|
Dianggarkan dua juta orang mengunjunginya, melangkaui 1.5 juta yang disasarkan sebelum ini.
Sehingga rencana ini ditulis, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjunginya. Apa juga data terakhir yang dikumpul sehingga pameran tersebut berakhir semalam, ia hanya melengkapkan kejayaan MAHA 2010 yang diadakan serentak dengan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pada tahun ini.
MAHA 2010 yang bercirikan antarabangsa diadakan dua tahun sekali manakala HPPNK diadakan setiap tahun bukan lagi setakat menghargai usaha dan jerih perih tiga golongan tersebut untuk bekerja menghasilkan makanan untuk negara.
MAHA kini dianggap sebagai strategi atau platform paling berkesan untuk menerangkan hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.
Slogan mudahnya Pertanian Adalah Perniagaan dapat diterjemahkan dengan penglibatan usahawan yang menggunakan teknologi dalam setiap rantaian bekalan.
Pameran pertanian tersebut dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), diuruskan oleh MARDITECH Corporation Sdn Bhd. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula memainkan peranan sebagai nadi penggerak utama bagi memastikan pameran berjalan lancar.
Siri MAHA International 2010 kali ini menampakkan minta orang ramai kepada sektor pertanian semakin meningkat. Malah aktiviti padanan perniagaan semakin memberangsangkan manakala seminar-seminar semasa yang manakala mendapat sambutan.
Justeru, tidak hairanlah apabila MAHA 2010 International ini menerima kunjungan mencecah kira-kira dua juta orang. Ia ibarat gedung ilmu pertanian dan sesuai bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan sektor pertanian negara sama perkembangan teknologi, produk terbaru daripada agensi kerajaan dan swasta.
Kenyataan Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin mengenai hasrat tersebut memang jelas. Kerajaan mahukan rakyat memahami aspirasi murni dalam sektor pertanian dan menjadikannya perniagaan yang menuntungkan.
''Saya bersetuju ini (MAHA) merupakan strategi kerajaan hendak membuktikan kepada masyarakat bahawa pertanian adalah perniagaan.
''Kalau tidak, masakan rakyat akan terima slogan tersebut. Hari ini kita dapat lihat apakah hasil pertanian kita,'' katanya.
Dengan penganjuran MAHA, orang ramai dapat memahami melihat dan mengetahui maksud pertanian adalah satu perniagaan, tegas beliau.
Malah katanya, FAMA yang menerajui usaha pemasaran dalam sektor pertanian telah berjaya membimbing 433 usahawan melibatkan 2,300 produk dengan membawa jenama 1Malaysia Best.
Beliau berkata, sambutan orang ramai itu membuktikan mereka berminat dengan pertanian manakala pengusaha dapat menonjolkan produk masing-masing sebagai kaedah pemasaran berkesan.
Minat orang ramai itu juga terarah kepada pelbagai pameran yang diadakan seperti produk pertanian, teknologi, haiwan ternakan dan haiwan peliharaan serta industri baru seperti burung walit, rumpai laut dan ikan hiasan.
Orang ramai sentiasa berpusu-pusu ke Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang menjadi tapak MAHA, meskipun laluan keluar masuk sentiasa sesak dan tram yang disediakan sentiasa penuh. Cuaca panas dan hujan silih berganti sepanjang pameran diadakan selama 10 hari itu tetapi tidak merencatkan minat pengunjung.
Siri MAHA International 2010 kali ini bertemakan Inovasi Pertanian Pemangkin Pembangunan sejajar dengan saranan kerajaan menjadikan tahun 2010 sebagai tahun inovasi.
MAHA International 2010 telah mendapat minat penyertaan daripada pempamer antarabangsa daripada pelbagai rantau termasuk beberapa negara Eropah, Amerika Latin, China, India, Asia Tenggara, Australia dan negara Liga Arab dan Asia Barat.
No comments:
Post a Comment