KUALA LUMPUR: Selang beberapa minggu merahsiakan pengganti dua watak utama teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua, CTRA Production mengumumkan pelakon Elly Mazlein sebagai Tun Siti Hasmah dewasa, Misha Omar (Tun Siti Hasmah remaja) dan Ezany Nizariff (Tun Dr Mahathir remaja).
Sebelum ini, watak Tun Siti Hasmah dewasa dan remaja dilakonkan oleh Erra Fazira manakala Tun Mahathir remaja oleh Zizan Nin.
Selain itu, MTM turut menampilkan wajah baru lain iaitu pengacara Sarimah Ibrahim sebagai susur atau pencerita dan Datuk AC Mizal sebagai Aziz, kawan Tun Mahathir.
Menurut pengarahnya, Rosminah Tahir, hasil perbincangan dengan rakan-rakan dan team produksi, dia merasakan sedikit perubahan dan penambahan cerita diperlukan bagi membaiki kelemahan MTM yang pertama.
"Saya rasa watak susur penting untuk memahamkan penonton tentang perjalanan kisah Tun Mahathir ini.
"Saya juga mewujudkan sub-plot dalam teater ini untuk mengangkat cerita Tun Mahathir dalam konteks teater berasaskan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau," katanya pada sidang media muzikal itu di Istana Budaya, di sini, Khamis.
Tambahnya: "Mengenai pemilihan pelakon seperti Elly Mazlein dan Ezany, semuanya diserahkan kepada penerbit, Siti Rohayah Atan.
"Bagaimanapun, kami melihat kualiti lakonan mereka. Mungkin orang tak nampak bintang yang bergemerlapan ini dalam teater tetapi gah di layar. Jadi, apa salahnya kita mengambil mereka ini."
Sementara pelakon lain termasuklah Esma Daniel, Shafeiq Shazwan Zamrus, Azean Irdawaty, Datuk Jalaluddin Hassan dan Mazhar Tun Mahathir.
Teater muzikal yang turut mendapat kerjasama Istana Budaya, Persatuan Penulis Wanita Malaysia dan ASWARA ini akan dipentaskan pada 21 hingga 30 Januari 2011 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Tiket-tiket dijual pada harga RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 dan boleh didapati dengan melayari www.ticket2u.biz.
No comments:
Post a Comment