Thursday, December 30, 2010

Wan Jamak puji skuad terbaik

Menurut Wan Jamak, ini merupakan antara skuad kebangsaan terbaik yang pernah dilahirkan dan beliau yakin skuad kali ini mampu menghadiahkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Pada pertemuan tersebut, para pemain Malaysia beraksi dengan baik sebagai satu pasukan sehingga dapat menyekat kemaraan pemain Indonesia daripada menjaringkan lebih banyak gol.
"Dalam perlawanan ini kita melihat pemain lawan menyerang bertali arus tetapi pertahanan kita kental sebagai satu unit sehingga menyukarkan lawan menjaringkan gol.
"Bagi saya, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat adalah pemain terbaik pada perlawanan itu kerana menyelamatkan beberapa cubaan bahaya termasuk sepakan penalti," katanya ketika dihubungiKosmo! semalam.
Wan Jamak merupakan jurulatih yang pernah membawa skuad Malaysia melangkah ke perlawanan akhir kejohanan itu pada tahun 1996, namun mereka tewas kepada Thailand.
Ujarnya lagi, jaringan cantik daripada penyerang sensasi negara, Mohd. Shafee Mohd. Sali telah menaikkan semangat para pemain negara kerana Malaysia ketika itu jarang menguji pertahanan lawan.
"Jaringan itu juga menyebabkan para pemain Indonesia seolah-olah putus harapan kerana sedar mereka perlu membolosi kubu skuad negara sebanyak lima kali.
"Keampuhan benteng negara yang dibantu kecemerlangan Khairul merupakan faktor utama kemenangan Malaysia," ujarnya.
Mengulas mengenai perbandingan skuad negara yang dibimbing beliau dahulu berbanding skuad tersebut, Wan Jamak berkata, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mempunyai banyak pilihan pemain yang berkualiti.
"Rajagopal juga diberi masa yang lama membimbing pasukan kebangsaan, sekali gus membuatkan beliau dapat memahami setiap pemain sekali gus dapat membentuk skuad yang mantap.
"Beliau juga mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi dan ini memudahkan beliau mengatur strategi atau mengisi kekosongan sekiranya ada pemain yang tidak dapat beraksi," jelasnya.
Tambahnya lagi, skuad negara mempunyai masa depan yang cerah kerana ia dibarisi pemain muda tetapi sudah menunjukkan potensi menjadi sebuah pasukan yang boleh digeruni.
"Saya percaya jika kita berusaha lebih keras lagi tidak mustahil pasukan negara mampu meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Tahniah kepada Rajagobal dan semua pemain serta pegawai skuad kebangsaan negara kerana berjaya mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Malaysia," ujar Wan Jamak.

No comments:

Post a Comment