MASIH ingatkah lagi dengan lakonan seorang kanak-kanak lelaki yang mempertontonkan gaya menikmati sekeping biskut yang dicelup ke dalam segelas susu kepada bapanya di kaca televisyen?
Dialog jilat, celup, makan itu pasti menguatkan lagi ingatan umum kepada iklan televisyen yang dilakonkan oleh Amel Qin Amri atau lebih mesra dengan panggilan Amel yang berumur empat tahun pada masa itu.
Wajah comel itu pada hakikatnya sudah mula disunting untuk membintangi iklan di kaca televisyen sejak berumur seawal dua tahun menerusi iklan lampin pakai buang.
Dalam tempoh tersebut, Amel yang kini berusia tujuh tahun telah membintangi kira-kira 35 buah iklan. Ini termasuklah iklan terbaru iaitu rangkaian produk penjagaan diri yang baru sahaja selesai penggambarannya awal bulan ini di Mantin, Negeri Sembilan.
Antara iklan yang berjaya mengangkat wajah Amel ialah susu Enfagrow, produk-produk Guardian, Maxis, biskut Oreo, makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC), sabun pencuci Dynamo, produk penjagaan diri seperti Rexona dan Lifebouy, serta beberapa syarikat bank terkemuka.
Ketika ditemui di kediamannya di Subang Bestari, Shah Alam baru-baru ini personaliti anak sulung daripada dua beradik itu amat disenangi dengan keramahannya.
Turut berada di ruang tamu rumah dua tingkat itu ialah ibunya, Nor Eleanor Abdullah, 38, dan bapanya, Anol Amri Jalaluddin, 42, serta adik perempuannya, Anya Qin Amri, 2.
“Saya tidak pernah terfikir lakonan Amel boleh ditonton di kaca televisyen. Semuanya bermula ketika dia berusia dua tahun apabila seorang pengarah produksi jatuh hati dengan kelincahan Amel di sebuah pusat beli-belah Ikea lima tahun lalu.
“Terus dia minta saya dan suami bawa Amel untuk uji bakat iklan lampin pakai buang. Sejak Amel terlibat dalam iklan tersebut, kami terus menerima panggilan yang menawarkan peluang untuk Amel berlakon iklan,” katanya.
Sebelum menerima sesebuah tawaran, Nor Eleanor akan bertanya kepada Amel sama ada anaknya berminat atau tidak.
“Selalunya dia berminat. Amel juga tahu bahawa dia perlu ‘bekerja’ untuk mendapatkan wang, jadi dia perlu lakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Lima tahun melibatkan diri sebagai pelakon iklan, Amel semakin selesa dengan karier itu dan tidak pernah berdepan dengan kesukaran.
Penggambaran yang panjang
Selain petah berkata-kata dan seorang yang lincah, Amel juga tidak menghadapi masalah untuk menghafal skrip sama ada skrip biasa ataupun berbentuk lagu.
Di sebalik lakonannya yang ceria, ramai yang tidak mengetahui tempoh Amel bekerja adakalanya lebih panjang berbanding orang lain.
Dia pernah menjalani penggambaran selama 16 jam. Tempoh tersebut merupakan masa yang paling panjang bermula dari pukul 6 pagi hingga 11 malam, Amel masih mampu bertahan.
Ketika penggambaran itu berlangsung, menurut ibunya, Amel masih mampu untuk melakonkan wataknya dengan baik walaupun keletihan.
“Saya akan rasa penat kalau shooting lama-lama, tetapi saya telah diberitahu perlu habiskan shooting pada hari itu juga, jadi saya mesti buat,” jelas Amel.
Itulah harga yang perlu dibayar, namun kanak-kanak berdarah kacukan Melayu Cina itu tidak pernah kenal erti putus asa.
“Tempoh 16 jam adalah masa yang sangat panjang. Jangankan kanak-kanak, orang dewasa pun mesti sudah lemah dan penat.
“Masa itu, saya kena kuatkan semangat dia untuk terus bertahan. Nasib baik Amel tidak pernah buat perangai semasa di lokasi. Paling tidak pun dia hanya akan mengadu penat atau sakit kaki.
