Friday, December 17, 2010

Suara Yazid dan Black



POSISI dua figura ini dalam sebuah konsert jauh di belakang, cenderung tidak menonjol namun apabila hentaman daripada kayu yang digenggam mereka dicetuskan, khalayak tahu mereka akan terus 'mengaum' konsisten sepanjang durasi persembahan berlangsung. Mereka bukan sekadar sebagai penjaga rentak tetapi hakikatnya menjadi bahagian yang setara bahkan dominan dalam komposisi sebuah grup.
Yazid Search dan Black Wings, jarang sekali berbunyi melalui vokal mereka. Kadang kala sahaja terdengar mereka memberi komentar tentang itu dan ini. Selebihnya mereka hanya berbunyi melalui ketukan dan hentaman instrumen kecintaan mereka, dram, membuktikan mereka bersedia untuk memberi getaran yang bukan sedikit khas buat pencinta muzik mereka. Penulis sengaja memilih mereka untuk bersuara kali ini. Mendengar getar vokal dan harapan mereka terhadap grup yang ditumpahkan segala cinta dan komitmen. Dengar suara hati dua pemain dram terkemuka negara ini berbunyi.
Momen menunjuk - nunjuk Black
Sudah mesra digelar Black sejak zaman sekolah menengah, sosok dengan nama Azmi Hashim ini punya kriteria tersendiri dalam berpakaian dan skil dramnya. Selesa melihat lelaki ini mengenakan singlet dan jean, stail yang melekat dan tidak pernah jauh dengan pemain dram grup Wings ini.
"Dulu, penonton cenderung untuk meniru gaya artis pujaan mereka. Apa yang kita pakai, pasti mereka ikut. Kita pakai jaket kulit untuk penggambaran, mereka ikut juga walau pun tengah panas. Kini tidak ada lagi fenomena itu,"ujar Black yang bermula duduk di posisi dram melalui grup Hardware dan terkenangkan persembahan awalnya di Taman Jaya, Petaling Jaya.
AMY SEARCH (kiri) dan Awie Wings (kanan) menerima cenderahati daripada wakil DiGi, Moharmustaqeem Mohammed sebagai tanda kolaborasi.

"Tahun 1985, saya mula dengan grup Babylon. Kemudian Awie dan Bob Lokman ajak saya bergabung dalam Wings. Itu langkah pertama saya. Kami main di Kathy's Lounge selama setahun hinggalah Nasir Abu Kasim mengesan bakat kami," ujarnya yang menamakan grup DIO dan Loudness sebagai pengaruh awal hidupnya.
"Disebabkan bermain kelab dan terdedah kepada variasi muzik, saya cepat mendapat stail permainan dram saya. Tahun 1983, saya sudah dapat rentak sendiri," terangnya yang menganggap generasi muda kini tidak bermain mengikut rasa dan sebaliknya hanya mahu menunjuk-nunjuk.
Selaku pemain dram senior, saya meminta dia melanjutkan sudut pandangnya itu tentang pemain-pemain dram muda.
"Pemain dram dulu main ikut lirik, ada mesej yang mahu disampaikan. Tapi sekarang lebih kepada mengikut trend. Pemain dram dulu juga ada tanda dagang sendiri. Kalau kita dengar sambil pejam mata, kita tahu permainan siapa melalui bunyi dan mood bermain.
"Boleh saya katakan, pemain muzik dulu lebih bersedia sebelum keluar dengan produk atau skil mereka. Persaingan dulu hebat dan sikap kompetitif itu tinggi. Bayangkan Wings terpaksa bersaing dengan nama-nama hebat seperti Search, SYJ, Bloodshed. Setiap grup hadir dengan konsep dan bunyi yang berbeza," ujarnya jujur namun tidak menidakkan kehebatan permainan dram muda.
"Saya berlatih dram secara individu dan grup. Bagi saya, pemain dram perlu berlatih tiga kali ganda lebih daripada pemain instrumen lain. Selalunya saya akan berlatih empat jam secara individu dan kemudian bersama Wings pula. Yang penting dalam diri seorang pemuzik adalah sikap disiplin," ujarnya yang kini lebih memperbanyakkan penggunaan skil dan teknik berbanding tenaga.
Saya tanyakan pula momen solo bermain dram di atas pentas buat dirinya, dia tersenyum manis dan menjawab,"Kalau momen solo itu bahasa kasarnya adalah masa untuk menunjuk-nunjuk. Satukan teknik dan bercerita melalui dram. Helahnya jika mahu bermain dengan baik adalah lepaskan diri dan minda. Bertenang dan baru mood serta jiwa itu datang."
Black menyambung lagi, masih berbaki soal momen. "Bagi saya, album Hukum Karma adalah album terbaik yang pernah Wings hasilkan. Malah Ramli Sarip pernah berkata perkara yang sama. 22 tahun berlalu tapi lagu-lagu dalam album itu masih bernyawa buat para peminat."
"Kalau tanya konsert paling saya ingat adalah persembahan kami sempena 30 Tahun Merdeka di Medan Mara, Kuala Lumpur. Kami terpilih untuk jadi grup pembukaan konsert Lefthanded tapi kami 'tapau' mereka dengan persembahan kami,"ujarnya yang turut berkebolehan bermain gitar.
YAZID (kiri) dan Black merasakan pemain dram kini lebih santai.


