KUALA LUMPUR, 13 DIS 2010: Mengelusuri kehidupan sebagai anak seni bukanlah mudah. Jika tidak teguh pastinya rapuh di tengah jalan. Bagi penyampai radio, pelawak serta penyanyi Saleh Yaacob, dia bersyukur kerana diizinkan Ilahi untuk bertahan dalam bidang seni selama 30 tahun.
Tidak pernah menyangka mampu bertahan selama itu, bapa kepada 11 anak itu mengakui bangga dengan apa yang dimilikinya kini selain bersyukur ke hadrat Ilahi dengan rezeki yang diperolehinya.
"Saya bersyukur kerana masih bertahan dan kekal sehingga ke hari ini. Saya sendiri tak menyangka dah 30 tahun saya terlibat dalam industri seni ini. Bukan nak riak tapi saya akui memang puas dengan apa yang telah saya lakukan sepanjang 30 tahun ini, " jelasnya dengan gembira.
Memulakan kerjaya di Pentarama pada tahun 1980, bakat seni Saleh berkembang terus sebagai penyanyi, pelawak dan pelakon secara serius lima tahun selepas itu.
Bukan mahu memuji diri sendiri, namun lelaki berusia 49 tahun ini memberitahu pengalaman mendewasakannya serta membuatkan dirinya antara selebriti popular tanah air.
"Saya belajar dari pengalaman untuk terus kekal dalam industri ini. Paling penting kita kena tahu cara bagaimana mahu mengekalkan populariti kita. Bakat kita memang semua orang dah tahu tapi populariti pun penting untuk dipertahankan kalau kita mahu terus bertahan," ucapnya sambil ketawa.
Sebagai anak seni Saleh turut mengakui terkilan kerana sepanjang hayatnya bergelar anak seni tidak pernah sekali dalam momen hidupnya menerima pengiktirafan atau penghargaan.
"Memang terkilan masa awal-awal dulu malah saya pernah dicalonkan menerusi dua kali di kategori artis komedi namun tak pernah menang. Nak buat macam mana dah tak ada rezeki. Itu antara sebab saya dah tak berminat nak berlakon lagi kerana bagi saya, bidang lakonan memang tidak menjaminkan apa-apa," kata pelakon yang pernah membintangi filem Janda Meletop, Keluarga 99 dan Otai ini.
Meskipun sudah mengecapi kemewahan namun Saleh masih belum mahu duduk diam sebaliknya kini dia sedang sibuk menguruskan perniagaan ikan Arowana bersama rakan kongsinya di Bukit Merah, Perak.
"Saya dah tiga bulan menguruskan perniagaan ini yang diberi nama Selebriti Arowana. Ia akan dilancarkan bulan Disember ini dan saya juga mahu mengajak orang ramai yang berminat untuk turut sama menyertai perniagaan ini," katanya kepada murai.com.my.
No comments:
Post a Comment