KUALA LUMPUR: Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2010, Nurkhiriah memberitahu tidak sesekali meletakkan harga tinggi setelah memenangi anugerah tersebut.
Menurutnya dia hanya melakukan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dengan baik tanpa memikirkan populariti dan anugerah yang bakal diterimanya.
“Tidak pernah terfikir untuk meletakkan harga yang tinggi setelah memenangi anugerah tersebut. Bagi saya itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon untuk melakonkan watak dengan baik.
“Bagi saya inilah perbezaan bagi seorang pelakon popular dengan terbaik,” ujarnya yang memenangi anugerah tersebut melalui drama Antara Garisan.
Dalam pada itu, Nurkhiriah turut memberitahu dia lebih selesa berlakon di kaca skrin televisyen berbanding filem.
“Saya lebih suka berlakon drama berbanding filem. Drama lebih mudah untuk ditonton untuk seisi keluarga berbanding filem.
“Saya juga tahun untuk berlakon filem terutamanya sebagai pelakon utama memerlukan kriteria yang agak tinggi. Namun untuk buktikan bakat lakonan kita ia tidak hanya perlu sehingga ke layar perak,” jelasnya.
Bercerita tentang rahsia selama 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Nurkhiriah memberitahu restu keluarga adalah paling utama.
“Apa yang penting ialah kita perlu ikhlas dalam setiap kerja yang kita lakukan. Bagi saya pentingnya restu keluarga dan suami dalam setiap kerja yang kita lakukan.
“Insya-Allah segala urusan dan rezeki kita akan dipermurdahkan Allah,” katanya.
No comments:
Post a Comment