Konsert 'sembuhkan' Yazid
Tegap dan gagah berdiri mahu pun duduk di kerusi dramnya. Yazid Search nama yang sangat disegani kerana skil dan kebolehannya 'bermesra' dengan instrumennya. Masih belum pulih sepenuhnya selepas dimasukkan ke Hospital Ampang sekitar Oktober lalu kerana sakit buah pinggang dan darah tinggi, dia meluahkan semangat yang sedang merayap di seluruh pelusuk tubuhnya.
"Keluar daripada hospital, saya terus ke kedai muzik Bentley, Damansara untuk membeli snare dram. Itu semua disebabkan jiwa muzik yang ada dalam diri saya. Saya fikir tentang konsert yang akan berlangsung. Jujurnya, saya rasa kecewa juga kerana terpaksa melepaskan beberapa konsert yang lalu kerana kesihatan. Resah dibuatnya. Tapi nekad saya, selagi saya masih bertenaga, saya akan bertanggungjawab di posisi saya dan tidak akan lepaskan tugasan saya," luahnya yang mesra dipanggil Abang.
"Saya meminta doktor tangguhkan dahulu rawatan dialisis kerana saya mahu menyertai konsert Double Trouble (DT). Malah menurut doktor, keadaan saya normal dan boleh bermain semula," ujar Abang yang dilihat semakin ligat selepas keluar dari hospital.
Sejarah berjalan dengan permulaan seorang Yazid yang selalu menempel di setiap studio rakaman di sekitar Johor Bahru. Tidak mendapat pendidikan formal mengetuk dram, Yazid tahu dia dilahirkan dengan bakat tersebut.
"Masa kecil-kecil saya kumpulkan gelas dan tong cat dan mula mengetuk. Kemudian minat itu berkembang selepas saya bekerja di Singapura kerana terdedah dengan muzik Black Dog Bone, Sweet Charity dan Wanted. Waktu saya menonton konsert Sweet Charity di Tokyo Square, Singapura, semangat saya untuk main muzik bertambah-tambah," senyumnya mengingati zaman lampau.
"Balik Johor Bahru, saya melepak di studio seperti B'Sound dan Bulan Mengambang. Bila ada grup nak pakai pemain dram, saya akan sertai. Lepas itu saya mula main di Kelab Macinta di Johor. Di situ saya bertemu Hillary Ang yang berniat untuk membuat grup.
"Saya dan Hillary ke Kuala Lumpur main di kelab. Ada juga kena tipu namun kami serius mahu bikin band. Kami target Amy (Search). Saya balik ke Johor dan menyatakan niat saya kepada Amy. Kata saya: Aku tunggu di stesen bas. Kalau nak turut sertai, datang." Lama menunggu dan bas hampir bergerak, Amy sampai dan kami ke Kuala Lumpur bermain di kelab dan kemudian membina Search," kenangnya perihal momen di penghujung tahun 70-an.
Saya tujukan soalan buat otai ini, apa ciri-ciri yang perlu ada buat seorang pemain dram. Jawabnya serius," Perlu belajar tempo. Bukan senang sebenarnya kerana perlu ada soul dan groove. Juga jangan terlebih ton dalam bermain. Disiplin juga perlu bagus. Pemain dram, tempat latihannya klasik, perlu di tempat yang ada kalis bunyi. Tidak seperti instrumen lain."
PERSOALANNYA, setelah selesai rangkaian Konsert Double Trouble di dua buah lokasi terakhir, adakah kita akan menemui kolaborasi pemuzik-pemuzik ini lagi di konsert yang berbeza?

Sambungnya mengingatkan serta menyatakan pendapat tentang pemain dram muda, "Satu hari perlu berlatih dalam empat jam. Saya lihat pemain dram sekarang hanya melakukan teknik yang mudah. Banyak juga yang terikut-ikut. Mereka mahu jalan yang cepat."
Saya bertanyakan kepuasan seorang Yazid Ahmad bermuzik bersama Search. Dia senyum seraya menggeleng, menjawab jujur, "Tidak pernah puas. Selalu rasa nak rakam semula bahagian dram di setiap album. Tapi momen yang paling ingat adalah sewaktu rakaman lagu Fantasia Bulan Madu. Saya demam dan jujur saya katakan, itu lagu Search yang paling saya tidak gemar. Kerana itu tiada bahagian dram di lagu tersebut."
Akhir bicara, dua figura berstatus nadi grup masing-masing ini bernafas semangat dan keterujaan untuk bertemu para penyokong kuat mereka di dua buah lokasi lagi. Mereka bakal berlagu indah dari kedudukan masing-masing. Posisi berkerusi yang paling tepat berada di tengah pentas. Nantikan.

No comments:

Post a Comment