Kelahiran Dewa yang diterbitkan sendiri oleh Ning bersama komposer Audi Mok menerusi gabungan syarikat mereka berdua iaitu Happenings dan Satu Entertainment dilihat bakal membawa sinar baru dalam karier penyanyi bersuara lantang Soprano ini.
Lebih-lebih lagi, 'Dewa' yang bermaksud 'cahaya' dalam bahasa Sanskrit, bakal menterjemahkan hala tuju baru Ning, sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan penghibur.
Ning sewaktu diwawancara menjelaskan, 'Dewa' menampilkan 8 buah lagu berkonsepkan balada, pop, elektro dan dance, termasuk 'Mama Papa dan Rasaksa yang kini kerap diputarkan di corong-corong radio.
Biarpun teras album terbarunya ini disifatkan agak moden dan lebih dekat dengan masyarakat bandar, namun Dewa sebenarnya tidak mempunyai sebarang konsep yang khusus atau tertentu.
"Album Dewa merupakan yang paling peribadi bagi sepanjang 17 tahun karier saya sebagai anak seni, kerana ia diadun mengikut citarasa dan keinginan saya selama ini.
"Walaupun ia banyak menampilkan lagu rancak yang berentak elektro dan dance, namun masih ada lagu-lagu balada yang jadi 'makanan' yang turut diselitkan di dalam album ini.
"Perubahan yang saya buat ini adalah bersebab. Kalau boleh, saya mahu peminat melihat dan merasai frasa perubahan dalam hidupn saya serta mengenali definisi baru kehidupan saya," katanya.
Pemilihan Audi Mok sebagai penerbit bersama dan komposer sepenuhnya untuk album ini juga, kata Ning adalah berdasarkan kepada persahabatan, kepercayaan serta kualiti dan hasil kerja komposer itu sendiri. Apa yang istimewanya, Ning turut menulis lirik lagu yang berjudul 'Propagandamu' untuk album ini.
Menjelaskan tentang identiti "soprano" nya, yang dilihat semakin reda dalam dua single terbaru iaitu Mama Papa dan Rasaksa, Ning berkata, ia masih dikekalkan dalam Dewa, cuma album ini bakal menampilkan kebolehannya dalam pelbagai teknik vokal yang dan bukannya hanya Soprano semata-mata.
Sempena kelahiran album ini juga, beliau kini sedang merancang untuk mengadakan konsert mini konsert jelajah seluruh Malaysia, yang bakal diakhiri oleh konsert di Istana Budaya sempena Festival Muzik KL 2011 pada Julai 2011.
Konsert mini pertamanya pula akan berlangsung di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara ketika sambutan ulang tahun tahun baru 2011 diadakan.
Jelasnya, showcase yang bakal menampilkan beberapa lagu dari album terbarunya itu bakal berlangsung selama 1 setengah jam diiringi "live band" oleh pemuzik profesional bermula jam 10 malam sehingga lewat tengah malam. Tiket boleh didapati dengan harga RM 100 termasuk minuman ringan.
Menutup bicaranya, Ning berkata, dia berharap para peminat setia dan barunya dapat menerima album 'Dewa' dengan mata dan hati yang terbuka, kerana ia dihasilkan atas dasar keyakinannya terhadap cinta dan kehidupannya kini.
No comments:
Post a Comment