“Ketahanannya itu amat saya hargai. Dia bukan hanya menyenangkan tugas saya sebagai ibu, malah juga pihak produksi dan klien,” kata ibunya.
Bagi Amel, melibatkan diri dalam dunia pengiklanan amat menyeronokkan kerana dia gemar berkenalan dan mempunyai teman baru. Namun pada masa yang sama, dia mengakui tidak gemar melihat lakonannya di kaca televisyen kerana dia akan berasa sedih.
“Saya tidak suka menonton diri saya di televisyen. Saya akan berasa sedih kerana teringatkan kawan-kawan yang sama-sama menjalani penggambaran,” ujarnya yang memiliki lebih 300 kenalan di laman sosial Facebook.
Pada musim cuti persekolahan, Amel turut menerima beberapa buah tawaran. Bagaimanapun, ibunya masih perlu menimbangkan tawaran tersebut supaya rutin harian Amel.
Meskipun masih kecil, Amel seorang yang celik teknologi maklumat. Justeru, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memasang impian membeli telefon iPhone, iPad (komputer tablet skrin sesentuh) dan Xbox (permainan video konsul) dengan hasil pendapatan yang diperolehnya.
Memahami karakter
Sama seperti Amel, pembabitan Lilya Amira Rydberg, 5, ke dunia iklan komersial melalui cadangan seorang sahabat ibunya.
Ibu Lilya, Della Isara Rydberg, 36, pada ketika itu langsung tidak mengetahui prosedur tersebut dan perkara itu juga tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Kata rakan saya, wajah Lilya mampu menarik minat klien untuk menawarkannya berlakon iklan.
“Selepas berbincang dengan suami, kami akhirnya bersetuju. Tidak lama selepas itu, Lilya ditawarkan untuk membintangi iklan susu tepung, Fernleaf,” kata Della Isara ketika ditemui di Bangsar baru-baru ini.
Iklan itu adalah pembabitan pertama Lilya dalam dunia pengiklanan ketika dia berusia 4 tahun.
Pada usia semuda itu, Lilya perlu menghafal bait-bait lagu yang berbunyi: ‘Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku, Bila ku berduka, engkau hiburkan selalu. Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku.’
Keupayaan Lilya menghafal lagu tersebut amat menakjubkan. Pada masa yang sama penggambaran yang berlangsung hampir 12 jam itu turut memerlukannya menyanyi di hadapan sekumpulan penonton.
“Sebelum hari penggambaran, saya tunjukkan dia beberapa contoh iklan di televisyen. Pada masa yang sama, kami berdua berlatih bersama.
“Saya juga akan melakonkan wataknya untuk dia faham apa yang perlu dia lakonkan. Dengan itu, dia mudah faham dengan karakter yang perlu dibawa,” kata wanita kelahiran Jakarta, Indonesia.
Menjelang hari penggambaran, Lilya berjaya mengawal emosinya dan amat dedikasi ketika melakonkan watak tersebut meskipun pada ketika itu jam menunjukkan pukul 11 malam.
“Saya sangat terkejut kerana dia berjaya melakukannya. Penampilan pertamanya amat hebat dan dia langsung tidak gugup. Cuma dia mengadu agak letih.
“Sejak awal, saya sudah beritahu dia pada mana-mana penggambaran, dia dianggap sebagai bekerja dan setiap kerja mesti diselesaikan sehingga habis.
Berdarah kacukan Sweden-Indonesia, sehingga kini Lilya telah membintangi empat buah iklan termasuk Lifebouy , Sunsweet dan Vits Noodles.
Mengakui pembabitan Lilya pada mulanya tidak dipersetujui oleh suami, Della bagaimanapun berjaya memujuknya.
Biasanya, Della hanya menerima tawaran pada hujung minggu sahaja kerana pada hari-hari biasa, selain ke sekolah, Lilya perlu menghadiri berapa kelas kelas belajar piano, membaca, balet, menyanyi, berenang dan mengaji.
“Setakat ini, Lilya turut menerima beberapa tawaran, tetapi saya terpaksa tolak kerana kami akan pergi bercuti sepanjang cuti sekolah dan hanya akan kembali ke Malaysia pada tahun depan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment