KUALA LUMPUR, 14 DISEMBER 2010: Pernah di pentaskan di pentas yang sama pada 10 tahun lalu dalam bentuk drama tari, hikayat khazanah kesusasteraan Melayu Malim Deman kini sekali lagi menyerikan Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Bakal dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal bermula 17 hingga 18 Disember ini, Malim Deman di bawah arahan Roslee Mansor disifatkan cukup istimewa dalam satu cara memartabatkan kesusateraan lama supaya tidak ditelan zaman.
Meskipun tidak membariskan pelakon terkenal sebagaimana pementasan teater muzikal lain, Malim Deman yang ditunjangi artis dan pemuzik handalan dari Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) nyata tetap gah.
Lihat sajalah, kredibiliti KSPP sebagai kumpulan seni persembahan terus gemilang dari dulu hingga kini. Malah menerusi pementasan kali ini, ia membabitkan 65 artis budaya termasuk pemuzik dari KSPP dalam menjayakan pementasan terbitan Hartini Haji Abdullah ini.
"Selain dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal, kelainannya apabila pementasan ini mempersembahkan 21 lagu gubahan baru yang membabitkan 12 babak, di mana 11 daripadanya meliputi koreografi tarian mempersona.
"Saya percaya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kami yakin persembahan ini akan mendapat sambutan baik daripada penggemar teater muzikal tempatan. Kami gembira apabila setakat ini, lebih 50 peratus tiket dudahpun terjual," kata Hartini.
Diperkuatkan dengan iringan muzik orkestra, muzikal Malim Deman mengisahkan putera kepada Tuanku Gombang Malim Dewa dan Tuan Puteri Lindungan Bulan iaitu Malim Deman yang telah dititah oleh ayahandanya untuk mencari Puteri Bongsu dar kayangan untuk dijadikan isteri.
Dalam perjalanannya, Malim Deman berhadapan dengan pelbagai halangan untuk mendapatkan Puteri Bongsu dan apabila sampai di sebuah pokok tua, dia telah disambut oleh Nenek Kebayan.
Malim Deman adalah kesinambungan KSPP setelah kejayaan Muzikal Pak Pandir yang dipentaskan 2 tahun lalu.
Pengarahnya, Roslee Mansor berkata, bagi memberi kesan dramatik dan olahan yang lebih menarik, ada beberapa babak di dalam pementasan ini telah diubah berbanding hikayat asalnya.
"Selain mengekalkan cerita asalnya iaitu cinta antara Malim Deman an Puteri Bongsu, diwujudkan juga watak Puteri Kembang Cina yang menggunakan ubat guna-guna bagi menarik perhatian Malim Deman," katanya.
Pelakon utama yang bakal menyerlah pementasan ini ialah Mohamad Rizal Mohamad Lizam sebagai Malim Deman, manakala watak Puteri Bongsu bakal digalas oleh Norhafiza Hamid.
Tiket bagi menyaksikan Malim Deman berharga RM60, RM50, RM30 dan RM15 yang boleh ditempah melalui Box Office atau menerusi talian 03-2051 7001 atau email ke dfp_boxoffice@petronas.com.my. Keterangan lanjut boleh layari laman web www.dfp.com.my.
Sementara itu, KSPP menerusi gelanggang DFP bakal mementaskan program baru seperti Imbauan filem Senator Tan Sri Jins Shamsuddin akan ditayangkan pada 28 hingga 1 Mac 2011, manakala drama tari Siti Zubaidah pada April depan.
No comments:
Post a Comment