|
Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya yang kini dalam usaha untuk memperkenalkan enjin 'hijau' mahukan kerajaan memberikan layanan yang sama kepada Perodua.
Katanya, pengecualian cukai serta beberapa insentif yang diberikan untuk menjadikan kereta lebih murah, turut diberikan kepada syarikat itu.
"Kami menyokong langkah kerajaan untuk memberikan insentif walaupun Perodua tidak mengeluarkan enjin yang sedemikian tetapi kami juga bergerak ke arah mengeluarkan kereta mesra alam,'' kata Aminar Rashid.
Beliau berkata demikian selepas memperkenalkan kereta konsep masa hadapan Perodua Bezza di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010) di sini hari ini.
Perodua Bezza dibangunkan dengan menggunakan kepakaran anak tempatan dalam tempoh enam bulan yang disasarkan kepada golongan generasi Y, serta dilengkapkan dengan peralatan multimedia terkini.
Aminar Rashid berharap kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya meskipun Perodua mengeluarkan kereta kompak sedan.
Katanya, semua keputusan tertakluk kepada kerajaan tetapi Perodua adalah syarikat yang mendokong usaha kerajaan dengan mengeluarkan produk-produk masa hadapan
Mengulas lanjut tentang Perodua Bezza, beliau berkata, penampilannya semata-mata menumpukan kepada penggayaan, konsep dan penampilan.
"Masih terlalu awal untuk membincangkan soal kejuruteraan, kerana apa yang ditekankan adalah penampilan produk terlebih dahulu," katanya sambil menambah terlalu awal untuk memperkarakan tentang harganya.
Perodua Bezza ini masih di peringkat awal
sebelum ia dilanjutkan dengan perkongsian teknologi dengan syarikat induk Daihatsu atau Toyota.
No comments:
Post a Comment