PETALING JAYA: Pengacara baru program Akademi Al-Quran musim kelima (AQ5), Zhafran Zainuldin mengakui berdebar untuk mengemudi musim baru program itu yang bakal bermula pada 8 Januari depan.
Ujar perunding motivasi berusia 25 tahun itu, sebagai muka baru dalam bidang pengacaraan televisyen, dia tidak menyangkal tekanan dan cabaran yang perlu didepaninya dalam memastikan kelancaran program Islamik yang mendapat ratingtertinggi di stesen TV9 itu.
Biarpun dibantu oleh pasangan pengacara Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang berpengalaman mengacarakan AQ musim lalu, Zhafran berkata, dia perlu menggunakan cara dan pendekatan tersendiri bagi memikat penonton khasnya golongan muda.
"Tugas ini adalah pengalaman pengacaraan pertama saya bagi program televisyen. Sebelum ini, saya hanya terlibat sebagai pengacara majlis di peringkat sekolah dan universiti saja.
"Saya akui menggalas tanggungjawab dan cabaran yang besar bagi memastikan kelancaran program ini. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.
"Sedikit demi sedikit saya semakin dapat membina keserasian dengan pasangan pengacara Sharifah Khasif yang banyak membimbing dalam tugasan ini," katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai pemilihannya sebagai pengacara program itu, Zhafran berpendapat, pemilihan itu didasari oleh faktor usianya yang muda selain mempunyai potensi serta karisma untuk menarik perhatian lebih ramai penonton muda.
"Memandangkan sasaran penonton musim baru AQ ingin menarik lebih ramai golongan muda, pemilihan saya sebagai pengacara ini dipengaruhi oleh faktor usia selain kebolehan yang saya tampilkan pada sesi ujibakat beberapa bulan lalu.
"Insya-Allah saya akan menggunakan platform ini untuk berkongsi ilmu dengan penonton serta cuba menjadi inspirasi kepada golongan muda di luar sana, " ujar adik kepada pendakwah Zamri Zainuldin yang popular menerusi program Adik & Al-Quran di stesen televisyen itu.
AQ5 yang mempunyai 12 episod ini mengekalkan dua juri lama iaitu Nazeri Abdullah (qiraat) dan Radhi Kamarul Hailan (tarannum) serta menampilkan seorang juri baru, Nik Azizan Nik Jaafar yang akan memantau aspek tajwid dan fasohah para peserta.
Lebih menarik, penonton musim terbaru ini juga berpeluang untuk mengenali 10 pesertaAQ5 secara lebih dekat menerusi Nota AQ5 yang akan disiarkan selama tiga minit pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Segmen ini akan mengupas perkara seharian yang kita lakukan yang secara tidak langsung memberi kesan kepada kehidupan seperti aspek pemakanan, pembacaan dan pentafsiran Al-Quran.
Sebuah lagi segmen baru yang turut diperkenalkan iaitu Di Sebalik AQ5 pula akan memaparkan gelagat peserta sepanjang menghadiri kelas tarannum, tajwid dan qiraat, selain aktiviti harian mereka. Ia akan bersiaran selama setengah jam, setiap Jumaat pukul 6.30 petang.
Majlis pelancaran AQ5 yang merupakan salah satu daripada lapan program keagamaan di bawah penjenamaan Raudhah telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Rabu.
AQ5 akan menemui penonton bermula 8 Januari 2011 pada setiap Sabtu pukul 9.00 malam di TV9.
AQ yang diterbitkan sejak tahun 2006 telah menyaksikan empat juara iaitu Anuar Hasin (AQ1), Abdullah Fahmi Che Nor (AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (AQ3) dan terbaru Ahmad Tirmizi Ali (AQ4).
No comments:
Post a Comment