai platform untuk menonjolkan bakat diri, Man juga sanggup melepaskan jawatannya sebagai Penyelia Operasi di Pos Malaysia bagi mengecapi impiannya sebagai pelawak.
"RJ ini merupakan tempat untuk kami memperkenalkan bakat yang ada. Jadi saya sanggup ambil risiko untuk menyertainya. Saya dah memohon cuti pada majikan saya, tapi kalau tak lulus saya kena berhentilah dan saya dah bersedia dengan apa yang bakal berlaku kerana bagi saya ini sahajalah cara untuk saya mengapai impian bergelar pelawak serta mengubah kehidupan saya," kata bapa kepada dua orang cahaya mata ini.
Sama seperti tahun-tahun lalu, sebagai pembuka tirai program tersebut, Al Kisah Raja Lawak Astro bakal disiarkan pada 30 dan 31 Disember 2010 ini, bermula jam 9 malam.
Manakala bermula 3 Januari depan, peminat siri tersebut bolehlah menyaksikan Kapsul Raja Lawak yang akan disiarkan selama lima minit setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 9 malam.
Sementara itu, Gelanggang RJ5 bakal bersiaran bermula 7 Januari depan pada setiap Jumaat pukul 9 malam di saluran Astro Prima masih dikendalikan oleh pengacara yang sama tahun lalu iaitu Zizan dan Johan.

No comments:

Post a Comment