ANUGERAH Skrin 2010 (ASK2010) yang bakal berlangsung pada pukul 9 malam ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bukan saja menjadi medan pengiktirafan buat para penggiat seni sebelum 2010 melabuhkan tirainya.
Malah, acara berprestij yang memartabatkan dunia penerbitan drama, filem dan program televisyen ini dilihat oleh kebanyakan pemerhati dan karyawan seni sendiri sebagai penebus maruah dan pemulih 'kekusutan' yang ditinggalkan oleh Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), Oktober lalu.
ASK2010 yang mementaskan tiga kategori utama iaitu kategori drama, filem dan penerbitan dalaman bakal menyaksikan perebutan 23 kategori utama serta satu Anugerah Khas Juri.
Kategori keramat dalam sejarah penganjuran ASK iaitu drama televisyen memperlihatkan saingan sengit beberapa judul iaitu Taubat Nasuha, Sebelum Akhirat, Antara Garisan, Dalil Cinta, Kaki, Perempuan dan Lillahi Ta’ala.
Jika pada tahun lalu, pengarah Erma Fatima menerusi drama Tersasar Di Jalanmumenang bergaya dalam kategori Pengarah Terbaik Drama dan Lakon TV Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Norish Ismail) serta Videografi Terbaik.
Persaingan bagi edisi kesepuluh ini dilihat lebih terbuka. Namun, persaingan sengit mungkin dapat dilihat di antara drama Taubat Nasuha, Sebelum Akhirat, Antara Garisandan Lillahi Ta’ala.
Pilihan mStar Online: Antara Garisan
Enam pengarah yang dijangka merebut gelaran Pengarah Terbaik Drama adalah Azman Yahya @ Jinggo (Taubat Nasuha), Murali Abdullah (Sebelum Akhirat), Shahrul Ezad(Antara Garisan), Mohd Fahmi Sarindi (Perempuan), Khairul Anuar Othman (Kaki) dan Heykal Hanifah (Dalil Cinta).
Pilihan mStar Online: Shahrul Ezad
Kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama juga tidak kurang hebatnya. Nama-nama seperti Fauzi Nawawi (Sebelum Akhirat), Zamarul Hisham (Lillahi Taala), Rosyam Nor (Kaki) dan Fahrin Ahmad (Dalil Cinta) menjanjikan persaingan sengit pada malam ini.
Pilihan mStar Online: Fauzi Nawawi
Terus menghangatkan teka-teki ASK2010, beberapa aktres yang mendominasi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama seperti Sheila Rusly (Taubat Nasuha), Lisdawati (Sebelum Akhirat), Dira Zahar (Perempuan), Nor Khiriah (Antara Garisan) dan Sharifah Amani (Dalil Cinta) memperlihatkan persaingan yang terbuka.
Pilihan mStar Online: Nor Khiriah
Bagi kategori filem, ASK2010 persaingan sengit mungkin dilihata pada filem Allahyarham Yasmin Ahmad iaitu Muallaf yang terpinggir di FFM23 dan Papadom (arahan Afdlin Shauki).
Pilihan mStar Online: Muallaf
Persaingan untuk merebut gelaran Pengarah Terbaik Filem juga memperlihatkan nama-nama besar industri filem termasuk Yasmin Ahmad (Muallaf), Khabir Bhatia (Setem), Syamsul Yusof (Evolusi KL Drift 2), Afdlin Shauki (Papadom) dan Bernard Chauly (Pisau Cukur).
Sekiranya pada penganjuran Festival Filem Asia Pasifik ke-54 (FFAP54) yang berlangsung di Taiwan awal Disember lalu, kreativiti Yasmin diperakui oleh barisan juri sebagai Pengarah Terbaik, adalah tidak mustahil pengarah berkaliber itu bakal menjulang anugerah yang sama di ASK2010.
Merumitkan lagi pilihan, nama-nama seperti Syamsul Yusof yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik di FFM23, Afdlin Shauki yang memenangi Pengarah Terbaik FFM22 dan Khabir Bhatia juga menjanjikan persaingan untuk kategori ini lebih terbuka.
Pilihan mStar Online: Yasmin Ahmad
Beralih kepada kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem, persaingan sengit untuk kategori ini dapat dilihat pada Farid Kamil (Legenda Budak Setan), Bront Palarae (Belukar) dan Afdlin Shauki (Papadom).
Jika berdasarkan rekod FFM, Afdlin dan Bront masing-masing pernah diangkat menerusi filem-filem tersebut. Afdlin menggalas Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM22 sementara Bront melakar kemenangan sulungnya pada FFM23. Namun, aktor dan pengarah muda Farid Kamil tidak boleh dilupakan.
Pilihan mStar Online: Farid Kamil
Persaingan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem pula dijangka memperlihatkan persaingan sengit dua aktres genit Sharifah Amani (Muallaf) dan Liyana Jasmay(Papadom).
Pilihan mStar Online: Sharifah Amani
Filem dan drama manakah yang bakal diiktiraf sebagai yang terbaik? Siapakah pelakon filem dan drama yang bakal merangkul anugerah pelakon terbaik? Siapakah pula bakal mengikut jejak Erma Fatima dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik?
Semuanya bakal terjawab dalam ASK2010, pukul 9 malam ini di Dewan Merdeka, PWTC dan disiarkan secara langsung di TV3.
No comments:
Post a Comment