JAKARTA - Menang atau kalah bukanlah persoalan yang menjadi keutamaan bagi pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya yang bertandang ke sini untuk melengkapkan perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok.
Sebaliknya, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kehadiran beliau bersama anak-anak buahnya ialah untuk bermain atas dasar semangat kesukanan.
"Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun, pastinya masing-masing berharap untuk menang.
''Tiada siapa yang mahu tewas. Jadi, lebih baik kita tunggu dan lihat saja perlawanan pada hari Rabu ini," katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini, semalam.
Rajagobal yang tiba bersama pemain-pemain bimbingannya serta pengurus pasukan Datuk Subahan Kamal disambut pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini serta sekumpulan pelajar Malaysia.
Tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia, kesemua pemain kebangsaan sempat beramah mesra dengan peminat-peminat mereka biarpun masing-masing masih kepenatan.
Rajagobal juga memberitahu, beliau belum memutuskan sama ada akan menurunkan anak-anak buahnya menjalani latihan di padang Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini.
Sementara itu, penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha optimis untuk menguasai GBK pada final kedua Piala Suzuki AFF2010 di gelanggang berkenaan Rabu ini.
"Bagi seseorang penyerang, selagi tidak dapat menjaringkan gol, selagi itu kita tak berasa puas. Samalah seperti saya yang baru menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan ini.
"Salah satu gol tersebut dijaringkan di GBK ketika kita tewas 1-5 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Mungkin saya lebih ada 'feel' untuk menjaringkan gol di sini," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia di Hotel Sultan di sini.
Norshahrul, 24, bagaimanapun tetap memainkan peranan penting mencipta gerakan untuk dua daripada tiga gol Malaysia pada aksi final pertama malam kelmarin apatah lagi dia disifatkan oleh Rajagobal sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan ini.
Pada masa yang sama, dia tidak terlalu berharap untuk memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFF Suzuki 2010 biarpun sebelum ini dia telah memenangi anugerah MVP bagi Liga Malaysia 2010.
"Insya-Allah kalau ada rezeki. Siapa yang tak mahu menang anugerah ini. Saya akan cuba pamerkan aksi terbaik pada final kedua nanti bagi memastikan kejuaraan mutlak milik Malaysia," ujar Norshahrul.
Perasaan hiba pula menguasai pemain sayap kanan kebangsaan, Amirulhadi Zainal yang terpaksa melupakan aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2010 di sini kerana digantung perlawanan. - Utusan
No comments:
Post a Comment