Wednesday, December 15, 2010

Siapa Mohd Atlas Yang Beri Sofazr RM100,000?


KUALA LUMPUR, 14 DIS 2010: Selepas 7 tahun berkecimpung dalam bidang seni, kumpulan yang baru saja menukar ejaan nama kumpulan daripada Sofaz kepada Sofazr mengumumkan bahawa mereka kini bukan lagi artis yang berada di bawah naungan Suria Records (SRC).
Hal ini telah dijelaskan oleh Sofazr sewaktu mereka menjayakan majlis pelancaran album Maaf Dari Hati Mohd Atlas bersempena majlis menandatangani perjanjian kontrak rakaman antara Sofazr dengan Global Records di Saloma Bistro, petang semalam.
Dengan termeterainya perjanjian kontrak rakaman tersebut, Sofazr yang dianggotai 6 anak muda iaitu Shah (gitar utama), One (drum), Fairuz (bass), Aremeer (vokalis), Zimi (gitar utama) dan Rodie (keyboard) kini berada di bawah pengurusan syarikat rakaman Global Record milik Zarimi Zahari, 26 atau Zimi Sofazr selaku pengarah urusan bersama rakan kongsinya, Mohd Hafiz iaitu suami kepada salah seorang artis naungan Heliza Helmi Production (HHP), Arylin Hafiz.
"Bagi kami, tiada istilah kacang lupakan kulit. Kami keluar dari SRC pun bukan sebab gaduh atau apa. Kami berterima kasih kepad SRC kerana telah membantu kami untuk mengembangkan bakat selama 7 tahun ini. Hari ini, Sofazr sah jadi artis Global Records. Sejujurnya, kami memang pun sudah lama merancang untuk bergerak secara persendirian.
"Jadi, memandangkan kontrak kami dengan SRC sudah pun tamat, kami pun tak mahu berlengah lagi. Kami nak cipta masa depan kami sendiri. Kami tak akan berhenti untuk terus berkarya," kata Zimi.
Dalam pada itu, timbul pula tanda tanya siapakah Mohd Atlas dalam album terbaru Sofazr ini memandangkan nama Mohd Atlas telah digunakan sebagai tajuk album ke-6 mereka. Malah, Mohd Atlas juga adalah nama komposer dan penulis lirik yang mencipta kesemua 10 lagu yang terdapat di dalam album ini.
Selain itu, benarkah Mohd Atlas yang memberikan wang berjumlah RM100, 000 kepada Sofazr?
Menjawab persoalan ini, Zimi menjelaskan Mohd Atlas adalah simbolik kepada seorang lelaki yang terlibat dengan jatuh bangunnya Sofazr selama ini.
"Wang itu adalah saguhati dari pihak pengurusan (Global Record). Pada kebiasaannya, selepas menandatangi kontrak, artis akan menerima wang dari pihak yang mengambil artis itu sebagai artis naungan mereka. Jadi, wang ini lebih kepada wang pendahuluan perjanjian kontrak. Wang ini juga tidak termasuk dengan duit pembikinan album.
"Mohd Atlas memang wujud. Namun, dia tidak mahu dikenali. Sesungguhnya, nama Mohd Atlas diwujudkan bukanlah disebabkan isu bayaran royalti. Apa yang Zimi boleh katakan adalah tiada Atla, tiadalah lagu-lagu dalam album ini.
"Sebenarnya, Mohd Atlas adalah kawan kami yang paling rapat. Ini bermakna daripada kami berenam ini, sebenarnya ada lagi seorang kawan kami di antara kami semua iaitu Mohd Atlas," ujar Zimi.
Memandangkan 10 lagu yang dimuatkan dalam album ini iaitu Maaf Dari Hati, Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu, Air Mata, Su..., Padan Muka, Bicara Tentang Cinta, Karma Cintaku dan Dia digolongkan sebagai lagu yang dicipta oleh Mohd Atlas, adakah lagu ini merupakan kisah benar anggota Sofazr?
Menjawab pertanyaan ini, Zimi menafikan dakwaan tersebut tetapi tidak menolak ada lagu yang secara kebetulan terkena kepada diri mereka.
"Sejujurnya, kesemua lagu yang dicipta tidaklah 100% berkaitan dengan kami. Ia lebih kepada apa yang berlaku sekarang. Kalau yang ada kena mengena pun tak banyak.
"Lagu Karma Cintaku lebih kepada mewakili saya, lagu Jiwa Kacau pula terdorong kepada cerita Aremeer dan Terasa Di Syurga pula terkena pada One.
"Yang penting, ini semua bukanlah satu perancangan. Kami tidak pernah membuat pengkhususan pun dalam mencipta lagu tersebut. Ia berlaku secara tidak langsung," jelas Zimi mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment