KUALA LUMPUR: Juara program Raja Lawak musim ketiga, kumpulan Sepah kembali dengan drama bersiri Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua yang bakal menemui penonton bermula 3 Januari 2011, setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Drama komedi 26 episod arahan Mohd Danial Hasbullah ini dijayakan oleh barisan pelakon baru dan lama tanah air dan masih diterajui oleh kumpulan Sepah yang terdiri daripada Mohd Nadzri Zainal Abidin (sebagai Jep), Mohd Noor Murad (Mamat) dan Shahmira Mohamed (Shuib) selaku Bujang Sepah.
Mereka turut dibantu oleh Nonny AF (Zara), Zizie AF (Anita), Ely Sarimah (Mila), Hamid Gurkha (Wak Gurkha), Imuda (Daim Handsome), Sheila Mambo (Puan Sheila) dan Lufya AF (Cikgu Saleha).
Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, "Pada musim lalu, kisah Bujang Sepah Lalalitamplom telah berjaya meraih jumlah penonton yang emberangsangkan di antara drama-drama yang pernah ditayangkan di Astro Prima.
"Sebelum ini juga, kami banyak menerima maklum balas yang positif selepas penayangan tiga telefilem komedi iaitu Bujang Sepah Si Lalalitamplom, Lemang Si Bujang Sepah danDodol Si Bujang Sepah.
"Ini membuktikan kisah Bujang Sepah telah berjaya memikat hati dan mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri."
Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua mengisahkan ragam tiga bujang hartawan segera yang ingin mencari jodoh setelah memiliki harta peninggalan ibu mereka.
Namun, satu kejadian yang berlaku telah menyebabkan mereka memutuskan tali persaudaraan sewaktu pembahagian harta.
Jep dan Mamat menjadi lupa diri setelah mewarisi harta tersebut. Mereka ditipu oleh ramai perempuan sehinggakan kesemua harta mereka dikikis.
Hasil perancangan bijak oleh seorang usahawan yang bijaksana iaitu Daim Handsome, Jep dan Mamat menjadi muflis.
Mereka mengambil keputusan untuk mencari Shuib dan bersatu semula.
Sewaktu Shuib dipinggirkan oleh abang-abangnya, dia telah terjumpa sesuatu yang berharga di dalam dokumen harta miliknya.
Rupa-rupanya terdapat sebuah keratan peta yang menceritakan tentang harta milik moyang mereka iaitu Jamal Pak Tongko.
Menurut peta itu, terdapat 12 butir berlian yang tersembunyi di Daerah Nami. Shuib memberitahu kedua abangnya dan mereka bersetuju untuk mencari berlian tersebut.
Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa mereka tempuhi kerana berlian-berlian yang ditinggalkan moyang mereka bukan kesemuanya tertanam di dalam tanah. Malah ada juga berlian yang berada di dalam simpanan individu tertentu.
Sepanjang pengembaraan tersebut, Jep, Mamat dan Shuib juga sering digoda oleh ramai gadis cantik di setiap kampung yang mereka kunjungi.
Kesudahan cerita komedi ini bakal terungkai dalam drama komedi Bujang Sepah Si Lalalitamplom musim kedua, bermula Januari 2011, setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Prima (Saluran 105).
No comments:
Post a Comment