Friday, December 24, 2010

Artis Korea Bakal Meriahkan DiGi Live K-pop 2011

G.Na
SHAH ALAM: Syarikat telekomunikasi, Digi Telecommunications bakal menganjurkan satu acara hiburan, 'Parti DiGi Live K-pop 2011' yang menampilkan artis-artis Korea untuk pelanggan setianya di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 13 Januari tahun depan.
Ketua Segmen Pemasaran DiGi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, parti tersebut adalah untuk menghargai pelanggan prabayar dan pascabayar yang secara eksklusif melanggan perkhidmatan DiGiMusic Pluz.
Katanya, penyanyi solo G.Na dan dua band pop iaitu Beast dan 4Minute akan beraksi pada konsert berdurasi tiga jam yang bermula pada pukul 8 malam.
Moharmustaqeem Mohammed memegang beberapa keping tiket DiGi Live K-pop Party. - Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH
"Parti DiGi Live K-pop 2011 ialah acara pertama seumpamanya membariskan dua band dan seorang penyanyi artis Korea beraksi berterusan (back-to-back) di satu pentas dan malam yang sama.
"Kami menjangkakan kira-kira 10,000 peminat artis Korea membanjiri Stadium Negara pada malam itu," katanya kepada mStar Online, Selasa.
DiGi dengan kerjasama Universal Music buat julung kali menganjurkan acara yang menampilkan semua penyanyi Korea.
Sebelum ini, pelanggan DiGi berpeluang menyaksikan konsert melibatkan artis seperti Pop Shuvit, Disagree, One Buck Short, Estranged, Adam Lambert, Aliff Satar, The All-American Rejects dan Michael Wong yang mengembangkan kerjaya nyanyiannya di Taiwan.
Menurut Moharmustaqeem, untuk kali ini, pelanggan DiGiMusic Pluz berpeluang menghadiri sesi ramah mesra bersama artis Korea dan menghadiri konsert hebat mereka.
Katanya, setiap artis akan membuat persembahan antara 30 hingga 40 minit.
"Mereka akan menyanyikan lagu hit dan single terbaru dari album mini mereka termasukMastermind (Beast), Muzik (4Minute) dan Supa Solo (G.Na)," katanya.
4Minute
Setiap pelanggan DiGiMusic Pluz yang bertuah juga berpeluang menyertai kumpulan peminat bagi mengalu-alukan kedatangan artis-artis tersebut serta mengucapkan selamat tinggal buat mereka.
Selain itu, 50 pelanggan pertama servis itu yang memuat turun paling banyak nada dering sebelum 2 Januari tahun depan dapat beramah mesra dengan artis Korea tersebut dan diberi peluang mengikuti rakaman tarian secara langsung yang dihoskan oleh Hitz TV.
Moharmustaqeem menambah, DiGi yakin dapat berinteraksi dengan orang muda hari ini menerusi muzik, sekali gus menembusi pasaran mereka.

No comments:

Post a Comment